“Rogol Perkataan Sensitif Bagi Perempuan DAN Lelaki..” – Miss Universe Malaysia

Share

 

Masih hangat masyarakat memperkatakan mengenai dakwaan kononnya tenaga pengajar di sebuah sekolah menengah yang baru-baru ini menggunakan perkataan rogol secara enteng dalam bilik darjah.

ARTIKEL BERKAITAN : Akibat Berani Bersuara, Pelajar Ini Terima Ancaman Rogol Dari Rakan Sekolah Pula – REMAJA

Isu ini yang telah mendapat perhatian daripada pihak kementerian telah mendapat respon balas dari ramai pihak yang menyatakan pendapat masing-masing menerusi media sosial.

Dan REMAJA sempat untuk mendapatkan pendapat bernas dari Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James dalam pertemuan majlis pratonton kostum nasionalnya, baru-baru ini.

BACA LAGI : Wakil Malaysia Bakal ‘Angkut’ Rumah Kampung Ke Miss Universe 2020 – REMAJA

Francisca, 26 yang juga merupakan pengasas kepada pergerakan Women Rise selama ini telah mengutarakan pendapatnya dalam membela nasib remaja perempuan dan wanita yang sebelum ini mungkin tidak didengari oleh masyarakat.

Dengan tercetusnya perdebatan mengenai isu gurauan perkataan rogol ini, Francisca apa-apa yang berkaitan dengan rogol tidak patut diambil mudah; baik oleh perempuan mahupun lelaki.

“Gurauan mengenai rogol tidak harus dianggap normal di mana-mana. Apatah lagi apabila saya mendapat tahu ia berlaku di sekolah, berita ini amat mendukacitakan.

“Sekolah adalah lokasi yang sepatutnya dianggap selamat untuk tujuan pengajaran agar seorang mampu menjadi insan yang lebih baik dan membawa perubahan positif untuk masa depan negara.

“Dengan kejadian seperti ini, walaupun ia terjadi dalam skala yang kecil, masyakat kini mempunyai persepsi berbeza terhadap institusi itu sendiri.

“Isu sesensitif rogol tidak hanya patut diambil serius oleh perempuan tetapi oleh lelaki juga. Jika sesuatu berlaku tanpa kerelaan, lelaki juga boleh dikategorikan sebagai mangsa keadaan,” katanya yang akan membawa nama negara ke pertandingan ratu cantik, Miss Universe pada 16 Mei ini.

 

Rasa Hormat Perlu Dikembalikan

Justeru, REMAJA bertanyakan apakah cara terbaik agar kepercayaan sesama kita dapat dikembalikan. Sebolehnya, kita engganlah hidup dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga sehinggakan tidak boleh mempercayai sesiapa lagi dalam kelompok kita.

Kongsi Francisca, semuanya berbalik kepada sifat kemanusiaan dan hormat antara satu sama lain.

“Kita semua perlu tahu batas apabila bergaul dan berkomunikasi sesama kita.

“Rasa hormat akan hadir bila kita memahami identiti dan maruah orang di sekeliling.Hormat harus bermula dari rumah dan sekolah; dua lokasi di mana bermulanya pembelajaran awal kepada kanak-kanak,” jelasnya.

Senang cerita, adakah korang mahu ahli keluarga sendiri dilayan tanpa sekelumit rasa hormat oleh orang di luar sana.

Adakah korang merelakan maruah ahli keluarga diperkotak-katikkan? Tidak bukan. Jadi, layanlah orang di sekeliling dengan rasa hormat sebagaimana kita ingin diri kita dan keluarga dihormati.

BACA LAGI : Jatuh Dua Kali, Bangkit Berkali-Kali. Francisca Luhong Lambang Erti Tak Mudah Mengalah. – REMAJA

Published by
FZ