Safwan Nazri Berjaya Buka Cawangan Ayam Goreng Cheese Yang Ke-4 Dalam Tempoh Setahun

Share

Satu demi satu kejayaan yang diperoleh oleh finalis Hero Remaja dan kali ini, Safwan Nazri yang merupakan finalis top 7 Hero Remaja 2017 kini sudah pun mengembangkan bisnesnya sedikit demi sedikit.

Bermula Ogos tahun lalu, Safwan telah pun memulakan perniagaan francais Ayo Fried Chicken, iaitu pengasasnya adalah rakan baiknya sendiri, Zahir Ariffin. Baru lebih kurang setahun beroperasi, perniagaan yang diuruskan oleh Safwan ini sudah pun mempunyai empat buah cawangan di daerah Utara.

Dari kiri, Safwan Nazri, Zahir Ariffin dan isterinya, Saidatul Amin

“Syukur Alhamdulillah, saya tak sangka penerimaan terhadap bisnes ayam goreng cheese ini mendapat sambutan yang luar biasa di bahagian Utara. Bermula dengan cawangan pertama yang dibuka di Jitra, Alhamdulillah hari demi hari jumlah jualan yang diterima sangat memberangsangkan,”

“Daripada situ, saya mengambil peluang ini untuk membuka cawangan di Alor Setar selepas beberapa bulan kejayaan branch di Jitra. Kemudian, saya mengorak selangkah lagi apabila berjaya membuka cawangan di Sungai Petani dan terbaru di Ipoh, Perak,” jelas Safwan.

Mungkin ramai yang tidak tahu tujuan utama Safwan membuka perniagaannya adalah untuk ibu dan ayahnya. Dia berniat untuk membantu keluarga dan dengan cara itu juga, dia dapat memberikan pendapatan setiap bulan kepada ibu dan ayah.

“Sebenarnya saya membuka perniagaan ini adalah untuk ibu dan ayah, sekali gus ingin membalas jasa mereka kerana telah membesarkan kami adik-beradik selama ini. Mungkin dengan apa yang saya berikan ini tidak mampu membalas semua jasa mereka, namun setidaknya saya ingin melihat keluarga saya senang dan bahagia,” tambahnya lagi.

Ditanya kenapa dia memilih Ayo Fried Chicken sebagai bisnes yang dijalankan, Safwan Nazri ada jawapannya tersendiri.

“Pada mulanya saya ingin mengeluarkan produk sendiri, namun disebabkan tiada pengalaman, saya membuat keputusan untuk belajar daripada kawan baik saya, Zahir yang merupakan founder kepada Ayo Fried Chicken. Saya sangat berterima kasih kepada beliau kerana banyak memberi tunjuk ajar tentang dunia perniagaan,”

“Perniagaan ini juga simple dan tidak memerlukan ramai pekerja. Hanya dengan menjual ayam goreng cheese, pendapatan yang diperoleh setiap bulan adalah sangat memberangsangkan. Walaupun kini sales agak menurun akibat PKPD yang sedang berlaku di Kedah, namun saya percaya setiap perniagaan memang ada turun naiknya,”

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pelanggan yang menyokong saya dan doakan agar perniagaan saya semakin maju InsyaAllah,” jawabnya.

Syabas REMAJA ucapkan kepada Safwan diatas kejayaanya dalam bidang perniagaan makanan. Selain daripada meniaga, Safwan juga kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama televisyen.

Published by
Noor Ain Norman