Mesti ramai anak muda yang tak sabar dengan intipati Belanjawan 2020.
Mengambil tema ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, harapan tinggi diletakkan terhadapnya especially apabila kita menuju ke tahun terpenting buat negara, tahun 2020.
Ia baru sahaja dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Tuan Lim Guan Eng. Dan ada satu berita baik untuk remaja dan peminat suka e-Sports.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, beliau telah mengumumkan di laman Twitter-nya bahawa RM20 juta diperuntukkan untuk pembangunan e-Sports; iaitu bertambah RM10 juta berbanding Belanjawan tahun lalu.
Semalam, Syed Saddiq juga telah merancang beberapa program untuk pembangunan e-Sports, termasuklah pusat latihan e-Sports di seluruh negara.
Beliau juga berkata Majlis Sukan Negeri Johor telah memasukkan e-Sports ke dalam kategori kejohanan Sukan Malaysia 2020 (SUKMA 2020) semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Liga e-Sports Kebangsaan akan dijalankan menggunakan sistem ranking untuk menyemak prestasi pemain e-Sports negara.
Ia berfungsi sebagai kriteria bagi atlet mewakili negara dan berfungsi sebagai rujukan kepada Sukan SEA akan datang, yang akan dianjurkan oleh negara tuan rumah.
Arena e-Sports di Malaysia bukan lagi menjadi sesuatu yang baru. Malah jumlah pemain di kalangan remajasemakin meningkat.
Ia seharusnya tidak lagi dipandang sebagai hobi atau aktiviti masa lengang.
Dengan pendedahan yang baik serta galakkan daripada masyarakat dan kerajaan, bakat-bakat e-Sports akan terus cemerlang mengharumkan nama negara.
Harapan REMAJA dengan peruntukan bajet ini, pencapaian atlet negara di peringkat antarabangsa akan meningkat. Menang medal, wajib!