Merokok merupakan salah satu punca seseorang individu itu mendapat penyakit berbahaya dan ia secara tidak langsung memberikan kesan buruk kepada perokok. Apa yang lebih membimbangkan, ada yang mula menghisap rokok sewaktu di bangku sekolah lagi. Hal ini menunjukkan satu gaya hidup yang tidak sihat telah berlaku dalam masyarakat kita.
Sebelum ini, kerajaan pernah bercadang untuk melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada mereka yang dilahirkan selepas 2005. Lebih daripada 27,200 kematian disebabkan merokok di Malaysia dilaporkan setiap tahun.
BACA: Malaysia Cadang Haram Penjualan Rokok Kepada Mereka Yang Lahir Selepas 2005
Terbaharu, Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti merokok telah dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Menurut rang undang-undang itu, individu berkenaan yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika disabitkan kesalahan.
BACA: Benarkah Produk E-Rokok Sama Buruknya Dengan Rokok ‘Ori’?
Bagi individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.
Manakala, pihak yang didapati bersalah menjual apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok kepada individu yang lahir sebelum 1 Jan 2007 dan masih belum mencapai 18 tahun pada tarikh akta tersebut berkuat kuasa boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Di laman Twitter juga, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ada menjelaskan kos yang ditanggung negara untuk merawat penyakit akibat merokok adalah lebih tinggi berbanding jumlah kutipan sumbangan jualan produk tembakau.
Ini juga merupakan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal hasil tembakau dan merokok, termasuk melaksanakan peruntukan ‘Generational End Game (GEG)’. Jelas Khairy lagi, GEG mampu mengurangkan kos rawatan, mengawal selia industri vape dan menyelamatkan dua juta nyawa.
Terdahulu, kerajaan New Zealand juga ada bercadang untuk mengenakan larangan ke atas genarasi muda daripada membeli rokok sepanjang hayat mereka, dan ia sebahagian daripada langkah paling tegas memerangi industri tembakau.
BACA: New Zealand Rancang Larangan Pembelian Rokok Sepanjang Hayat Bagi Generasi Muda
Semoga usaha-usaha ini dapat dijalankan dengan lancar dan secara tidak langsung sedikit demi sedikit kita mampu membanteras gejala merokok daripada berleluasa.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.