“Ambil kesempatan dalam kesempitan…”
Itulah gambaran luahan perasaan penyanyi terkenal tanah air, Naim Daniel di laman media X baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Protes Jalanan Oleh Ribuan Warga Seoul DIPUJI Netizen, Negara Bukan Majoriti Islam Pun ‘Demand’ Keamanan Bagi Rakyat Palestin
Pelakon dan penyanyi tersebut mempersoalkan tindakan pemilik jenama tudung terkenal, Datin Vivy Yusof, yang mengeluarkan produk pakaian dan barangan aksesori bertemakan Palestin.
Menurutnya, penjualan tersebut disifatkan ‘opportunist’ dan seakan tidak sensitif dengan penderitaan yang sedang dihadapi saudara Islam di Gaza pada masa kini.
“Sama sahaja dengan Israel. Dua-dua suka ambil kesempatan,” tulisnya dalam perkongsian di laman X.
Jenama berkenaan turut memperkenalkan selendang, cawan dan juga beg tangan yang berinspirasikan daripada bendera Palestin.
Menurut pihak mereka, hasil jualan akan didermakan bagi membantu rakyat Palestin menerusi badan bukan kerajaan, Viva Palestina Malaysia.
Walau bagaimanapun, penyanyi Sekali Lagi itu merasakan tindakan itu sama sekali tidak sensitif dan bercanggah dengan konflik yang sedang dialami rakyat Palestin.
“Siap jual water mug yang ada warna bendera Palestin.
“Rakyat Palestin sendiri pun kena sekat diorang kemudahan air dan lain-lain oleh Zionis,” komennya.
Manakala menerusi perkongsian usahawan berjaya tersebut di laman Instagramnya, beliau menjelaskan bahawa usaha yang dilakukan tersebut adalah kerana tidak mahu lagi melihat penderitaan yang dihadapi kanak-kanak di negara bergolak itu.
“Suatu hari nanti kita akan ditanya apa yang kita buat setelah melihat kekejaman yang berlaku di dunia kita hari ini.
“Oleh itu saya dan pasukan buat keputusan untuk mengutip dana dengan melancarkan koleksi kecemasan ini.
“Semua hasil jualan akan didermakan dan kami tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada jualan ini,” jelasnya.