Rezeki Tak Salah Alamat, Engfa Waraha Juara Baharu Miss Grand Thailand 2022

Share

Februari lalu penulis pernah membuat liputan mengenai kemenangan wanita berusia 27 tahun ini. Engfa Waraha merupakan seorang peserta pertandingan realiti nyanyian The Voice sebelum berjaya mengungguli dunia ratu cantik apabila dinobatkan sebagai Miss Grand Krung Thep Maha Nakhon @ Bangkok 2022.

Nampaknya rezeki memihak kepada dirinya sekali lagi apabila dia diangkat sebagai juara baharu Miss Grand Thailand 2022. Dalam acara yang berlangsung meriah di SHOW DC Hall di Bangkok pada Sabtu, Engfa berjaya mengalahkan 76 peserta lain.

Engfa bersama Nawat yang merupakan pengasas Miss Grand International.

Sejurus selepas dimahkotakan, wanita bersuara merdu ini membuat dedikasi khas di laman Instagram. Ujarnya, “Saya sangat bangga dengan diri saya kerana akhirnya berjaya menghadiahkan mahkota emas ini kepada ibu. Terima kasih juga kepada En. Nawat kerana percaya dengan diri ini. Anda melihat potensi yang mana ramai tidak mampu melihatnya.

“Saya tidak akan berhenti memajukan diri dan saya akan melakukan yang terbaik sebagai Miss Grand Thailand 2022. Terima kasih juga kepada peminat yang sentiasa menyokong saya. Akhir sekali terima kasih kepada keluarga kerana menjadi sumber kekuatan dan juga memberi energi positif setiap masa.”

ARTIKEL BERKAITAN: Dari The Voice Ke Pentas Ratu Cantik, Engfa Waraha Dinobat Sebagai Miss Grand Krung Thep Mahanakhon 2022

Menjadikan kemenangannya lebih manis, tahun ini merupakan tahun kesepuluh pertandingan itu diadakan dan ia disambut dalam suasana penuh gemilang. Pada malam itu dia dimahkotakan oleh Miss Grand Thailand 2021, Indy Johnson. Seiring dengan kemenangannya, Engfa bakal mewakili negara gajah putih itu di peringkat antarabangsa yang bakal mengambil tempat di Bali, Indonesia

Berdiri dengan ketinggian 170 cm, dia kini berada di tahun keempat pengajian ijazah Sarjana Muda di Universiti Valaya Alongkorn Rajabhat. Wanita anggun ini menonjolkan gabungan bakat, kecantikan dan keanggunan, yang menjadikannya perwakilan yang kuat untuk Thailand di platform antarabangsa.

Bersama rakan-rakan seperjuangan yang berjaya ke peringkat top 10 di Miss Grand Thailand 2022.

Sepanjang pertandingan berlangsung, Engfa bukan sahaja memenangi gelaran utama, bahkan dia juga menjadi pemenang kepada dua gelaran kecil yang lain iaitu Miss Photogenic dan Best Skin Award.

Selain dirinya, empat lagi peserta yang berjaya berada di kedudukan lima terbaik ialah Amanda Jensen, Thanawan Wigg, Nesa Mahmoodi dan Suphatra Kilangprom. Mereka masing-masing berada di kedudukan kedua, ketiga, keempat dan kelima.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen