Dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang ini, tidak dinafikan peluang pekerjaan adalah terhad, lebih-lebih lagi kepada graduan yang baru menamatkan pelajaran. Mana kan tidak, individu berpengalaman juga ada yang dibuang kerja gara-gara ekonomi yang terjejas teruk.
ARTIKEL BERKAITAN : Sukar Dapat Pekerjaan, Remaja Ini Nekad Gantung Iklan Untuk Cari Kerja
Situasi ini turut dirasai oleh seorang pemuda berusia 23 tahun, Vatsal Nahata yang terpaksa tampil dengan usaha ‘gila’ dengan menghantar 600 e-mel dan 80 panggilan memohon pekerjaan.
Mengikut laporan NDTV, usaha pemuda ini akhirnya berbayar apabila dia diterima bekerja di Bank Dunia.
Bukan lulusan biasa-biasa, Vatshal merupakan graduan daripada Ivy League dan lulusan dari Universiti Yale berkongsikan kisah kejayaannya itu yang bermula sewaktu COVID-19 melanda pada 2020 di LinkedIn.
Dia memulakan perkongsian tersebut dengan menyatakan bahawa banyak syarikat pada ketika itu sedang memecat pekerja mereka bagi bersiap sedia menghadapi pandemik COVID-19.
“Saya tidak mempunyai pekerjaan dan saya akan menamatkan pengajian dalam masa dua bulan. Saya merupakan pelajar di ‘Yale’. Apa gunanya datang belajar di Yale sedangkan saya tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan walaupun belajar di sini.
“Ia menjadi lebih sukar apabila mendengar suara ibu bapa saya ketika mereka bertanyakan khabar pada saya ketika menghubungi saya,” kata Nahata.
“Tetapi saya berazam untuk tidak kembali semula ke India, dan gaji pertama saya mestilah hanya dalam Dolar. Saya melakukan semua sehabis baik dalam rangkaian dan mengelak untuk memohon kerja dengan mengisi borang atau melalui portal pekerjaan,” kata Nahata lagi.
Pemuda itu kemudian menambah bahawa dalam masa dua bulan, dia telah menghantar lebih 1,500 permohonan, menulis 600 e-mel, membuat 80 panggilan dan terpaksa merasai banyak penolakan kerja.
“Akhirnya, saya berjaya mendapatkan pekerjaan dengan kaedah unik itu. Saya mendapat empat tawaran kerja pada minggu pertama bulan Mei dan saya telah memilih Bank Dunia.
“Mereka sanggup menaja Visa saya selepas OPT saya dan pengurus menawarkan saya sebagai pengarang bersama pada penulisan Pembelajaran Mesin,” kata Nahata dalam penulisannya.
Lulusan bidang Ekonomi dari Kolej Perdagangan Sri Ram (SRCC) Delhi itu kemudian berkata fasa sukar tersebut mengajarnya beberapa perkara. Kuasa perhubungan kini menjadi sifat keduanya, keyakinan bahawa dia boleh bertahan dalam apa jua keadaan, dan ijazah Ivy League hanya mampu membawanya sejauh itu sahaja.
Nahata berkata lagi, perkongsian yang dibuatnya bertujuan untuk menggalakkan orang ramai supaya tidak cepat berputus asa.
“Jika anda mengalami sesuatu yang buruk di dunia ini teruskan berjalan, jangan mengalah. Hari yang lebih baik akan datang jika anda belajar daripada kesilapan anda,” katanya mengakhiri penulisan itu.
Dalam keadaan seperti sekarang sudah tentu ramai yang terdesak melakukan apa sahaja untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan usaha yang dilakukan ini, Vatsal Nahata telah berjaya mendapat perhatian banyak syarikat untuk menawarkan pekerjaan kepadanya.
Benarlah kata pepatah, usaha tangga kejayaan!
BACA : 8 Panggilan Interview Dalam Masa Sebulan, Remaja Ini Kongsi Tip Cari Kerja
Sumber: NDTV
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.