Keterujaan skuad negara untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 semakin terasa apabila masing-masing mula menunjukkan taring dalam mempersiapkan diri untuk melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Tambah mengujakan apabila kebanyakan atlet yang mula menyinar terdiri daripada skuad remaja sebagai pelapis kepada masa hadapan industri sukan negara.
Terbaru, sukan tenis negara menyambut riang kemenangan dalam acara individu lelaki di kejohanan Terbuka China J100 menerusi pemain remaja, Imran Daniel Abd Hazli, kelmarin.
Berlangsung di Shanghai, China, pemain harapan berusia 18 tahun itu mengenepikan wakil tuan rumah, Zhang Boxiong 6-1, 3-6, 6-1 sekaligus menjadikan kemenangan ini sebagai yang kesepuluh buatnya pada musim ini.
Tambah istimewa, trofi kemenangan Imran telahpun diserahkan oleh bekas pemain tenis antarabangsa, Roger Federer yang telah turun padang ke Shanghai sebagai tetamu VIP kejohanan.
Catat Imran dalam hantaran di akaun Instagram, “Untuk memenangi kejohanan ini adalah baik tetapi untuk menerima trofi daripada ‘the goat’ Roger Federer adalah satu pencapaian BESAR. Kredit kepada jurulatih saya @hazli_atptour untuk sokongan beliau dan satu lagi minggu berjaya.”
Tahniah Imran! Semoga dirinya akan terus menyinar dalam dunia sukan tenis.
Sebagai info, Imran mula menarik perhatian ramai sejak tahun 2016 lagi apabila dia mula bertanding sebagai atlet cilik profesional pada peringkat antarabangsa.
Pada tahun 2022 pula, Imran telah menyumbang kepada kemenangan pingat gangsa acara berpasukan lelaki tenis di Sukan SEA Vietnam 2022 bersama rakan sepasukannya; Aiman Amdan, Koay Hao Sheng dan Syed Agil Syed Naguib.
Ia merupakan satu penambahbaikan prestasi skuad tenis negara berbanding pada Sukan SEA 2019 di mana Malaysia tidak memenangi sebarang pingat dalam acara tenis.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Anak Malaysia Harumkan Nama Negara Di Persada Dunia. Cipta Rekod Baharu
Nama Soh Wai Ching mungkin tidak sepopular pemain sukan-sukan popular yang lain. Namun begitu, tahukah anda personaliti berusia 27 tahun ini sebenarnya sejak tahun 2017 lagi telah membawa nama negara dalam pertandingan Tower Running.
Untuk pengetahuan pembaca, tower running merupakan sukan yang menjadikan bangunan tinggi sebagai lapangan pertandingan. Peserta perlu berlumba-lumba mendaki tangga dan sampai dan menjadi orang yang pertama sampai ke puncak bangunan untuk dinobat sebagai juara.
Terbaharu, jejaka yang berasal dari Selayang, Selangor ini telah menjuarai pertandingan Fight for Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu. Menjadikan kemenangannya lebih manis adalah apabila dia juga berjaya memecahkan rekod lama yang dibuat pada tahun 2013 oleh Tim Donahue.
Dalam temubual bersama media beliau berkata, ““Saya hadir di New York lapan hari lalu dengan misi untuk menyertai dua pertandingan, Tunnel to Towers Climb NYC di One World Trade Center dan Fight for Air Climb NYC di Penn 1 Plaza.
“Misi saya berjaya dipenuhi dengan memenangi kedua-dua pertandingan selain rekod baharu lapangan pada pertandingan kelmarin. Setakat ini, saya menang lapan daripada sembilan pertandingan tahun ini dengan satu penamat di tangga kedua.”
BACA JUGA: Cantik, Berketerampilan & Bijak! Wakil Malaysia Dinobatkan Sebagai Naib Juara Miss Global 2022
Menjadikan kejayaan yang dikecap lebih manis Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepadanya.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram Istana Negara, baginda berdua bertitah, “Tahniah Soh Wai Ching! No, 1 dunia jaguh lari menara negara.Semoga dilimpahi kejayaandan kecemerlangan berterusan.”
Selain mendapat perhatian daripada pihak Istana, kejayaannya juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia.
“Tahniah Soh Wai Ching kembali ke status No. 1 dunia. Jaguh lari menara negara kebanggaan kita kini mengesahkan statusnya sebagai nombor 1 di dunia selepas mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu.
“Keluarga Malaysia amat bangga dengan pencapaian Soh Wai Ching dan berharap akan terus mengekalkan momentum kejayaan ini. Jadikan kejayaan yang telah diukir oleh ahli keluarga kita sebagai inspirasi untuk sama-sama membina kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ucap Datuk Seri Ismail Sabri menerusi Instagram rasminya.
Semoga dengan kejayaan yang dikecapi oleh Soh Wai Ching menjadi pembakar semangat kepada remaja Malaysia yang lain untuk turut serta mencipta visi dan misi yang terbaik dalam kehidupan. Bukan sahaja membanggakan negara bahkan mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Terus Cemerlang! Airit Rayyan Rizqin Raih CGPA 3.99, Rita Rudaini Luah Rasa Syukur
Anak sulung Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dalam bidang akademik apabila memperolehi gred hampir sempurna 3.99 bagi peperiksaan tingkatan 2 semester 2.
Berkongsi berita gembira itu di laman Instagramnya, pelakon popular itu meluahkan rasa syukur atas pencapaian yang dikecapi anaknya itu.
“Alhamdulillah Syukur pada Allah SWT. Tahun ini Ryan antara 10 peserta terbaik dalam tingkatan lagi, tetapi kali ini SUBES pula. Tahniah, mummy akan pastikan anak-anak mummy cemerlang dalam akhlak dan pendidikan.
“Doa mummy selalu bersama anak-anak. Terima kasih Ustazah Norfaiza. Tahniah kepada Ryan, kawan-kawan dan ustazah,” tulis ibu kepada dua cahaya mat aitu di dalam hantarannya.
BACA JUGA: Anak Sulung Terima Anugerah Sijil Penghormatan Pengetua MRSM, Rita Rudaini Luah Rasa Syukur
Dalam video yang dimuat naik itu dapat dilihat, para pelajar diraikan dalam satu majlis kecemerlangan dan Rayyan menerima sijil kecemerlangan daripada pihak pengurusan Maktab Rendah Sains Mara.
Menarik lagi, tidak melepaskan peluang, dalam video tersebut Rayyan turut mendedikasikan ucapan kepada ibu tersayang.
“Terima kasih mummy sebab daripada kecil sampai besar mummy jaga Rayyan, daripada Rayyan baby mummy ajar Rayyan jalan sampai Rayyan dah dapat 3.99 ni.
“Sikit lagi nak dapat straight A+ tinggal satu sahaja dapat A-. 3.99 ni sebagai hadiah birthday mummy. Semester akan datang Rayyan akan cuba dapat 4.00 untuk mummy,” ujarnya.
Rayyan kini merupakan pelajar di MRSM Sungai Besar (MRSM SUBES) yang mana ia merupakan sebuah sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan MARA yang menawarkan program Ulul Albab kepada pelajar tingkatan 1 sehingga 5.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Banggakan Sabah Sebagai Negeri Kelahiran Penyanyi Berbakat Malaysia, Adam Shamil Punya Impian Besar – Isu Digital Ogos 2023
Ketika penulis berkesempatan menemu bual figura muda yang seorang ini, ada keistimewaan yang dimiliki oleh anak jati negeri di bawah bayu, Sabah ini.
Adam Shamil, pendatang baharu yang bukan sekadar ‘menjual’ wajah di dunia media sosial, walakin jelas menggenggam bakat yang dikurniakan Ilahi buatnya.
Menginjak ke usia 28 tahun, ada matlamat yang ingin dilunaskannya dalam industri seni hiburan tanah air. Bertatih perlahan-lahan, lama kelamaan pasti jernih jua hasilnya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Adam Shamil.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks FATH ABU BAKAR jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan AYANG KAMELL dandanan CHE WAN persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Nama Adam Shamil relatifnya sudah dikenali di negeri kelahirannya. Kini, tiba masanya untuk pengikut di Semenanjung Malaysia pula meminatinya. Berbekalkan kandungan-kandungan segar di media sosial sebagai seorang pempengaruh, nama Adam semakin masyhur.
Bagi Adam, terma ‘remaja’ bukan sekadar merujuk kepada usia semata. Sebaliknya, ‘remaja’ mewakili idea segar, satu perlambangan karakter dan personaliti menarik.
“Sudah semestinya, remaja membawa maksud luas. Dahulu bila sebut tentang ‘remaja’, usia seseorang dijadikan rujukan. ‘Sekiranya melebihi usia 26 tahun, masih remaja kah?’. Bagi saya pula, remaja kini merujuk kepada golongan muda yang berfikiran matang dan mampu mencetuskan idea baharu.
“Saya ambil contoh penyanyi tanah air, Aina Abdul. Walaupun usianya hampir mencecah 30 tahun, Aina dilihat mempunyai lebih ramai peminat dalam kalangan remaja. Bagi saya, asalkan seseorang itu mengetengahkan idea yang segar selain membawa imej untuk menarik perhatian remaja, ‘yes, you are remaja juga’. Remaja bukan sekadar umur, tetapi ia melambangkan karakter, imej dan personaliti,” katanya.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Bangga membawakan identiti sebagai seorang anak jati Sabah di Semenanjung Malaysia, Adam menyifatkan rasa puas cukup terasa setiap kali membawa nama baik negeri kelahiran menerusi projek seninya.
“Sebagai seorang rakyat Sabah yang berusia 28 tahun, saya sangat berbangga dapat mengangkat nama negeri sendiri; bukan sahaja sebagai seorang penyanyi ‘baru nak up‘ tetapi juga sebagai seorang pengacara serta pempengaruh yang boleh membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada penonton yang menonton video saya,” ujarnya lagi.
Uniknya Sabah Terletak Pada Dialeknya
Sedia maklum, jika kita mengunjungi negeri Sabah, antara tarikan utamanya selain panorama indah dan barangan yang ditawarkan di sana adalah kepelbagaian lebih seratus etnik serta bahkan dialek yang membuatkan Sabah unik.
Adam sendiri memiliki darah kacukan tnik Sino-Kadazan mengalir di dalam dirinya. Kendatipun negeri Sabah berbilang etnik, warna kulit dan tempat tinggal, Adam menyifatkan masyarakat di sana hidup secara tenang dan harmoni.
“Di Sabah, dialek kami memang amat unik. Apabila bertutur dalam bahasa Melayu, kedengarannya berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Orang di Sabah memang bercakap laju (ketawa) tetapi kami masih memahami antara satu sama lain apabila berkomunikasi.
“Jika di Semenanjung, majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India namun di Sabah, kami mempunyai lebih seratus etnik. Memang banyak! Itulah keunikan hidup secara harmoni di sini,” tuturnya.
Pengacaraan Jiwa Adam Shamil
Bagi anda yang merasakan suara perbualan Adam seakan biasa didengari, anda sama sekali tidak salah. Baru-baru ini, Adam ‘dilamar’ sebagai hos di majlis resepsi perkahwinannya di Kuala Lumpur.
Bagaikan satu mimpi, dia turut menyifatkan peluang itu sebagai satu pencapaian yang besar, membanggakan dan adalah sebuah batu loncatan buat dirinya dalam mengendali majlis-majlis berskala besar.
“Sebenarnya, saya memangnya tidak jangka akan mendapat peluang ini apabila Dr. Amalina sendiri yang approach menerusi Instagram. Saya amat terkejut tetapi peluang untuk mengacarakan majlis resepsi beliau dan pasangan tercinta jujurnya adalah di luar imaginasi saya.
“Ada juga saya bertanya, mengapa beliau memilih saya? Katanya, dia menerima cadangan daripada warganet siapakah pengacara majlis resepsi bersesuaian di Kuala Lumpur. Bagi saya, ia merupakan rezeki yang sama sekali tidak saya jangkakan.
“Istimewanya pada majlis Dr. Amalina, ia dihadiri oleh Pak Nil (Datuk Aznil Hj Nawawi) dan beliau sempat memberi pujian terhadap potensi saya. Ia sememangnya hari yang saya tidak akan lupakan,” katanya yang juga menjadikan Che Puan Sarimah Ibrahim bagi bahasa Inggeris dan Datuk Aznil Hj. Nawawi bagi bahasa Melayu sebagai idola dalam bidang pengacaraan.
“Saya mula menjinakkan diri dalam aliran pengacaraan sejak peringkat sekolah. Saya percaya, pengalaman mengajar kita dan idola yang saya sebutkan itu sedikit sebanyak memberikan inspirasi untuk menambah baik skil sendiri,” katanya.
“Mansau.. kalau orang Sabah tidak tahu, tidak sah!”
Bukan sahaja memiliki bakat pengacaraan, personaliti media sosial ini juga boleh menyanyi dengan baik ya!
Adam Shamil pernah meluncurkan beberapa buah lagu yang menerima respon positif daripada pendengar termasuklah Mansau yang tular di media sosial apabila ramai menggunakan lagu tersebut sebagai runut lagu bunyi video mereka; terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial di Sabah. Ini setelah ia mencecah lebih sembilan juta tontonan di YouTube.
Terbaharu, Adam Shamil tampil dengan lagu berjudul Bantu.
Berkisarkan tentang penghargaan terhadap seseorang terutama yang bergelar ibu mahupun nenda tercinta, Adam menitipkan perasaan syukur dan terharu apabila dipilih merakamkan lagu Bantu memandangkan ia merupakan lagu pertamanya yang dihasilkan menerusi syarikat rakaman di Kuala Lumpur untuk diarus perdanakan.
“Pastinya saya berbangga apabila peluang menyanyikan lagu ciptaan Omar K hadir. Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan hebat ketika menjayakan lagu ini.
“Omar K, pastinya saya rasa bangga berpeluang itu tidak datang selalu. Saya juga bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan yang hebat dalam menjayakan lagu ini.”
Usia muda hakikatnya hanyalah nombor. Adam Shamil telah membuktikannya apabila berjaya ‘melayarkan bahtera’ dalam bidang seni yang diminati.
“Saya mula menjinakkan diri dalam bidang hiburan menerusi media sosial seawal tahun 2016. Saya juga bermula sebagai seorang YouTuber bagi memperkenal Sabah dan Sarawak menerusi kandungan menarik dan bakat nyanyian.
“Jadi, jika ada yang bertanya bagaimana saya melakukan semua itu pada waktu yang saya, saya merasakan tiada rahsia tertentu melainkan pembahagian masa yang bijak. Ada masanya saya benar-benar memberikan tumpuan terhadap sesuatu perkara dan ada masanya saya perlu mengenepikannya sebentar. Cuma, kata kuncinya adalah konsistensi,” simpul Adam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.