Selepas kes laksa kebok yang mengakibatkan puluhan orang mengalami keracunan makanan akibat kuman Salmonella kini nampaknya peminat makanan pasti akan mula terasa loya apabila tersiarnya gambar di media sosial tentang Satay Tulang Jelebu di Dataran Senawang, Negeri Sembilan.
Dalam gambar yang tersebar ini dapat dilihat bagaimana bungkusan ayam dilonggokkan berhampiran pintu. Bukan itu saja, besen juga kelihatan hitam berkerak selain lantai dilihat berlumut hijau. Malah tempat pemotongan ayam juga dibiarkan bersama longgokan ayam yang siap dipotong termasuk kelihatan kucing di samping gambar tersebut.
Kes ini mula tular pada 20 Oktober 2018 menerusi fb Faizal Riza Sholainia (grup Oghang Jompul) dan Nur Shahira (grup Seremban Macam-Macam Ada) yang menunjukkan betapa kotor dan jijiknya cara penyediaan Satay Tulang Jelebu yang mana ia amat dikenali kerana keenakan resipi asli turun temurun.
Bagi peminat satay tulang Jelebu di Dataran Senawang pasti dapat menggambarkan keenakan satay tulang ini kerana perapan ramuannya yang berbeza tetapi kalau dilihat dari aspek penyediaannya, pasti terasa loya.
Ekoran gagal menyediakan tempat yang bersih untuk persediaan Satay Tulang Jelebu yang amat popular ini, pemeriksaan dari Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan semalam iaitu pada 21 Oktober 2018 telah mengarahkan premis makanan ini ditutup kerana selepas pemeriksaan dilakukan premis ini didapati melanggar Akta Makanan 1983. Secara keseluruhan, premis menyediakan makanan ini tidak bersih.
Bukan saja cara penyediaan agak menjijikkan tetapi pemeriksaan mendapati pengendali makanan tidak mempunyai suntikan tifoid, peralatan memasak yang kotor di samping pengendalian makanan yang tidak hygenic. Premis itu diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Carian REMAJA di laman sesawang Kursus Pengendalian Makanan Malaysia, suntikan tifoid amat penting untuk pengendali makanan bagi mengelakkan berlakunya penyebaran penyakit.
Demam tifoid/typhoid atau lebih dikenali sebagai demam kepialu di Malaysia merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Salmonella Enterica atau secara lebih khusus Salmonella Typhii dan sedemikian demam ini dipanggil sempena nama bakteria tersebut.
Penyakit ini boleh didapati di seluruh dunia dan cara penyebarannya adalah melalui makanan dan minuman yang telah tercemar oleh najis. Jangkitan ini boleh menjejaskan seluruh badan dan merosakkan pelbagai organ-organ. Melainkan dirawat, jangkitan ini boleh membawa kesan yang mengancam nyawa. Mengikut kajian, risiko kematian oleh penyakit ini adalah sebanyak 10-30%.
Nampaknya keghairahan masyarakat Malaysia yang gemar mencuba sesuatu yang di viralkan pasti perlu lebih berhati-hati dalam memilih makanan selepas ini.