Risau Terjebak Zina, Al-Quran 1400 Tahun Dahulu Sudah Ajar Baca Surah An Nur Ayat 33-34

Share

Isu pelajar perempuan darjah 5 yang mengajak budak lelaki tahun 6 melakukan hubungan intim masih panas diperkatakan. Ada pelbagai pertanyaan timbul di benak. Tidak takutkah? Tahu tak risikonya? Keseronokan apa dicari? Sudah hilang malukah? Benarkah ada pelajar perempuan berani ajak? Dan berbagai telahan lain lagi.

Di sebalik pertanyaan-pertanyaan ini, Al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia sejak 1400 tahun dahulu sudah menyatakan apa perlu dibuat oleh ibu bapa bagi mengelak anak perempuan melakukan zina.

REMAJA menemuramah Penolong Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai Jabatan Agama Islam Wilayah, Ustaz Khuzaimi Ibrahim yang bertugas di Masjid Sungai Penchala mengenai ayat al-Quran yang mampu menjadi pelindung diri seorang wanita selain boleh diamalkan oleh ibu bapa kepada anak perempuan mereka daripada terjerumus ke lembah zina.

Ustaz Khuzaimi Ibrahim

Menurut Ustaz Khuzaimi, antara pelindung yang boleh dibacakan ialah Surah An Nur ayat 33-34.

“Apa yang perlu dibuat ialah bacalah SURAH AL FATIHAH, DIIIKUTI SURAH AN-NUR AYAT 33-34.

“Ayat 33 surah An Nur menyebut “ Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.
Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah – sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka – Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Manakala ayat 34 pula  menyebut “Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

“Ibu bapa boleh amalkan surah ini kepada anak-anak. Insya Allah ia akan menjauhkan anak-anak perempuan ke perbuatan zina. Al-Quran ini sebenarnya panduan lengkap kita dan hanya perlu amalkan dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Published by
Almaswa Haji Che Ros