Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat dilihat begitu ramai runner persendirian membuat kerja-kerja “part time” menghantar barang yang ditempah oleh pelanggan.
Memandangkan wabak corona virus ini belum ada penawarnya malah tidak tahu siapa telah dijangkiti, dapat dilihat orang ramai lebih berhati-hati ketika keluar membeli barang dan lebih senang menyerahkan kepada runner tugasan membeli barangan keperluan.
Malah isu upah runner juga telah menarik perhatian ramai kerana ada pelanggan kedekut membayar sedangkan masa diambil oleh runner jauh lebih lama. Malah ada juga runner ditipu oleh pelanggan sedangkan runner sudah mengeluarkan duit sendiri dulu seperti tular di media sosial baru ini.
Namun isu kadar upah ini sebenarnya amat perlu diambil peduli oleh masyarakat kerana ada juga runner yang mengambil kadar upah tak masuk akal.
Dalam satu kejadian dilaporkan oleh Harian Metro semalam, seorang kakitangan kerajaan yang mahu dikenali sebagai Laila, 33, mendakwa pernah menempah kek berharga RM40 dan caj penghantaran dikenakan RM38.
Menurutnya, dia menempah kek untuk menyambut ulang tahun kelahiran adik iparnya dari sebuah kedai kek di Setia Alam, Selangor menerusi aplikasi WhatsApp.
"Pengusaha kedai menggunakan perkhidmatan penghantaran dalam talian untuk menghantar kek ke rumah saya di Pelabuhan Klang.
"Sebaik penghantar bermotosikal tiba di rumah, saya terkejut apabila perlu membayar caj penghantaran RM38. Barang sudah dihantar, saya tiada pilihan.
"Saya kemudian lihat Google Maps jarak penghantaran kira-kira 27 kilometer. Saya tidak menyalahkan penghantar itu kerana dia hanya jalankan tugas, cuma saya keliru bagaimana pengiraan dibuat oleh syarikat penghantar terbabit," katanya.
Menurutnya, itu pengalaman pertamanya dikenakan caj penghantaran tinggi kerana sebelum ini dia hanya buat tempahan di sekitar kawasan perumahan menggunakan khidmat penghantar persendirian yang mengenakan caj antara RM3 hingga RM5 sahaja.
Susulan kes ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan media memaklumkan, sekiranya orang perseorangan memberi penyataan palsu atau mengelirukan berhubung kos pengangkutan atau penghantaran bagi mana-mana barangan atau perkhidmatan, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM250,000 dan pemenjaraan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
So bagi yang masih nak buat kerja-kerja runner persendirian ini, sila hadam baik-baik ya akta di bawah KPDNHEP ini.