Salah Guna Gambar Untuk Menipu Di Media Sosial, Natrah Khalid Jadi Mangsa Terbaru

Share

Dalam dunia komunikasi yang bergerak tanpa sempadan ini, memang sukar untuk sesiapa mempunyai kehidupan yang serba private. Walaupun korang tak memuat naik gambar di akaun Facebook, Instagram dan WeChat sekalipun, pastinya kawan korang yang ada di tempat sama akan tag korang pada gambar mereka.

Hasilnya, sesiapa saja boleh mengetahui pergerakan seharian semua orang.

Bagi tahun 2017 saja setakat bulan Mei lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mencatatkan sebanyak 2,340 jumlah aduan terhadap salah laku dan salah guna di media sosial. SKMM melaporkan jumlah tersebut akan jauh menandingi jumlah laporan bersih tahun 2016 iaitu sebanyak 3,188.

Banyak tu!

Terbaru, heboh seketika di Facebook baru-baru ini apabila terdapat kes penipuan jual beli kereta Perodua yang diperkatakan orang ramai.

Banyak juga kata-kata tohmahan yang dilontarkan kepada akaun yang sudah dikenal pasti itu. Namun, apa yang mengejutkan REMAJA adalah apabila akaun tersebut memaparkan foto milik finalis Dewi Remaja 2014/2015, Natrah Khalid!

Natrah turut terkesan dengan insiden tersebut apabila wajahnya dikongsi di pelbagai laman sosial dan portal online sehingga Natrah mendapat tahu mengenai perkara tersebut.

Secara tak langsung, ia bukan saja memburukkan nama Natrah tetapi juga turut mengheret kenalan rapatnya untuk turut sama naik hairan.

Takkan lah Natrah yang dikenali mereka selama ini akan berkelakuan sedemikian. Setahu mereka, Natrah sentiasa menyibukkan diri dengan pelbagai projek modelling sambil melanjutkan pelajaran.

Tanpa berfikiran panjang, model tersebut terus membuat laporan polis mengenai hal tersebut dan menyiarkan laporan yang dibuatnya itu menerusi akaun Instagramnya. Ia untuk menjelaskan perkara yang sebenar dan pada masa yang sama, membersihkan namanya.

Antara petikan caption yang ditulis Natrah berbunyi seperti:

Assalamualaikum, Natrah dah buat laporan polis berkenaan dengan kes penipuan jual beli kereta produa yang viral dekat facebook baru-baru ni. Individu yang tak bertanggungjawab pakai gambar Natrah untuk buat urusan jual beli kereta dan tipu ramai pihak.

 

Harap jangan tertipu dengan gejala scam di wechat dan media social yang lain. Selidik dulu sebelum percaya degan orang yang tak dikenali. Last kata, nak menipu duit orang tu JANGAN GUNA MUKA orang lain. Cukup2 aniaye orang lain.

 

Jangan mudah percaya beli jual bagai semua di sosial media tanpa selidik terlebih dahulu. Kepada sesiapa yang dah kena tipu atau hampir2 kena tipu, mintak jasa baik buat laporan polis terus, pihak polis tengah jalankan siasatan atan penipuan ni. Sebab dah ada nama dan nombor acc penipu tu.

Tiada Siapa Yang Terselamat Daripada Scammers

Masih banyak sebenarnya akaun-akaun palsu yang wujud di Facebook, Instagram, Blog, WeChat, WhatsApp, Telegram dan sebagainya yang tidak takut untuk menggunakan imej figura sepopular dan secantik Natrah demi kepentingan mereka sendiri.

Tapi itu tak bermaksud orang biasa seperti kita akan terlepas daripada ancaman scammer seperti ini.

Apa yang korang boleh lakukan mulai sekarang adalah untuk lebih berhati-hati ketika memuat naik gambar mahupun story di media sosial. Orang luar sentiasa memerhatikan tindak-tanduk golongan remaja seperti korang.

Sekali terlepas langkah, akan ada yang bakal menggunakan gambar dan video tersebut untuk kepentingan sendiri.

Sekiranya korang mengenali sesiapa yang menghadapi situasi seperti Natrah, jangan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak SKMM.

Pergi saja ke laman web SKMM untuk melaporkan aduan berbentuk ancaman dalam talian, ucapan kebencian, salah guna maklumat dan foto, pesanan seks, pembuliaan siber, penyebaran maklumat peribadi dan keganasan (grafik).

Korang juga boleh salurkan aduan melalui portal Aduan SKMM: complaint.cfm.org.my, email kepada aduanskmm@cmc.gov.my atau WhatsApp saja ke nombor +6016 2206 262

Published by
FZ