“Saya Akan Gunakan Kuasa Yang Ada…”- Che Puan Besar Khaleeda Prihatin Nasib Bella, Ingin Bantu Tuntut Keadilan

Share

Isu penderaan Bella, kanak-kanak Sindrom Down yang merupakan salah seorang penghuni Rumah Bonda telah mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. Sejak tularnya video menunjukkan badannya yang penuh dengan kesan penderaan, kes tersebut telah pun dihadapkan ke muka pengadilan dan kini sedang dalam perbicaraan.

Turtuduh, Siti Bainun Ahd Razali yang merupakan bekas naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO bahagian Ampang  walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dinyatakan pihak pendakwaraya.

Bukan sahaja mendapat perhatian ramai, kes ini juga mengundang perhatian isteri Tunku Mahkota Johor, Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleeda Bustamam. Beliau yang juga ibu kepada empat cahaya mata tersentuh hati dan berasa sedih dengan apa yang terjadi kepada kanak-kanak sindrom down tersebut.

BACA JUGA: Kronologi Kes Penderaan Kanak-Kanak OKU, Selebriti Turut Tuntut #JusticeForBella

Kenyataan yang ditulis Che Puan Besar Khaleeda di Instagram peribadinya.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instastory beliau, Che Puan Besar Khaleeda menulis, “Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.”

Menyifatkan orang yang melakukan perbuatan mendera sebagai pengecut, Che Puan Besar Khaleeda juga menyatakan bahawa seseorang tidak boleh berlindung di sebalik peguam-peguam yang ramai kerana karma tetap akan datang sama ada di dunia atau di akhirat kelak.

Ujarnya, “Kamu boleh bersembunyi di sebalik peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat.

Kiri: Keadaan Bella ketika ditemui. Kanan: Siti Bainun hadir ke mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji tersebut di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. Kes penderaan yang berlaku kepada Bella ini menjadi lebih hangat apabila tularnya gambar menyaksikan barisan peguam yang mewakili tertuduh.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen