Reman Pelawak Wanita Hina Islam Disambung, Faizal Azumu Minta Belia Guna Akal

Share

 

Salah langkah, binasalah jawabnya.

Itulah yang berlaku kepada pelawak komedi wanita dalam video kontroversi di sebuah kelab komedi tempatan yang tular hanya sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.

ARTIKEL BERKAITAN : JAWI Siasat Video Wanita Hina Islam Di Kelab Komedi – REMAJA

Wanita yang dikenali sebagai Siti Amira Natasha Abdullah atau Amy itu telah ditahan Sabtu lalu bagi membantu siasatan terhadap video yang disyaki menghina agama Islam itu.

Hari ini, Setiausaha Polis Diraja Malaysia iaitu Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata pihaknya akan membuat permohonan sambung remang terhadapnya. Ini susulan tempoh reman yang akan tamat esok.

Sementara itu, teman lelaki kepada Amy yang dikenali sebagai Alex juga telah ditahan Unit Siasatan jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semalam dan akan direman selama tiga hari hingga Rabu bagi membantu siasatan.

BACA LAGI : Pelawak Wanita Viral Mengaku Masih Bangga Beragama Islam, Teman Lelaki Terbuka Untuk Peluk Islam – REMAJA

Menerusi video berdurasi 54 saat di media sosial itu, Amy yang berimej hijab dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaian hingga meninggalkan pakaian yang mencolok mata. Perbuatan tersebut kemudiannya mendapat sorakan dalam kalangan penonton di kelab itu.

Setelah tular, ia mengundang pelbagai komen netizen termasuklah para pendakwah, selebriti dan pempengaruh.

Kertas siasatan terhadap mereka akan segera dirujuk ke pejabat peguam negara dengan cadangan pertuduhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat).

Tambah Noorsiah lagi, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengambil tindakan menggantung operasi kelab di Taman Tun Dr Ismail itu segera.

 

Belia Perlu Guna Akal – Faizal Azumu

Dalam pada itu, isu video kontroversi tersebut juga telah mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan yang berpendapat perbuataan tersebut bukanlah imej sifat seseorang manusia yang baik.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan belia agar menjauhi sifat negatif sedemikian dan terus berusaha memperbaiki diri.

“Manusia ini kita mesti ada rasa malu. Kalau dah tak ada rasa malu ini, kita dah letakkan diri kita setaraf dengan mahluk-mahluk yang Allah ciptakan yang tidak mempunyai akal. Jadi ini perkara yang perlu kita jauhi.

“Saya harap anak kita yang telah lakukan perkara itu bertaubat, jangan hina agama sendiri, jangan jolok pula perasaan dan hati rakan-rakan lain yang beragama Islam dan kembalilah ke pangkal jalan,” katanya.

Sambil itu, beliau turut berharap agar belia tempatan lain mengambil iktibar daripada apa yang terjadi dan cuba membaiki diri sendiri.

Sumber : BERNAMA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ