‘I have a pen, I have a apple.. Uh! Apple-Pen! (PPAP). Mesti anda masih ingat lagi dengan bait-bait lagu berhantu ni kan?
Percaya atau tidak, penyanyi lagu viral itu Piko Taro telah mendedahkan bahawa dia memperoleh pendapatan untuk lagu PPAP menyamai pendapatan dia bekerja selama 25 tahun.
Perghh, untunglah. Kita berhempas pulas kerja hari-hari tapi Piko Taro hanya dapat untung dengan satu lagu saja dan boleh menyaranya seumur hidup.
Tambahnya lagi menerusi rancangan bual bicara Downtown Now, selepas sebulan lagu itu menjadi viral, dia sudah mendapat pulangan lebih beratus juta yen.
Piko atau nama sebenarnya Daimaoi Kosaka mengakui nilai itu bersamaan dengan angka gaji yang diperolehinya selama 25 tahun bekerja.
Macam mana agaknya pulangan royalti boleh jadi sebanyak itu ya?
Rupa-rupanya lagu PPAP telah banyak menghiasi pelbagai iklan komersial televisyen dan radio serta kolaborasi dengan produk-produk terkenal Jepun.
Piko juga pernah muncul dalam pelbagai muzik video, iklan komersial Softbank dan Sesame Street.
Bukan saja itu, kafe PPAP dan beberapa siri animasi televisyen turut menggunakan jenama milik penyanyi viral ini.
Oh, no wonder la royalti yang dia dapat pun setimpal kan. Memang hebat!
Sumber: astroawani.com
Kehadiran Adik Ainul Mardhiah Di Resepsi Dr Amalina & Bertemu ‘Baby Arabella’ Cuit Perhatian
Biarpun sudah bahagia berumah tangga sejak April 2021, pakar bedah kelahiran Malaysia iaitu Dr Amalina Che Bakri sebenarnya masih belum berkesempatan untuk melangsungkan majlis resepsi rasmi di tanah air.
Ia disebabkan kekangan waktu kerjanya dan suaminya, Alex yang padat serta faktor musim pandemik yang melanda dunia secara kritikal sehingga tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Dr. Amalina Che Bakri Selamat Bernikah Dengan Jejaka Inggeris – REMAJA
Lantas apabila Dr Amalina akhirnya dapat juga duduk di pelamin bersama suami dalam sebuah majlis resepsi di tanah air semalam, situasinya cukup istimewa dan sedikit berlainan daripada kebiasaan.
Bukannya pelamin atau persalinan anak kelahiran Johor itu yang lain daripada yang lain. Sebaliknya, Dr Amalina dapat bersantap sebagai raja sehari bukan hanya bersama seorang suami tetapi juga dengan bayi mereka!
Turut didukung pada peha pasangan pengantin itu ialah cahaya mata perempuan mereka bernama Arabella Mia yang kini memasuki usia hampir tujuh bulan. Arabella juga meraikan pasangan ibu bapanya dalam persalinan sedondon berona lavender.
ARTIKEL BERKAITAN: Comelnya! Arabella Mia, Nama Puteri Sulung Dr Amalina Che Bakri – REMAJA
Ainul Mardhiah Jadi Tetamu Istimewa
Tambah menarik lagi apabila Dr Amalina, Alex dan Arabella Mia berkesempatan untuk menemui tetamu istimewa yang dijemput ke majlis resepsi tersebut iaitu adik Ainul Mardhiah.
Pejam celik, lima tahun telah berlalu selepas Ainul selamat menjalani pembedahan melawan ketumbuhan kanser Germ Cell Tumour.
Pada tahun 2018, ketumbuhan seberat 200 gram pada bahagian mulut Ainul itu telah dibuang menerusi pembedahan yang dijalankan oleh sepasukan doktor pakar di Hospital Kanak-Kanak London. Salah seorang individu paling utama yang bertanggungjawab merealisasikan rawatan ini ialah Dr Amalina sendiri.
Biarpun beberapa tahun sudahpun berlalu, komunikasi di antara Dr Amalina bersama ibu bapa kepada Ainul, Ahmad Safiuddin Abdul Razak dan Nurul Erwani Zaidi masih belum terhenti.
Kongsi bapa kepada Ainul itu, Dr Amalina masih terus berhubung dengan keluarganya untuk mengetahui perkembangan kanak-kanak itu.
Tidak hairanlah, mereka bertiga menjadi tetamu istimewa yang dijemput ke majlis resepsi malah berkesempatan untuk menemui Arabella Mia juga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Simpan Modal Sejak Remaja & Tinggal Kerjaya ‘Makan Gaji’. Pemuda Ini Bangga Mampu Buka Stesen Minyak Sendiri
Berangan itu tak salah kan? Lagi best kalau angan-angan itu menjadi kenyataan. Bayangkan korang dapat sesuatu yang korang impikan dengan titik peluh sendiri. bestnya!!
Itu yang berlaku kepada pemuda berusia 34 tahun ini, Imran Ariff Mohamed @ Razlan, kisahnya memberi inspirasi kepada anak muda lain apabila menjadi antara pengusaha stesen minyak bumiputera termuda di Perlis.
Macam mana Imran Ariff berjaya memiliki stesen minyak seawal usia ini?
Semuanya bermula apabila beliau membuat keputusan untuk menceburi bidang peruncitan petroleum setelah terbaca iklan di laman sesawang Petronas kira-kira lima tahun lalu.
Bermula dari saat itulah bekas jurutera elektronik komputer itu nekad meninggalkan kerjaya ‘makan gaji’ dan beralih ke bidang peruncitan petroleum selepas diterima menjadi wakil niaga Petronas secara ‘Company Owned, Dealer Operate’ (CODO) pada awal 2019.
Imran Ariff menganggap dirinya bernasib baik kerana telah menyimpan modal sejak dari bangku sekolah lagi hasil dari pampasan yang diterimanya kerana terlibat dalam satu kemalangan pada usia 13 tahun dan menyimpan wang tersebut di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Beliau turut menceritakan kisahnya ketika masih belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mana beliau terpaksa mendisiplinkan diri agar tidak menggunakan wang simpanan ASB tersebut biarpun pada masa itu hampir semua rakan-rakanya memiliki telefon pintar mewah kerana menunggu peluang membuat pelaburan yang menguntungkan dan dapat menjamin masa depannya.
Katanya, hanya mengeluarkan duit simpanan sebagai modal permulaan sebanyak RM250,000 pada 2019 apabila menerima tawaran menjadi wakil niaga Petronas.
Menceritakan pengalamannya, Imran Ariff berkata bukan mudah baginya untuk mendapat kepercayaan daripada Petronas dan beliau berusaha keras tanpa rasa putus asa dengan membuat pemohonan sebanyak dua kali bermula pada 2010.
“Pemohonan pertama saya ditolak kerana dianggap terlalu muda untuk menceburi bidang ini, kurang pengalaman dalam pengurusan perniagaan dan latar belakang kerjaya yang kurang sesuai.
“Usaha saya tidak terhenti setakat itu apabila pemohonan kali kedua saya diterima dan berjaya meyakinkan pihak Petronas dengan kertas kerja bertajuk ‘Bagaimana Seorang Jurutera Boleh Menguruskan Stesen Minyak dan Menaikkan Sales‘,” katanya.
Walaupun turut terkesan dengan keadaan ketika ini yang mana kerajaan melaksanakan PKP pada awal operasinya (Mei 2020), namun keadaan makin bertambah baik hasil daripada penggunaan media sosial untuk menarik minat orang ramai datang ke stesen minyak Petronas Jejawi.
Imran Ariff berkata tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya makan gaji kerana percaya bahawa usaha dengan berasaskan kesabaran pasti ada kejayaan.
“Ramai orang muda hari ini cepat mengalah apabila berdepan ujian gentir namun bagi saya perlu ada kesabaran untuk maju dalam perniagaan selain modal dan perancangan kewangan yang mantap,” katanya.
Moga kisah Imran Ariff ini menjadi inspirasi kepada remaja di luar sana untuk berjaya di masa hadapan.
Sumber: Bernama
[Recap 2018] “Saya Kutip Serpihan Otak Anak Satu-Satu”, Keluarga Nafi Kepala Anak Terbelah Dua
Satu lagi insiden menyayat hati berlaku kepada seorang pelajar, Nur Afini Roslan yang maut ketika sedang menjalani raptai sukan disekolahnya Februari yang lalu.
Bilah mesin pemotong rumput melayang sejauh 30 meter dan terkena pada tiga orang pelajar. Malangnya, Nur Afini maut dan dua lagi pelajar hanya tercedera.
Mesti korang ingat lagi kisah ni kan?
“Saya kutip serpihan otak anak yang berterabur di padang sekolah. Satu-satu saya pungut sampai habis. Dia anak sayakan! Luah Roslan bin Samad, 55 tahun.
Inilah luahan sedih bapa kepada pelajar, Nur Afini Roslan yang maut ketika sedang menjalani raptai sukan sekolahnya di SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan sekitar jam 10.30 pagi dua hari lalu.
Dimaklumkan, bilah mesin pisau pemotong rumput dari traktor yang sedang menjalankan kerja-kerja di padang sekolah berkenaan melayang sejauh 30 meter lalu mengenai tiga orang pelajar. Sedihnya, Nur Afini maut di tempat kejadian manakala dua lagi cedera.
Di wajahnya jelas kesedihan yang cukup ketara. Setiap kali ke kubur anak, dia akan menangis pilu. Jiwanya bagai dirobek. Dia sama sekali tidak menyangka, menghantar anak ke empatnya pagi itu, sekitar jam 10.40 pagi, dia mendapat panggilan telefon memaklumkan anaknya ditimpa tragedi.
Berkongsi secara bersemuka dengan Majalah Remaja, Roslan berkata, selepas mendapat panggilan telefon, dia bergegas menuju ke tempat anaknya terbaring kaku.
“Ketika saya sampai, otak anak sudah ditutup dengan plastik. Mungkin dilakukan pihak lain. Tapi bila terpandangkan serpihan otaknya, saya kutip satu persatu dan letakkan di dalam plastic.
“Luluh hati ini. terus terang saya katakan kalau anak saya masih hidup dan dia cedera ketika itu, pihak yang memotong rumput itu mungkin sudah lama kena tumbuk dengan saya.
“Saya sayangkan anak saya. Saya yang hantar dia setiap hari ke sekolah. Kalau ada latihan sukan, arwah akan maklumkan waktu baliknya dan kemudian saya akan jemput.
“Malah saya jugalah yang pujuk arwah untuk diserapkan ke sukan bagi mewakili Negeri Sembilan berbanding dia mewakili Pahang dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang lalu,” katanya yang sesekali dilihat meraup telapak tangannya.
Mengakui “jiwanya” agak terbeban dalam sehari dua ini kerana dikunjungi dan didatangi ramai pihak namun dia akui dia perlu menerima situasi dan tragedi anaknya adalah sesuatu yang telah terjadi.
“Arwah tak mungkin hidup balik. biar banyak saya fikirkan tentang dirinya, masa depannya tetapi semua ini tak akan berulang. Ikutkan saya nak tengok arwah membesar dan seterusnya membina masa depannya. Tapi semua ini tak akan berlaku lagi,’ katanya yang sama sekali sukar menerima kenyataan bahawa kebanyakan akhbar dan media online melaporkan kepala anaknya terbelah dua.
Nafi kepala anak terbelah dua
Jelas ibu arwah, Zalina Mohd Yusof, 48 tahun, dia juga mempersoalkan isu ini. Ikutkan kepala terbelah dua ini ada macam-macam tafsiran dan pemikiran orang terhadap isu diperkatakan tetapi pihak keluarga yang melalui semua keadaan sukar ini.
“Apa maksud terbelah dua? Kalau ikutkan, terbelah dua ini terbahagi dua tapi sebenarnya hanya sedikit tempurung kepala anak yang terkena bilah pisau ini,” katanya memaklumkan hanya tahu kemalangan menimpa anaknya sekitar jam 11pagi selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya, Nor Annisaa, 19 yang menuntut di Matrikulasi Gambang, Kuantan.
Dalam pada itu, Roslan yang terawal sampai di lokasi kejadian berkata, memang tempurung kepala anaknya pecah, kira-kira sebesar tapak tangan tetapi tidaklah sampai terbelah dua.
“Keadaan muka arwah elok seeloknya. Mukanya pun sangat bersih semasa kami selesai memandikan jenazahnya. Nampak seperti dalam keadaan tidur. Sangat cantik dan berseri,” katanya.
“Tak akan beri anak lain sekolah di situ…”
Tragedi yang menimpa, bukan sedikit ingatan untuk dipadamkan. Terlalu pahit dan sukar untuk dia menerima berita ini. Jelas Roslan, biar apa pun penambahbaikan dilakukan oleh pihak sekolah selepas tragedi ini, kenangan pahit itu tetap akan ada.
“Saya tak akan sekolahkan anak lelaki bongsu saya di situ lagi. Tu sekolah saya dulu. Semua adik beradik saya sekolah di situ dulu. Nak lalu bawa motor pun tak sanggup lagi selepas peristiwa ini. Biarlah pergi jauh. Kenangan pahit itu ada dan tak akan padam biar selama mana pun,” katanya mengakui dia tidak sempat berborak dengan anaknya pada pagi kejadian.
Ditanya tentang tindakan kepada pihak kontraktor, buat masa ini Roslan akui dia belum berbincang dengan isterinya, anak-anak serta adik beradiknya tentang saman atau tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini belum fikir lagi. Anak saya pun sudah tak ada. Saya terlalu sayangkannya. Susah nak cakap tentang isu ini,” katanya mengakui sesekali hatinya lemas dengan semua yang mendatang.
*****
Sama juga seperti kebanyakan kes-kes yang berlaku, semuanya disebabkan oleh kecuaian orang lain. Diharapkan 2019 nanti semua pihak lebih peka dalam menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat.