Tahniah diucapkan buat negara kita kerana telah mencipta sejarah baru apabila Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata kelulusan ini telah membuktikan bahawa generasi muda sudah mencapai tahap pengetahuan lebih tinggi berbanding dulu.
Usul ini adalah untuk memperkasakan anak muda di Malaysia dan mengambil kira tahap ketinggian pengetahuan serta pendidikan negara pada hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan keputusan ini merupakan hari bersejarah bagi Malaysia, buat pertama kalinya undang-undang diluluskan dengan (sokongan) semua pihak tanpa ada sastu pun undi menolak.
Apa kata netizen?
Berita ini mendapat reaksi positif daripada masyarakat Malaysia yang rata-ratanya menerima baik keputusan yang telah dibuat oleh RUU.
Nampak gaya seperti semua menyambut positif. Namun dalam bebenang komen pada posting Instagram @majalahremaja, ada yang menganggap pindaan tersebut sebagai tidak perlu.
Kata mereka, remaja berusia 21 tahun juga masih kurang berdaftar sebagai pengundi rasmi. Inikan lagi remaja berusia 18 tahun yang rata-rata masih belum berpengalaman mengendalikan keputusan seberat itu kerana mereka baru saja mengenali alam pengajian tinggi.
Apapun, semoga keputusan ini memberikan satu impak yang positif bagi negara Malaysia.
Sudah tiba masanya untuk anak muda mengambil tanggungjawab dalam menentukan masa hadapan negara.