“Janganlah Dengki” – Pelakon, Yuna Rahim Pertahankan Meerqeen

Share

 

Mulut orang, kita memang susah nak tutup.

Tapi sekiranya sudah terang-terangan seseorang  mempamerkan sifat dengki di bahagian komen media sosial, tentulah kita tidak mahu ia berlaku pada rakan  sendiri.

Dua hari lalu, pelakon yang popular dengan watak Cempaka menerusi drama Sweat Dreams, Yuna Rahim telahpun menegur seorang netizen yang mempersoalkan peluang lakonan yang diterima oleh pemenang tempat ketiga Hero Remaja
2020, Shameer Shauqeen ataupun Meerqeen.

Dalam posting poster telefilem komedi seram, Kelaster yang dimuat naik oleh Meerqeen, seorang netizen telahpun mempersoalkan kelayakan pelakon itu untuk digandingkan dengan pelakon senior dalam telefilem tersebut seperti Azhan Rani, Nora Danish dan Achey.

Lalu tanpa teragak-agak, Yuna yang juga merupakan gandingan Meerqeen dalam drama baharu, Angkara Cinta menjawab semula komen tersebut. Komen netizen itu bagaimanapun telah dipadamkan setelah Yuna berbuat sedemikian.

*

Bercakap kepada REMAJA mengenai komen balasnya pada posting Meerqeen tersebut, Yuna mempertahankan tindakannya itu kerana baginya, peluang berlakon berbalik kepada rezeki seseorang.

“Salah ke kalau pelakon baru diberi peluang untuk bergandingan dengan pelakon senior atau pelakon yang mempunyai nama besar? Itu adalah rezeki pelakon itu dan juga merupakan batu loncatan untuknya mengasah bakat.

“Apabila berada di set bersama pelakon seperti Achey dan Nora, saya percaya dia (Meerqeen) juga banyak belajar dan menerima tip daripada mereka berdua, selain daripada pengarah. Jadi mengapa netizen perlu mempertikaikan pula?

“It is not right to say such things like

‘layak ke tak layak untuk berlakon dengan A dan B’. Janganlah kita dengki,” jelas Yuna.

Tambahnya lagi, di antara 10 orang yang mengenali kita, mungkin 9 orang saja yang menyukai kita. Oleh itu, dia berharap agar Meerqeen ataupun pelakon baru lain tidak mengambil peduli jika menerima komen negatif sedemikian.

“Saya bukanlah nak memperbesarkan sesuatu perkara. Namun, saya tidak akan teragak-agak untuk menegur jika ada komen daripada netizen yang saya rasakan tidak patut. Bila kita cuba educate, mungkin ada orang ingat kita sedang marah. Tidak marah, hanya tegur.”

 

Drama Takdir Kita

Bercakap mengenai drama Angkara Cinta yang bakal ditayangkan tidak lama lagi di saluran Astro Prima, Yuna merasakan penonton akan addicted dengannya kerana ia menampilkan barisan pelakon baru dan lama yang mempunyai tarikan masing-masing. Malah, Yuna juga yakin jalan ceritanya yang berkisarkan keluarga ini akan mudah diterima.

“Saya memegang watak Jiji yang rapat dengan keluarga karakter lakonan Meerqeen, Hun Haqeem dan Nina Juren. Sebaik mungkin, Jiji ingin membantu keluarga tersebut.

“Walaupun sibuk di set kerana drama ini melibatkan 70 episod, namun kami seronok melayan perangai masing-masing apabila ada waktu lapang. Terutamanya Syazwan Zulkifly dan Meerqeen, ada je perangai mereka,” katanya lagi.

Yuna juga teruja apabila kembali bergandingan dengan Nina Juren setelah mereka akrab daripada drama Sweet Dreams yang tular pada tahun lalu.

Published by
FZ