Tarikh keramat pada 9 Mei 2018 akan terpahat dalam sejarah negara kita. Buat pertama kalinya dalam sejarah kita anak Malaysia menyaksikan perubahan kerajaan sejak negara memperolehi kemerdekaan pada tahun 1957.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa perubahan itu diraikan dengan sebegitu hebat oleh ramai rakyat Malaysia. Mengapa tidak kerana ia secara simboliknya membawa satu harapan baru, satu cita-cita yang baru, satu impian untuk melihat negara tercinta menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
Dan itulah tema utama yang dibawa oleh filem ‘Rise: Ini Kalilah’ yang terhasil daripada inspirasi kisah benar yang berlaku di kalangan rakyat Malaysia sepanjang tempoh Plihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Sepanjang temppoh itu kita sendiri telah menyaksikan bagaimana ramai rakyat Malaysia yang bersatu hati untuk membantu satu sama lain untuk pulang mengundi. Kempen berserta hashtag ‘#UndiRabu’ dan ‘#PulangMengundi” telah tular di media sosial.
Ia satu perkara yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara dengan skala kesatuan, komitmen dan kesungguhan daripada masyarakat pelbagai peringkat usia tidak mengira bangsa dan agama demi melaksanakan tanggungjawan kepada pertiwi.
Filem yang diterbitkan oleh WebTVAsia ini juga cukup unik dengan membariskan tiga orang pengarah dari tiga latar belakang dan bangsa berbeza. Sentuhan dan garapan dibawa trio Nik Amir Mustapha, Saw Teong Hin dan Prem Nath seakan senada dengan penyatuan pelbagai kaum demi melihat sebuah harapan baru dibawa ke layar perak.
Sepanjang menonton filem ini pada tayangan gala berlangsung malam tadi, REMAJA tidak dapat mengelak daripada memutar kembali momen-momen ketika pulang mengundi dan menjadi saksi bagaimana kita rakyat Malaysia mencurahkan segala usaha dan keringat demi memastikan setiap undi dimasukkan ke dalam peti.
‘Rise: Ini Kalilah’ membawakan enam kisah berbeza dengan setiap satu daripadanya membawakan konflik, strugle dan juga pencarian identiti jati diri sama ada untuk individu, keluarga, komuniti, pihak berkuasa dan juga kerajaan itu sendiri.
Enam kisah tersebut membawa tema-tema kecil yang REMAJA lihat membawa nilai-nilai tersendiri. Sebagai contoh Cerita Fizah (lakonan Mira Filzah) yang mengisahkan bagaimana seorang pelajar Malaysia di luar negara yang enggan melibatkan diri dalam politik, malah tidak mendaftar sebagai pengundi pun. Namun keputusannya untuk membawa pulang kertas undi telah membangkitkan rasa tanggungjawab serta sayang pada negara dalam dirinya yang telah lama pudar.
BACA: Pelajar Malaysia Di Luar Negara Tidak Perlu Takut Untuk Suarakan Pendapat
Lima cerita yang lain iaitu Cerita Marcus, Cerita Selva, Cerita Azman, Cerita Leong dan Cerita Shanti juga membawa mesej yang senada. Garapan tiga pengarah berbeza telah menghidupkan sebuah garapan yang cukup teratur dan tidak berserabut. Pembawaan watak-watak berbeza daripada aktor terkenal negara ternyata tidak mengecewakan terutamanya Remy Ishak yang membawakan watak sebagai Azman, anggota pasukan keselamatan yang lurus dan bergelut dengan tanggungjawabnya kepada negara dan keluarga.
Persembahan pelakon seperti Sangeeta Krishnasamy, Jack Tan dan Mark O’dea juga mencuri perhatian REMAJA. Setiap seorang daripada mereka menghidupkan jalan cerita dengan lakonan yang cukup baik.
Siapa sangka filem yang menjalankan penggambaran dalam kira-kira tiga minggu sahaja muncul dengan hasil yang cukup baik. Cuma kadangkala ia sedikit terasa seperti dihasilkan dengan terburu-buru. Tapi itu bukanlah satu komplen yang besar buat REMAJA.
Bukan senang untuk menyatukan enam kisah berbeza dalam sebuah filem dengan jumlah pelakon yang cukup ramai. Walaupun kisah ini merupakan fiksyen yang lahir daripada inspirasi kisah benar, REMAJA tidak sesekali merasakan filem ini sebagai sebuah nashkah propaganda kerajaan baru.
Tidak dinafikan memang ada suara-suara yang cenderung ke arah itu. Jujur dari kami, tontonlah filem ini sebelum membuat andaian. Lihat secara terbuka dan kenang kembali apa yang berlaku pada PRU14 yang penuh bersejarah yang lalu.
‘Rise: Ini Kalilah’ akan mula ditayangjan di seluruh negara bermula pada 13 September 2018.
Ini kisah dari rakyat Malaysia untuk Malaysia.
RATING: 3.5/5