Salji Turun Di Arab Saudi Bukan Fenomena Luar Biasa, Individu Ini Jelas Sebabnya

Share

Setiap tahun, situasi turunnya salji di bumi Arab menjadi bualan dalam masyarakat Malaysia dan dianggap satu fenomena luar biasa.

Terbaharu, sebuah gunung di Arab Saudi, Jabal al-Lawz, Tabuk diseliputi salji sejak beberapa hari lalu. Ia setelah gunung setinggi lebih 2,500 meter di wilayah barat laut negara itu dilanda cuaca sejuk melampau dan hujan.

Namun, persoalannya adakah normal jika salji turun di negara Arab Saudi?

Foto: Arab News

Selalunya kita akan menganggap rantau negara Arab sebagai rantau berpadang pasir dan sudah tentu mengalami cuaca panas. Jadi apabila au dilanda musim salji, ramai pula yang pelik dan beranggapan ia sebagai pentanda hari Kiamat sudah semakin hampir.

Foto: Arab News

Ekoran persoalan dan spekulasi ini, seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Masnira Ramli telah berkongsi sedikit info tentang kejadian musim salji memandangkan dia menetap di tanah Arab.

Menurut Masnira, Arab Saudi ialah negara terbesar di antara negara seanteronya seperti UAE, Jordan, Syria, Palestin dan banyak lagi. Oleh itu, Arab Saudi mempunyai bervariasi bentuk muka bumi. Dari sudut geografi, ia adalah seperti berikut:

 

1. Gurun dan padang pasir

Foto: tripzilla.com

Bentuk muka bumi inibiasa kita lihat semasa berkunjung ke Makkah, Madinah dan Jeddah. Terdapat gurun, padang pasir dan apabila tiba musim panas, keadaan memang boleh bertukar betul-betul panas sehingga suhu mencecah 50 darjah Celsius.

 

2. Tanah tinggi

Foto: visitsaudi.com

Inilah kawasan yang biasanya dituruni salji pada setiap tahun. Ia terletak di bahagian utara Arab Saudi yang dikenali sebagai wilayah Tabuk; iaitu berdekatan negara Jordan. Di sana, kawasan yang dituruni salji ini dinamakan Jabal Al Lawz. Memang pada setiap tahun, pastinya salji akan turun di sini pada musim sejuk. Memandangkan ia adalah kawasan tanah tinggi, suhu minimum pada musim sejuk boleh mencecah sehingga -10 darjah Celsius!

 

3. Oasis

Foto: theculturetrip.com

Arab Saudi juga dianugerahkan dengan kawasan yang subur dan kaya dengan hasil pertanian yang dipanggil sebagai oasis. Suhunya lebih kurang saja seperti di Malaysia dan panoramanya lebih menghijau, mempunyai sungai serta air terjun.

 

4. Persisiran pantai

Foto: expatica.com

Arab Saudi turut  mempunyai kawasan persisiran pantai cantik. Biasanya, kalau ke sana kita akan melawat Jeddah. Namun tahukah korang, ada satu lokasi yang dikenali sebagai Umluj dan diberikan jolokan ‘Maldives Arab Saudi’ kerana terdapatnya pulau-pulau yang mempersonakan!

*

Berbalik kepada fenomena turunnya salji di Arab Saudi iaitu dari Makkah hingga ke Tabuk, lokasi tersebut merangkumi kawasan sejauh 1,000 kilometer atau lebih kurang 12 jam memandu. Oleh itu, jelaslah bahawa fenomena ini bukan sesuatu yang luar biasa di Arab Saudi.

Harapnya penjelasan ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada korang semua.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1), (2)

Published by
Noor Ain Norman