Semalam, di hari Jumaat penghulu seluruh hari, sekali lagi seluruh dunia tertumpu ke New Zealand. Dalam keadaan sebak, sayu dan pelbagai lagi perasaan timbul tatkala satu persatu jenazah 50 mangsa korban tembakan pengganas dikebumikan.
Jika di Malaysia, kita begitu terasa dengan pemergian adik Mohd Haziq, 17 tahun yang turut menjadi korban dalam tragedi sukar dilupakan dunia ini.
Sikap prihatin ketua negara New Zealand yang diketui Perdana Menterinya, Jacinta Arden serta seluruh rakyatnya yang bertindak menjadi benteng tatkala umat Islam bersolat Jumaat semalam adalah satu pemandangan luar biasa sekali.
Di sebalik kisah ini, tentu ramai yang tertanya-tanya apa yang berlaku semasa proses memandikan 50 jenazah mati syahid inikan.
Ikuti pengalaman seorang sukarelawan yang berkongsi kenangannya.
Jika di negara ini, sebaik seorang meninggal dunia, beberapa jam kemudian jenazah akan dimandi, kemudian dikafan dan dibawa ke tanah perkuburan. Kurang dari 24 jam semua proses pasti selesai kerana tidak mahu menyeksa jenazah.
Namun dalam kes di New Zealand ini, memandangkan jumlah jenazah banyak, para sukarelawan mengambil masa selama tiga hari untuk melakukan semua pengurusan jenazah.
Sebelum itu, satu pasukan khas dibentuk bagi memandikan 50 mangsa tembakan Jemaah Masjid Al Noor dan Linwood ini. Dalam satu temubual dengan AFP semalam, seorang sukarelawan yang mahu dikenali sebaga Mo berkata, dia sengaja datang dari Brisbane, Australia dan menjadi sukarelawan memandikan 50 mangsa tragedi menyayat hati ini.
Bersama pasukan yang dia tidak kenali pun yang terdiri dari 10 orang sukarelawan dan tiga orang doktor selain dibantu oleh ahli keluarga mangsa, Mo berkata, disebabkan skala jenazah agak besar, mereka memandikan 47 jenazah lelaki dan tiga lagi jenazah wanita dilakukan oleh sukarelawan wanita.
“Para doktor melakukan pekerjaan yang sangat luar biasa dengan membuat jenazah amat sempurna dipandang. Luka tembakan dijahit begitu sempurna menjadikan jenazah kelihatan amat elok dipandang,” katanya sambil menambah, jenazah dimandikan tiga kali.
“Pertamanya menggunakan air suam bagi membersihkan semua luka-luka ditubuh. Keduanya menggunakan air berasal dari pohon yang dianggap suci. Setelah itu, jenazah dimandikan menggunakan air beraroma wangi. Tubuh sebelah kanan merupakan bahagian pertama dimandikan dan kemudian di sisi kiri.
Allah sebaknya bila baca perkongsian Mo ni.
Katanya, pasukan sukarelawan melakukan semua tugasan memandikan jenazah seperti keluarga sendiri. Saya mandikan mereka seperti saya memandikan jenazah ayah atau saudara saya,” kata Mo sambil menangis.
Selepas itu bahagian yang sering dikenakan ketika mengambil wuduk seperti kaki, tangan dan wajah dibersihkan untuk terakhir sekali dengan kain basah.
Selepas selesai, jenazah diberikan wangi-wangian. Tahap terakhir adalah mengapankan jenazah menggunakan kain kapan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
BACA SINI : Gambar PM New Zealand Di Burj Khalifah, UAE Beri Sokongan Ketika Beliau Terima Ugutan Bunuh
LAGI : Kenapa Lambat? Ini Jawapan Sebenar Kenapa Kes Arwah Haziq Baru Diumumkan
Mo berkata, dalam kejadian itu, pasukannya turut memandikan seorang sukarelawan lain yang meninggal akibat kemalangan kereta di negara tersebut.
Mo mengakui, dia dan pasukannya tidak mendapat tidur yang cukup selama tiga hari ini kerana mereka mula memandikan jenazah pada jam 8 pagi di akhiri jam 2 pagi. Dan jenazah terakhir yang mereka mandikan adalah pada jam 2.00 petang hari Jumaat sekaligus menyelesaikan semua jenazah yang menjadi korban pengganas.
Mengakui suasana selepas selesai memandikan itu berlangsung penuh emosi, Mo mengakui seluruh anggota sukarelawan menangis berpelukan kerana mereka sudah menyelesaikan tugasan fardu kifayah ini dengan penuh rasa sebak.
“Ini adalah kenangan yang membahagiakan kerana kami tahu telah melaksanakan satu tugas mulia kepada para korban syahid ini. Biar saya hanya dapat tidur satu jam selepas proses selesai tetapi itulah tidur terlena yang pernah saya rasakan,” katanya penuh sebak.
Semoga Allah memberikan limpahan pahala berganda buat para sukarelawan yang membantu 50 korban ini.