Rupanya 3 Wanita Bawa Anjing Yang Tular Adalah Pelajar Veterinar, UPM Tampil Beri Penjelasan

Share

Perkara beginilah yang boleh merosakkan bukan sahaja masyarakat tetapi melahirkan generasi yang prejudis penuh syak wasangka. Dalam tempoh beberapa hari lalu telah tular sebuah rakaman video yang memaparkan tiga orang wanita membawa tiga ekor anjing berjalan.

Dek kerana rakaman itu, ia telah menjadi tular kerana kononnya tidak menjaga sensitiviti agama. Lebih mengharukan ramai netizen yang melatah dan memberi komen negatif terhadap mereka bertiga sedangkan tidak mengetahui pun hal yang sebenar.

Video yang tular:

Pada hari ini, Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Nor Kamariah telah tampil memberikan penjelasan dan kenyataan media rasmi menerusi Facebook rasmi UPM tentang perkara tersebut. Ketiga-tiga orang wanita yang dirakamkan membawa anjing tersebut merupakan pelajar Doktor Perubatan Veterinar (DPV) UPM Tahun Pertama pengajian yang sedang menjalani latihan praktikal luar kampus selama seminggu mulai 2 Julai hingga 8 Julai di PAWS Animal Welfare Society, Subang, Selangor.

Menurut UPM lagi, latihan luar kampus tersebut adalah sebahagian daripada syarat keperluan pengajaran dan pembelajaran DPV. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sepanjang 5 tahun pengajian, pelajar program DPV di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UPM perlu mengikuti kluiah, amali, amalan klinikal dan makmal di Hospital Pengajaran Veterinar Universiti (UVH), Makmal Diagnosis dan Taman Pertanian Universiti (TPU) di kampus UPM Serdang.

Pelajar juga akan terlibat dengan latihan praktikal luar kampus semasa cuti semester pengajian seawal tahun pertama pengajian samada di dalam mahupun di luar negara.

Jelas beliau lagi, ini bagi memastikan graduan DPV UPM mempunyai pengetahuan, kompeten dan berkemahiran insaniah yang cemerlang dalam memastikan kebajikan dan kesihatan haiwan, merawat, mengawal dan mencegah merebaknya penyakit pada haiwan dan manusia serta memastikan kecukupan makanan negara berasaskan sumber haiwan. Ianya melibatkan semua spesis haiwan samada yang kecil atau besar seperti kucing, anjing, babi, burung, ayam, lembu, rusa, ikan, gajah dan lain-lain haiwan. Keperluan ini adalah merupakan syarat bergraduat program DPV yang dikawal oleh Majlis Veterinar Malaysia.

Pelajar yang beragama Islam tidak terkecuali untuk mengendalikan pelbagai spesis haiwan tersebut. Pihak universiti sentiasa memastikan kebajikan para pelajar terpelihara termasuk menyediakan kemudahan menyamak setiap kali selesai sesi latihan.

Sehubungan itu, paparan video tersebut bukan menggambarkan secara keseluruhan dakwaan orang ramai (netizen) mengenai isu menyentuh anjing oleh orang Islam yang ditularkan.

Kami di REMAJA berasa agak kesal dengan sentimen seperti ini. Janganlah kerana inginkan sesuatu yang sensasi dan tular maka cepat sahaja ingin dikongsikan ke laman media sosial tanpa usul periksa. Sebelum share fikir dahulu dan jika tidak pasti bertanyalah kepada pihak berkenaan. Buang jauh-jauh sikap syak wasangka dan jangan pandang negatif sahaja.

Kenyataan Media Rasmi UPM:

Published by
Farizul Izwany Ibrahim