Demam drama tempatan,Takdir Yang Tertulis (TY) nampaknya masih belum berakhir setelah drama tersebut berlabuh siaran di TV3 pada hari Selasa lalu. Kini, ramai yang kembali menontonnya di platform atas talian.
REMAJA berkesempatan untuk mengadakan sesi secara langsung bersama salah seorang pelakonnya, Iman Suhana yang kini popular dengan watak sebagai Rozita atau Ita ‘Ting Tong’.
Kata Iman, dia bersyukur apabila dapat kembali memasuki set pengarah Shahrulezad Mohameddin (Budak Ijat) setelah kali terakhir membintangi drama arahan pengarah tersebut, Monalisa pada tahun 2018.
“Seronoklah apabila dapat bersama-sama wajah familiar seperti Ijat dan Nazim Othman. Saya juga gembira sekali apabila dapat bergandingan untuk kali pertama dengan para pelakon lain dalam drama TYT terutamanya Mummy Didie Alias.
“Saya sudah lama melihat lakonan mantapnya selama ini dan apabila mempunyai banyak babak dengan beliau, saya rasa kerdil sangat. Tapi beliau, pelakon lain dan kru membuatkan saya merasa selesa sepanjang berada di set,” kongsi graduan jurusan persembahan teater ini.
Menyusuri kejayaan TYT yang tidak pernah gagal menduduki senarai topik trending setiap malam ia keudara, momen paling diperkatakan oleh penonton tentulah episod finale yang diadun dengan plot twist.
Menariknya, Iman semasa ditemubual mengatakan bahawa dia ‘mungkin’ sudah mengetahui mengenai perancangan pengarah TYT itu.
Sumber Foto: Instagram @imansuhana
“Saya berada di set pada masa itu tanpa pelakon lain. Hanya ada kru saja. Biasalah dalam produksi drama, skrip sentiasa diolah, ditambah dan dihasilkan di set penggambaran. Jadi semasa mereka berbincang itu, saya terdengar juga yang Mika itu akan dijadikan anak Hakim.
“Cuma saya tidaklah mengambil serius mengenainya kerana skrip sentiasa berubah kan. Tapi mereka pernah lontarkan idea itu.”
Mengenai kejayaan Iman membawakan watak Ita ‘Ting Tong’, Iman merasakan dirinya dan karakter itu tidaklah terlalu banyak berbeza. Cuma ‘level ting-tong’ yang diinginkan oleh pengarah yang berbeza.
“Dengan kawan-kawan, biasalah kita pun jadi ‘ting tong’. Tapi untuk merealisasikan keinganan produksi, tentulah ada perbezaan yang wujud antara diri saya dan Rozita demi elemen dramatize itu.
“Kelakar juga apabila saya imbas kembali beberapa babak yang saya lakonkan untuk TYT. Terlalu ‘ting tong’ sehinggakan jurukamera pun tidak pasti sama ada saya sedang berlakon ataupun serupa orang tidak betul. (ketawa) Terutamanya semasa babak bercakap dengan suami imaginasi di meja makan,” imbas pelakon berusia 31 tahun itu.
Apapun, Remaja ucapkan tahniah buat Iman Suhana kerana berjaya menghiburkan penonton dengan berjayanya. Menyentuh mengenai projek lakonan seterusnya, tidak lama lagi, Iman akan muncul dengan satu telemovie di Astri Citra berjudul ‘6 Langkah Menghancurkan Ex Boyfriend’ arahan Syahid Johan.
Untuk menonton sesi #RemajaDengarKata penuh bersama Iman Suhana, klik video di bawah.