[REVIEW] ‘Searching’, Kisah Thriller Dari Skrin Ke Layar Perak

Share

Pertama kali mendengar konsep filem ‘Searching’, REMAJA menganggapnya sebagai salah satu lagi gimik teknik perfileman yang dilakukan untuk menarik penonton terutamanya di kalangan pengguna media sosial.

Mengapa REMAJA berkata demikian? Ini kerana 100% filem yang diarahkan oleh Aneesh Chaganty ini dipaparkan kepada audiens menerusi skrin komputer, rakaman kamera digital dan juga telefon pintar daripada karakter utamanya yang ditunjangi oleh John Cho.

Namun ternyata telahan kami silap. Malah tidak keterlaluan untuk REMAJA katakan bahawa ‘Searching’ merupakan antara filem thriller terbaik untuk tahun 2018. Menerusi filem ini kita dihidangkan dengan pelbagai kegunaan aplikasi komputer dan telefon pintar yang digunakan secara harian seperti iMessage, Facetime, Instagram, Tumblr, Google Maps, Venmo, Reddit serta aplikasi komputer Mac dan juga Windows.

Secara tidak langsung ia cukup familiar

kepada kita yang dalam kehidupan seharian berhadapan dengan semua aplikasi dan perisian yang dipaparkan. Bagaimana dengan jalan ceritanya?

BACA: 8 Interview OOTD Henry Golding Pilihan REMAJA, Onz Ke Tak? 

Plotnya mengisahkan bagaimana David seorang ayah yang mendapati anaknya, Margot yang berusia 16 tahun telah hilang secara tiba-tiba. Dengan hubungannya dengan Margot yang semakin renggang akibat tragedi menimpa keluarganya, David berada di dalam keadaan terdesak ingin mencari di manakah Margot berada.

Ia bertambah sulit kerana Davod tidak mengenali seorang pun rakan-rakan Margot. Dan dalam keadaan terdesak itu dia menggunakan segala maklumat yang terdapat di dalam komputer milik Margot menerusi pelbagai platform seperti laman media sosial, e-mail, perbankan online dan bermacam lagi.

Menariknya, kita sebagai audiens dapat merasai kekalutan, ketegangan dan memahami betapa terdesaknya David, seorang ayah yang ingin mencari anaknya hilang hanya dengan melihat usahanya mencari menerusi skrin komputer peribadinya. Selesai menonton filem ini, REMAJA perasan filem ini ada sedikit sebanyak mempunyai elemen seperti filem ‘Gone Girl’. Cuma bezanya pada plot utama dan teknik filem ini dihasilkan.

Apa yang pasti ia membuat REMAJA terpaku di kerusi dan mata tidak lekang daripada layar kerana ingin mengetahui apakah yang akan dilakukan seterusnya oleh David untuk menyelamatkan Margot. Plot twist pada penghujung filem ini juga cukup membuat kita berasa berpuas hati. Mungkin korang bakal menangkapnya lebih awal atau mungkin berasa terkejut dengan pendedahan akhirnya.

Jangan lupa untuk sertai contest Tayang Premier REMAJA x SEARCHING. Cara menyertai peraduan boleh dirujuk menerusi posting Instagram REMAJA di bawah!

Rating – 4.5/5

Published by
Farizul Izwany Ibrahim