Setelah empat tahun kempunan menyaksikan kelibatan band popular dari Indonesia, Nidji di Malaysia dek kekangan musim pandemik, mereka kini bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 19 Mac ini menerusi konsert Dream Collaboration.
Khabarnya, Nidji bakal hadir dengan suatu kejutan istimewa yang belum pernah disaksikan di mana-mana konsert Nidji di sini sebelum ini.
Bercakap kepada REMAJA dalam sebuah sidang media, Nidji yang dianggotai oleh enam orang ahli kumpulan sememangnya terkenal dengan lagu-lagu hit bergenre rock moden seperti Hapus Aku, Laskar Pelangi, Bila Aku Jatuh Cinta, Disco Lazy Time dan banyak lagi.
Begitupun bagi konsert Dream Collaboration di Kuala Lumpur yang menjadi sebahagian daripada siri Dream Festival yang cukup terkenal di Indonesia, Nidji tidak akan hadir keseorangan apabila ia akan ditemani dengan rakan penghibur solo, Budi Doremi.
Nidji bukan lagi sebuah band yang memerlukan pengenalan dalam kalangan pendengar muzik di Malaysia. 21 tahun ruang masa yang dipenuhkan Nidji tersebut dengan pengalaman dan eksperimentasi muzikal sekaligus menjadi sumber kekuatan dan kematangan muzik mereka.
Kali terakhir Nidji bertandang ke Malaysia adalah pada tahun 2019 dan sejak itu, mereka telahpun meluncurkan beberapa lagu baharu seperti Wadoow, Abu-Abu dan Segitiga Cinta serta lagu Bila Aku Jatuh Cinta dengan susunan saxaphone.
Kali ini, khabar Ubay, mereka amat teruja bagi menghiburkan peminat di Malaysia yang juga merupakan lokasi di luar Indonesia pertama yang menjadi pilihan Nidji bagi melakukan persembahan selepas fasa pandemik.
“Oleh kerana konsert ini menggabungkan genre rock moden Nidji dengan pop reggae oleh Budi Doremi, akan jadi sesuatu yang menarik di atas panggung nanti untuk didengarkan.
“Bahasa muzik itu universal. Walaupun Nidji dan Budi berbeza, mudah-mudahan kami mampu membuat persembahan yang menyatukan kedua-dua dunia.”
“Sekian lama tidak datang ke Malaysia, tentunya kami teruja apabila diundang semula. Senang banget, apatah lagi bila mengimbas semula kenangan konsert di MITEC pada tahun 2019. Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-21 Nidji. Walaupun ahlinya bersilih ganti dan muzik Nidji juga semakin berevolusi, kami pasti peminat di Malaysia tetap setia menantikan kehadiran kami,” katanya.
Tambahnya lagi, satu lagi punca keterujaan mereka tentulah untuk menikmati semula makanan-makanan yang ada disajikan di Malaysia. “Pengen Nasi Kandar!” bilang mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Anna Jobling Ke Indonesia Bagi Persediaan Duta Produk, Sempat Selit Kerja Amal Dengan Peminat – REMAJA
Nama Budi Doremi mungkin masih asing dalam kalangan masyarakat Malaysia. Begitupun, nafas baharu yang dibawakannya dalam muzik yang diperkenalkan amatlah menyenangkan dan menenangkan.
“Untuk konsert ini, persiapan saya lebih ke arah persiapkan fizikal agar sihat dan mempergiatkan latihan. Mudah-mudahan semuanya lancar.
“Sebenarnya sejak saya berusia lima tahun lagi, saya ingin berkolaborasi dengan Nidji. Dan itu sudahpun terjadi sekarang, syukur,” luahnya.
BACA LAGI: Kain Batik Disarungkan Penuh Bangga Oleh 10 Selebriti Indonesia Ini Di Festival Filem – REMAJA
Tiket konsert Dream Collaboration: Nidji X Budi Doremi sudah boleh didapati di platform Ticket2U. Harga tiket bergantung kepada kategori yang ditawarkan, terdiri daripada; Festival (Early Bird – Free Standing), RM214; CAT1 (Upper Deck), RM474 dan CAT 2 (Upper Deck) RM364.
Manakala, kategori Royal Box yang boleh menampung sehingga 8 orang penonton pula dijual pada harga RM4,694 setiap satu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.