Dalam kehidupan yang serba moden ini, tidak hairan sekiranya kita melihat penggunaan mesin atau robot yang melakukan pekerjaan manusia bagi mengurangkan tenaga kerja yang diperlukan.
Dengan arus kemodenan kemajuan teknologi, tugas penguatkuasaan juga kini dibantu robot.
ARTIKEL BERKAITAN: Ini Tip Untuk ‘Fresh Graduate’ Yang Sedang Mencari Pekerjaan, Paling Penting Kena Yakin!
Di China baru-baru ini dilaporkan sedang mengusahakan inovasi termaju dalam penguatkuasaan undang-undang.
Menerusi satu muat naik di media sosial, satu rekaan robot amfibia berbentuk sfera seberat 125kg yang mampu mengejar penjenayah pada kelajuan sehingga 35 kilometer sejam (35km/j) di darat dan air.
Digelar Rotunbot RT-G, peranti futuristik ini adalah cetusan idea daripada firma teknologi, Logon Technology yang berpangkalan di Shenzhen dan telah dibangunkan selama beberapa tahun.
Menurut jurucakap Logon Technology, inovasi membanteras jenayah, RT-G merupakan robot polis sfera berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang bukan sahaja menghentikan jenayah tetapi juga merisik atau mengesannya.
Kongsinya, robot bola pengimbangan diri tersebut menggunakan penstabil giroskopik untuk mengekalkan pergerakan yang stabil merentasi pelbagai rupa bumi, termasuk lumpur, lopak dan keadaan jalan tak berturap (off road).
Tambahnya, robot tersebut kini diuji di zon komersial di Wenzhou, wilayah Zhejiang, China dan juga baru-baru ini bersama empat pegawai polis di Hangzhou, sebuah bandar yang sibuk dengan populasi hampir 12 juta penduduk.
Robot RT-G juga dilengkapi dengan pelbagai alat memerangi jenayah yang tidak membawa maut. Ia termasuk penyembur gas pemedih mata, beberapa bom tangan, pembesar suara dan peranti penyebaran gelombang bunyi sekali gus memastikan kebolehsuaian dalam pelbagai senario.
Robot sfera yang dikuasakan oleh AI itu juga boleh mengesan ‘gangguan atau kelainan di sekelilingnya’.
Ia juga akan menggunakan fungsi pengecaman muka untuk mengesan penjenayah yang diketahui polis dan dengan itu membantu pegawai penguat kuasa undang-undang mengenal pasti mereka dengan lebih cepat.
Selanjutnya, ia boleh memberi amaran kepada penguatkuasaan undang-undang atau melumpuhkan suspek secara autonomi menggunakan pistol jaring binaan dalam.
Satu video operasinya menunjukkan RT-G dikawal dari jarak jauh, walaupun versi akan datang mungkin menggabungkan ciri autonomi untuk meningkatkan fungsinya.
“Pecutan robot RT-G boleh mencapai 30 kmj dalam hanya 2.5 saat dan binaannya yang teguh menjadikan ia tahan lasak walaupun jatuh di permukaan kasar.
“Bagaimanapun, ia mempunyai batasan seperti tidak stabil apabila melalui selekoh tajam dan sukar untuk menaiki tangga atau permukaan tinggi yang lain,” ujarnya.
Katanya, kelemahan tersebut mungkin menghalang keberkesanannya dalam menangani situasi tertentu atau persekitaran bandar yang kompleks.
Pada masa ini, julat kos pengeluaran untuk robocops berkuasa AI ini berbeza-beza dari AS$41,300 hingga AS$55,000 (RM185,000 hingga RM247,000).
Robot RT-G bukanlah percubaan pertama China dalam teknologi robotik memerangi jenayah. Negara itu telah melancarkan pelbagai peranti inovatif untuk membantu penguatkuasaan undang-undang.
Sebelum RT-G, terdapat Robo-dog, robot berkaki empat yang dilengkapi roda yang membolehkannya memecut merentasi medan lasak dan melakukan aksi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.