Sanggup Berlapar Demi Karakter, Shaheizy Sam Amal Diet Ekstrem Untuk Filem Polis Evo

Share

Shaheizy Sam. Antara anak seni yang sentiasa komited dalam melunaskan watak yang diberinya dengan jaya.

Setiap lakonannya di layar skrin tidak pernah sekalipun menghampakan penonton. Malah, ramai yang ternanti-nanti setiap kali projek baharu yang bakal menampilkan aktor hebat tersebut.

Beri jiwa dan raganya terhadap karakter yang dimainkan agar tidak menghampakan para penonton, bintang berusia 41 tahun ini sanggup ‘berlapar’ demi mendapatkan bentuk badan yang ideal dan menarik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Memang Ada Niat Nak Kahwin, Tapi…” -Zizan Razak Tenang Kongsi Soal Jodoh

Demikian dikongsikan Sam, apabila sekali lagi muncul sebagai Inspektor Khai dalam filem hit tempatan, Polis Evo 3 yang bakal ditayangkan di pawagam pada tanggal 25 Mei Ini.

Bagi mendapatkan tubuh badan yang diinginkan untuk watak tersebut, dia mendedahkan sanggup berlapar ketika menjalani penggambaran selain mengamalkan diet esktrem secara masa yang singkat.

Bukan itu sahaja, disebabkan terpaksa menahan perut, emosinya juga sedikit terganggu dan terpaksa mengelak untuk berjumpa dengan isteri tercintanya yang juga pelakon, Syatilla Melvin supaya tidak berlaku perselisihan faham.

“Saya memang buat diet ekstrem. Apa yang ada unsur gula saya tidak akan ambil. Jika ada peluang untuk membakar lemak saya akan buat. Selagi mampu berjalan dan bekerja tanpa makan saya akan teruskan.

“Ketika itu juga saya elak berjumpa isteri… biasalah apabila lapar, sesiapa sahaja akan cepat marah. Emosi saya memang tidak stabil ketika itu. Bayangkanlah bagaimana saya jalani penggambaran dalam keadaan lapar,” katanya kepada Remaja.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun tidak menggalakkan orang di luar sana untuk melakukan perkara sama kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Ia kerana, Sam turut berkongsi pengalaman dirinya dimasukkan ke unit kecemasan sebuah pusat perubatan ketika menjalani penggambaran Polis Evo 2 dek kerana menialani rutin diet yang sama.

“Disebabkan badan tidak cukup air dan tak makan, saya juga terkena serangan gastrik. Saya mengalami kekejangan otot sehingga terpaksa masuk hospital. Ketika itu rasanya macam nyawa sudah berakhir. Jadi janganlah buat seperti yang saya lakukan.

“Saya sanggup buat semua itu sebab minat dalam dunia lakonan dan saya mahukan hasil yang terbaik. Biarpun kena tanggung kos sendiri tapi saya sanggup agar boleh nampak hasilnya,” tuturnya panjang.

Bercakap mengenai pengalaman dalam pembikinan filem kali ini, pelakon itu memberitahu faktor usia antara cabaran untuk dia melakukan babak aksi.

“Saya jarang bersenam jika tidak terlibat dengan penggambaran. Jadi apabila mula masuk ke set dan melakukan babak aksi memang ada sikit rasa penat dan mudah letih.

“Usia pun semakin meningkat… jika silap langkah sikit mulalah rasa sakit,” ujarnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Shaheizy Sam

Published by
Fath