“Rileklah Ayah Jangan Menangis”, Pesakit Kanser Tulang Sempat Buka Oksigen Seolah Sihat Sebelum Meninggal

Share

Al-Fatihah untuk arwah Mohd Shafuan Norazhar yang telah menghembuskan nafas terakhir di Wad Onkologi dan Radioterapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 8.45 malam tadi.

Kesengsaraan remaja berusia 19 tahun dan mengidap kanser tulang ini mendapat simpati ramai termasuk penyanyi Awi Rafael yang datang menziarahinya sebelum ini.

REMAJA pernah kongsikan kisahnya di mana sebelum kanser tulang dikesan, arwah Mohd Shafuan terlebih dahulu mengalami sakit belikat dan pergi berurut ke bebeberapa orang sebelum membuat pemeriksaan di hospital.

Al-Fatihah untuk arwah Mohd Shafuan, pesakit kanser tulang yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi

Bapanya Nor Azhar saat dihubungi REMAJA sebentar tadi, berkata, jenazah anaknya baru selesai dimandi dan dikafankan sementara menunggu untuk dikebumikan di  Kampung Sungai Rotan, Titi, Jelebu Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Nor Azhar berkongsi detik akhir anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“5 hari sebelum pemergiaannya, perlakuan Shafuan sudah nampak berbeza. Cakapnya pun sedikit berbeza. Tangannya menunjuk-nunjuk sesuatu. Senyum sendiri, bercakap sendiri. Seolah-olah arwah mahu mengalihkan rasa sakitnya dan mahu dirinya lebih diberikan perhatian oleh saya barangkali,” katanya ketika dihubungi.

Nor Azhar menjelaskan lagi, pagi sebelum janji Allah taala itu sampai ke atas setiap umatnya, Shafuan bagaikan mengerti itulah detik akhir dia boleh bergurau senda.

“Bila saya peluknya sambil menangis kerana melihat keuzurannya, Shafuan siap berkata, rileklah ayah. Saya dah ok la. Jangan menangis lagi. Dia siap buka oksigen yang dipakainya sambil kata. Tengok saya dah bebas. Perlakuannya seolah-olah mahu menunjuk yang dirinya sudah sihat dan saya tak perlu bimbang lagi. Tapi kemudian dia pakai semula oksigennya kerana arwah susah bernafas,” katanya mengakui redha dengan pemergian anaknya itu.

Nor Azhar menjaga anaknya di HKL sepanjang anaknya mendapat rawatan di sini

Bengkak pecah dan keluarkan darah banyak

Dalam pada itu, Nor Azhar menjelaskan pagi sebelum malam kejadian, bengkak di bahu anaknya pecah dan mengeluarkan darah yang banyak.

“Selepas dibersihkan, keadaannya nampak terlalu lemah dan dia banyak berehat saja. Malah doktor juga ada memaklumkan kepada saya untuk memanggil sanak saudara yang mahu melihatnya kerana keadaannya ketika itu agak uzur.

“Saya bawa isteri dari kampung dalam keadaan strok itu. Memang sedih hadapi saat-saat akhir hidupnya. Saya ajar anak mengucapkan. Bisikkan kalimah-kalimah Allah di telinganya. Arwah asyik terbaring lemah.Bila dikejutkan dia terjaga.

Segalanya tinggal kenangan. Arwah Mpohd Shafuan ketika keadaan kesihatannya agak sihat berbanding tubuhnya yang kurus sebelum pemergiannya

Sedihnya hadap saat akhir anak..

Kata Nor Azhar lagi, sekuat mana dirinya sebagai seorang lelaki tetapi bila diuji menghadap sendiri anak bakal meninggalkannya, kesedihan itu sukar dibendung.

“Saat akhir hayatnya, saya turun ke bawah kerana tak sanggup lihat detik itu. Kawan yang sama menjaganya di hospital tolong jagakan seketika. Tapi baru tiga minit saya turun, kawan telefon suruh naik cepat. Katanya Shafuan mahukan saya.

“Mungkin anak mahu saya lihat juga saat dia menghembus nafas terakhir. Saya duduk dekatnya, ajarkan mengucap lagi, bisikkkan kalimah Allah..Allah di telinganya dan kala itu, Shafuan hembuskan nafas terakhirnya.

“Allah, memang berat ujian ini.Kami sekeluarga sudah berusaha untuk mengubati kanser tulang dihadapinya tetapi Allah lebih sayangkannya.

“Terima kasih pada segala bantuan kewangan, doa-doa yang tidak pernah putus selain sokongan. Saya redha dengan semua ini,”katanya yang sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua insan yang berkongsi kenangan bersama arwah anaknya itu.

Published by
Almaswa Haji Che Ros