Salah Fakta, Pakar Catur Dunia Saman Siri The Queen’s Gambit

Share

The Queen’s Gambit pernah trending tidak lama dahulu dengan menerima pujian serta menjadi pilihan nombor satu penonton di Netflix; terutamanya di Malaysia.

Namun, baru-baru ini seorang ‘master’ atau pakar catur dunia berketurunan Soviet yang dikenali sebagai Nona Gaprindashvili khabarnya telah menyaman pihak produksi atas alas kesalahan fakta yang ditonjolkan dalam siri tersebut!

Watak Elizabeth Harmon yang dilakonkan oleh Anya Taylor-Joy.

Sedikit latar belakang kisah The Queen’s Gambit ini, ia menceritakan tentang kehidupan seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu bernama Berth Harmon yang genius dalam permainan catur. Mengambil latar masa sekitar 1960-an ke awal 70-an, The Queen’s Gambit membawa penonton melihat transformasi Beth yang berubah daripada seorang budak sekolah berusia 13 tahun yang suram menjadi remaja perempuan yang glamor memasuki arena catur.

Kes saman yang dikenakan oleh Nona Gaprindashvili ini muncul apabila dia mendakwa Netflix telah memberikan fakta salah mengenai diri beliau dalam episod finale yang ditayangkan.

Ia mengenai peristiwa pada tahun 1968 di mana dia disebut sebagai seseorang yang tidak pernah bertanding catur dengan pemain lelaki. Sedangkan realitinya adalah sebaliknya apabila Nona pernah menewaskan ramai pemain lelaki sebelum ini termasuklah 10 pemain lelaki berstatus ‘grandmaster’ pada waktu itu.

Oleh yang demikian, wanita berusia 80 tahun ini memfailkan saman bernilai USD5 juta (kira-kira RM20.86 juta) sebagai pampasan dan untuk Netflix memperbetulkan kenyataan yang mengatakan beliau tidak pernah bertanding dengan pemain lelaki.

Ayat tersebut dipetik pada episod terakhir The Queen’s Gambit semasa pengulas dalam episod itu membandingkan Beth Harmon dengan Nona Gaprindashvili.

“Elizabeth Harmon bukan seorang pemain yang hebat mengikut standard. Perkara yang baharu mengenainya hanyalah disebabkan jantinanya. Itu pun bukanlah satu perkara yang unik di Rusia. Kita mempunyai Nona Gaprindashvili, tapi dia ialah seorang juara dunia catur wanita dan tidak pernah bertemu lawan lelaki.”

Gaprindashvili semasa bertanding di Kongres Catur Antarabangsa di London pada 1964. Sumber: Getty Images

Kes 25 muka surat ini telah difailkan di Mahkamah Daerah Persekutuan Los Angeles pada 16 September lalu. Ia antaranya menyebut, “Netflix secara terang-terangan sengaja berbohong mengenai pencapaian Gaprindashvili dengan tujuan sinis bagi menaikkan drama untuk menjadikan hero fiksyen berjaya melakukan apa yang tidak dilakukan oleh wanita lain termasuk Gaprindashvili”.

Selain itu, ia berbunyi, “Tuduhan Gaprindashvili tidak pernah menghadapi (bertanding) lelaki adalah palsu, seksis dan merendahkan wanita”. Ia juga berkata skrip drama itu telah diubah daripada buku yang diadaptasi.

Ya, The Queens Gambit diadaptasi dari sebuah novel yang pernah diterbitkan 37 tahun lalu. Buat masa ini, Netflix menafikan dakwaan berkenaan sebagai ‘tiada merit’ kerana The Queens Gambit digambarkan sebagai satu tanda penghormatan kepada Nona Gaprindashvili dan kerjayanya.

Hhm, ironi bukan apabila kes ini menjadi tular sehari sebelum drama The Queen’s Gambit dinobatkan sebagai Siri Pendek atau Antologi Terbaik di Emmy’s 2021 pada hari ini; selain 10 kategori lain yang turut dimenanginya.

Sumber: BBC

Published by
Nana