Bekas juara qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa termuda, Farhatul Fairuzah baru-baru ini muncul sekali lagi menjadi inspirasi buat anak muda di luar sana apabila menerima tauliah mengajar sekaligus menjadikan beliau pendakwah dan penceramah pada usia 24 tahun.
Menerusi perkongsian di Instagram, Farhatul atau nama sebenar Nor Farhatul Fairuzah Panut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya memenuhi kehendak Jawatankuasa untuk mengajar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam bidang al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa.
“Alhamdulillah baru sempat menghadiri Muzakarah Tauliah Mengajar, setelah beberapa kali tertunda disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Terima kasih kepada para penceramah yang hebat dan juga Timbalan-timbalan Pengarah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.”
BACA: Qari Dan Qariah Malaysia Muncul Sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-64
“Dengan adanya majlis dan tauliah sebegini, ajaran agama Islam itu dapat dipantau dan diiktiraf. Semoga usaha ini sentiasa diberkati dan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah untuk meluaskan dan menyebarkan lagi ilmu agama islam,” ujarnya menerusi perkongsian yang sama.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar dirinya dan orang ramai boleh belajar dan mampu menyampaikan walaupun dari satu ayat serta sempat menyelitkan salah satu sabda hadis Nabi Muhammad SAW,
“Sebaik-baik kalian adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya” – Hadis Riwayat Al-Bukhari.
Dalam pada itu, anak kelahiran Selangor itu juga aktif menggunakan media sosial sebagai platform dakwahnya, Farhatul yang juga pelajar jurusan Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), terdahulu menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017).
Selain itu, beliau juga pernah dinobatkan sebagai juara pada Tilawah Sekolah Rendah Pulau Pinang pada tahun 2011 dan terpilih sebagai Tokoh Kokurikulum Sekolah Peringkat Negeri dan Kebangsaan.
BACA: Juara Qariah Negara Berjaya Tamatkan Pengajian, Beri Inspirasi Dikalangan Remaja Cintai Al-Quran
Sekadar info, Farhatul mula belajar al-Quran dan taranum pada usia lima tahun dan menyertai pertandingan tilawah pada usia tujuh dan mendapat didikan awal daripada bapanya, Allahyarham Panut Markum pernah menjadi Qari sekitar tahun 1990-an. Manakala ibu, Jaliah Simin pernah bergelar Qariah pada 2004. Tidak hanya Farhatul, kelima-lima adik beradiknya celik Al-Quran dan aktif menyertai pertandingan tilawah.
Fakta menarik mengenai Farhatul, gadis yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran ini juga pernah menerima darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada tahun 2022 dan muncul antara penerima termuda sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MasyaAllah! Hebat sungguh pencapaian yang diraih oleh Farhatul! Kami di Remaja mendoakan yang terbaik dan semoga setiap kerja dakwah beliau tentang Al-Quran pada masa akan datang lebih meluas dan dipermudahkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.