“Rumah Sudah Bersih, Baju Sekolah Siap Gosok..”- Ini Kisah Adik Adam Yang Ayahnya Meninggal Dunia Selepas Hantarnya Ke Sekolah…

Share

Dua hari lalu, viral kisah seorang ayah meninggal dunia selepas menghantar anak sulungnya ke sekolah agama di SRA Jalan 6 Bangi. Arwah  Mohd Idrus Ibrahim, 44 dikatakan mengalami serangan jantung dan kereta Viva yang dipandunya terbabas di bahu jalan dalam kejadian ini.

Ramai yang sayu saat melihat air mata Muhammad Adam Harith, 8 tahun yang berlinangan  dengan pakaian sekolah agamanya. Lebih menyedihkan, arwah ayahnya meninggal hanya selepas beberapa minit menghantarnya ke sekolah agama. Dan dalam perjalanan balik ke rumah itulah, kurang dari 1 km dari sekolah, arwah menemui ajalnya.

Air matanya mengundang simpati netizen yang membaca kisah adik Adam ini

 

Adiknya langsung tidak sempat merasai kasih sayang ayah kerana baru empat hari dilahirkan ketika kejadian Isnin lalu

 

Lebih menambah rasa sedih, arwah baru saja menerima cahaya mata ke tiga, (ketiga-tiga anaknya lelaki) selain isterinya, Mas Suni Mat Hussin, 35 seorang golongan kurang upaya (cacat penglihatan) sepenuhnya.

REMAJA menghubungi isteri arwah, Mas Suni Mat Hussin, 35 yang kedengaran suaranya agak tenang menjawap setiap pertanyaan.

Mas Suni bertudung coklat tenang berkongsi detik akhir bersama arwah suami ketika dihubungi

 

Mengakui dia sihat dan harus kuat demi anak-anak yang masih kecil, cerita Mas Suni, arwah suaminya seperti sudah tahu ajalnya akan hadir.

“Arwah sudah mengemas rumah. Bersih seolah-olah dia tahu orang ramai akan datang menziarahinya. Begitu juga kain baju, semuanya sudah dibasuh dan dilipat kemas. Arwah suami juga sempat menggosak 10 pasang baju sekolah anak-anaknya, seolah-olah tahu itulah khidmat baktinya yang terakhir selain tidak mahu saya rasa penat,” katanya yang menetap di Kuarters Kerajaan Negeri, Seksyen 14 Bandar Baru Bangi.

Memaklumkan yang arwah suaminya tidak sempat mengucapkan kata-kata akhir kepadanya tetapi Mas Suni perasan, di akhir-akhir hayatnya ini, suaminya terlalu suka memanjakan semua kehendak anak-anaknya.

“Pantang anak nak makan apa, dia akan bawa mereka semua keluar. Makan dan minum dan minta apa saja. Tak ada bertangguh-tangguh pun. Arwah juga sempat menemankan saya di bilik bersalin untuk kelahiran ketiga,” katanya memaklumkan suaminya sampai semula ke Bangi pada malam Ahad dan mereka tidak sempat berkomunikasi,” katanya tenang.

Arwah diserang sakit jantung selepas beberapa minit menghantar anaknay Adam ke sekolah agama…

 

 

Kenderaannya terbabas selepas diserang sakit jantung

 

Mas Suni turut berkata, dia ada dihubungi  oleh orang ramai tentang kemalangan menimpa suaminya itu dan dia segera memaklumkan kepada ustazah tempat anaknya belajar, bertanya sama ada Adam sudah sampai di sekolah atau belum.

“Anak kedua saya sudah bersekolah dalam darjah satu. Tapi baru ini dia terjatuh dan tangannya patah. Jadi cuma Adam saja dengan arwah ayahnya,” katanya memaklumkan, dia mengenali suaminya ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah pejabat dan mengikat hubungan sebagai suami isteri tidak berapa lama selepas itu.

Mas Suni yang bekerja sebagai Penolong Pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu 14, Hulu Langat berkata, dia harus kuat demi anak-anak.

“Adam ada bertanya tentang ayahnya. Dia tahu ayahnya sudah tiada kerana dia dibawa oleh gurunya ke lokasi kejadian di mana ayahnya sudah meninggal dunia,” katanya agak sebak.

Tabung Bantu Adik Adam

Dalam pada itu, guru sekolah di mana Adam belajar, SK Jalan 6 Bandar Baru Bangi, Ustaz Hasbullah Pusera yang juga Setiausaha PIBG sekolah ketika dihubungi berkata, semasa ziarah keluarga ini tadi, dia mengakui isteri arwah cukup tabah dan kuat dan mengharungi dugaan ini.

“Kami semua tidak menyangka kejadian ini. Isteri arwah ada menghubungi seorang ustazah bertanya Adam sudah sampai ke belum. Saya sendiri membawa mereka ke lokasi kejadian. Tetapi ketika itu, hanya ada kereta kerana sudah dibawa ke hospital,” katanya memaklumkan satu tabung telah diwujudkan bagi membantu Adam sekeluarga.

Bagi yang mahu membantu meringankan beban keluarga ini, boleh salurkan sumbangan  atas nama PIBG SRK JALAN 6 di akaun 8002229004 (CIMB Bank) dan hantarkan slip sumbangan kepada Ustaz Hasbullah S/U PIBG SK Jalan 6  atau hubungi di talian 019-9101459.

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros