Penyanyi dan anggota kumpulan K-Pop sensasi BLACKPINK, Rosé baru-baru ini mendedahkan bahawa dirinya pernah menyamar sebagai warga emas bagi mengelak diri dikenali di tempat awam.
Menerusi sebuah rancangan radio Capital FM bersama pengacara Jordan North, Rosé pemilik nama sebenar Roseanne Park atau Park Chae-young berkongsi mengenai perkembangan kerjaya sambil memperlihatkan sisi humoris dirinya yang sebenar di luar pentas.
Dalam temubual yang sama, Rosé turut bercerita kisah unik tentang kehidupannya sebagai ‘global superstar’ yang terkenal dan salah satunya adalah pengalaman ketika pelantun lagu APT itu menyamar menjadi seorang nenek.
“Saya cuba menyamar jadi nenek dan saya pakai rambut palsu! Saya juga berpakaian macam orang tua. Saya tak percaya saya dedahkan ini kepada seluruh dunia tapi moment itu betul-betul gila,” katanya sambil ketawa.
Dalam pada itu, Rosé juga memperkenalkan Jordan kepada permainan minum Korea yang dipanggil APT serta menunjukkan keterujaannya bermain permainan ‘Never Have I Ever’ iaitu salah satu permainan kegemaran peminat.
Selain itu, temubual itu semakin rancak dan meriuhkan apabila penyanyi berusia 27 tahun itu mencuba hidangan tradisional British seperti kacang lembek dan cip butties. Bukan itu sahaja, Rosé malah secara berseloroh menukar namanya kepada ‘Chicken Wine’.
Sementara itu, selain gelak tawa dan jenaka sepanjang temubual yang sama, Rosé juga berkongsi gambaran mendalam tentang perjalanan kerjayanya sebagai anggota BLACKPINK, bagaimana kerjasamanya bersama penyanyi Bruno Mars terjadi, dan proses kreatif di sebalik lagu solonya berjudul APT.
Melihat di ruangan komen, ramai di antara peminat sangat gembira melihat sosok peribadi Rosé yang mudah didekati dan senang meneroka budaya dan makanan British dengan penuh bersemangat.
Sekadar info, Rosé baru sahaja muncul dengan single terbarunya yang berjudul ‘toxic till the end’ dan sehingga kini muzik video itu telah meraih 44 juta tontonan selepas ia dilancarkan di Youtube.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.