Sah Mak Cik Meninggal Sendirian Di Rumah Positif COVID-19, Jiran Akan Lebih Peka

Share

Beberapa hari lepas, Remaja ada menyiarkan kupasan berita tentang kematian seorang warga emas yang meninggal dunia sendirian di rumahnya yang terletak di Projek Perumahan Rakyat Pantai Permai, Pantai Dalam.

BACA: “Ingatkan Bau Sampah, Rupa-Rupanya..” Jiran Cemas Jumpa Mak Cik Meninggal Sendirian Di Rumah

Terbaharu, kami mendapat laporan bahawa Allahyarham mak cik itu telah disahkan positif COVID-19. Baru sebentar tadi, kawasan kejiranan di sana mendapat tahu berita ini dan menzahirkan rasa duka cita atas kejadian yang menimpa individu warga emas itu.

“Semalam urusan pengebumian mak cik itu telah selamat disempurnakan dan hari ini pula, kami baru dapat tahu bahawa Allahyarham disahkan positif COVID-19. Memang agak terkejut dan tidak sangka perkara ini boleh berlaku. Ini merupakan kejadian pertama yang terjadi di sini, iaitu kes meninggal dunia sendirian di rumah,”

Sumber: Ammar Halim

“Mujur saja sewaktu usaha memecahkan pintu rumah rumah Allahyarham, tidak ada jiran-jiran lain yang mendekati. Lagi pun, pihak frontliners memang menjaga SOP dengan ketat dan tidak membenarkan sesiapa mendekati mereka sewaktu melakukan operasi pencarian. Selepas itu, kami juga dapat tahu petugas terbabit ada melakukan proses sanitasi sejurus selepas mayat dikeluarkan dari rumah tersebut,” jelas Ammar.

Kejadian yang berlaku ini juga membuatkan Ammar Halim lebih peka terhadap keadaan sekelilingnya dan dia juga turut menasihati masyarakat lain, khususnya mereka yang tinggal di rumah bertingkat untuk sentiasa ambil tahu tentang keadaan jiran di sekeliling.

“Memang la kalau ikutkan agak mustahil untuk saya ambil tahu tentang kehidupan semua jiran-jiran di sini kerana flat ini sahaja mempunyai 15 tingkat. Tapi bagi saya, dah cukup baik kalau kita ambil tahu tentang keadaan jiran-jiran setingkat. Kalau semua ada sikap tanggung jawab untuk bertanya khabar dengan jiran sebelah setiap hari, insyaAllah perkara-perkara seperti ini dapat dielakkan,”

“Tapi bila jiran sering bertanya khabar, jangan pula kita melabelkan mereka sebagai ‘penyibuk’. Kena faham waktu-waktu seperti sekarang ini memang wajar sekiranya masing-masing mempunyai sikap ‘penyibuk’ itu. Siapa tahu memang ada orang-orang disekeliling kita yang memerlukan bantuan tetapi malu untuk meminta,”

Ammar Halim
yang ditemu bual oleh wartawan Remaja

“Saya juga berharap agar golongan muda juga tidak terlepas untuk melakukan tanggungjawab ini. Janganlah hanya mengharapkan kepada orang tua kita untuk tahu keadaan di sekeliling rumah, apa salahnya kita yang muda ini turut ambil tahu apa yang berlaku disekitar kawasan rumah,” tambah Ammar lagi.

Takziah kami ucapkan kepada keluarga Allahyarham mak cik itu dan semoga kisah ini dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya mengambil tahu keadaan jiran disekeliling kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Published by
Noor Ain Norman