Baru-baru ini, saudara kembar yang juga pelajar tingkatan 2 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Emas Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024.
Mereka berdua membuat keputusan menyertai pertandingan esei itu semasa berkunjung ke London untuk menemui kakak mereka, Sofea Arisya Muhammad Shaifuddin yang kini merupakan pelajar tahun tiga Wharton Business School, University of Pennsylvania, dan berjaya menghasilkan esei yang diperlukan walaupun dalam masa yang terhad dan singkat.
Dalam pada itu, saudara kembar ini meluahkan rasa girang serta syukur di atas kejayaan yang diraih dan berkongsi persediaan rapi yang mereka lakukan untuk pertandingan esei berkenaan.
“Memenangi anugerah ini memberi motivasi untuk kami meneruskan usaha mencari cara baru untuk melahirkan pandangan kami menerusi penulisan”
Mereka berkata dalam satu kenyataan dihantar kepada Bernama, sebelum kejayaan ini, Anas dan Amir pernah menyertai peraduan esei yang lain, tetapi penyertaan untuk Queen’s Commonwealth Essay Competition, adalah yang pertama.
Selain itu, esei mereka turut memberi tumpuan kepada tema nilai kekeluargaan, perpaduan dan warisan budaya, ternyata paling unggul dalam kalangan ribuan esei yang diterima oleh pihak penganjur.
Esei Anas, bertajuk ‘A Culinary Journey with Tok and Me’, memberi peluang kepada pembaca untuk berkongsi pengalamannya mempelajari cara memasak makanan tradisional Malaysia daripada neneknya (Tok).
“Nak buat kuih yang sedap mesti ada rasa kasih dalam setiap langkah membuat kuih itu’,” nenek Anas memberitahunya.
Menurut Anas, pesanan neneknya itu mengajar dirinya kepentingan bersabar, daya kreatif serta nilai menyatukan komuniti menerusi makanan.
Sementara itu, esei Amir yang berjudul ‘A Malaysian Tale of Family and Unity’, menekankan kepentingan perhimpunan keluarga sewaktu musim perayaan seperti hari raya.
Amir menggambarkan suasana meriah, berkongsi makanan dan tradisi yang mengeratkan lagi jalinan silaturrahim sesama anggota keluarga, di samping nilai-nilai berkenaan penting memupuk perpaduan dalam Komanwel.
“Bagi saya, tradisi ini adalah simbol kekuatan dan perpaduan, nilai yang saya percaya boleh menyatukan semua dalam Komanwel,” ujarnya.
Tema Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024, berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan, hospitaliti, kerjasama, hormat-menghormati serta maruah serta konsep yang digunakan oleh Anas dan Amir untuk esei mereka.
Pada masa yang sama, saudara kembar ini juga menyatakan penghargaan kepada guru bahasa Inggeris mereka, Sir Qassim dan En Ng atas bimbingan serta galakan yang diberikan untuk mereka berkarya sebagai penulis muda.
Mereka juga melahirkan harapan esei yang dihasilkan itu akan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencuba kuasa penceritaaan serta menjadikan nilai-nilai seperti perikemanusiaan dan saling hormat-menghormati, malar segar, dalam evolusi dunia yang kian pesat.
Sumber Artikel & Foto: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.