Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila Michael Ang memberikan komen yang agak ‘pedas’ kepada beberapa barisan finalis Pencarian Dewi Remaja 2018/19.
Antara yang mendapat komen ‘pedas’ Michael Ang adalah Haneesya dan Ernisha. Produser terkenal ini mengatakan bahawa Haneesya hanya membuang masa masuk Dewi Remaja kerana dia sudah famous dan lebih baik buat job luar saja.
Manakala Ernisha pula dikatakan klon Neelofa dan menjadi ‘bahan’ untuk netizen mengata.
Namun begitu, kedua-kedua mereka tidak melatah dan menganggap bahawa situasi ini merupakan cabaran awal yang perlu dilalui untuk bergelar seorang anak seni.
Jom kita dengar apa pula komen mereka..
“Ok sebenarnya macam ni, Hanee dah lama nak masuk Dewi Remaja sejak umur 15 tahun lagi. Tapi masa tu belum cukup umur, jadi Hanee terpaksa tunggu,”
“Nak dijadikan cerita, bila Hanee dapat tawaran berlakon Cik Reen Encik Ngok Ngek dan dalam masa yang sama memang Hanee pun pergi casting Dewi Remaja, kebetulan semuanya berlaku dalam waktu yang singkat. Sekarang ni, orang dah kenal Hanee sebagai Zaza dan mungkin kerana itu, gelaran artis tu dah melekat pada Hanee,” jelasnya.
“Tapi Hanee tak rasa sudah layak dipanggil artis lagi sebab Hanee sangat baru. Banyak lagi perkara yang perlu Hanee belajar, seperti mantapkan lakonan dan Hanee masuk Dewi Remaja ni pun untuk menambah ilmu dan timba pengalaman. Tak semua orang dapat peluang macam ni,” tambah Hanee lagi.
Bagi Ernisha pula, tidak dinafikan mula-mula memang rasa down juga bila baca komen-komen yang diberikan, tapi itu tidak bermakna dia patah semangat untuk meneruskan perjuangan di Dewi Remaja.
“Soal klon Lofa tu, saya langsung tak berniat nak tiru atau terikut-ikut dengan cara Neelofa. Saya ambil positif saja setiap kata-kata yang dilemparkan daripada orang lain dan akan cuba sedaya upaya untuk membuktikan bahawa sememangnya saya layak berada di pentas Dewi Remaja,”
“Tak dinafikan saya kagum dengan kejayaan Lofa dalam bidang perniagaan kerana keluarga saya juga mempunyai bisnes. Jadi, saya ambil mana yang baik untuk dicontohi dan bukannya dengan meniru gaya atau style Neelofa,” jelas Ernisha.
Lumrah menjadi anak seni, memang korang kena kuat dan sentiasa positif dalam menerima setiap kata-kata yang dilemparkan. Ambil saja setiap perkara yang baik dan benda yang negatif jadikan sebagai cabaran serta semangat untuk terus berusaha, ok girls?