Saya Buat CPR Macam Diajar Paramedik Melalui Telefon, Tapi Ayah Dah Meninggal

Share

Tiada apa lebih menyedihkan saat diuji dengan kehilangan ibu bapa. Apa tah lagi pemergian itu berlaku disaat usia masih mentah.

Namun sesayang mana sekali pun, jika Allah mengkehendakiNya, kita sebagai hambanya perlu redha dengan setiap ujian kehidupan.

Baru ini viral di media sosial berkaitan kisah dua beradik, Azrizal Nor Azri, 14 tahun dan adiknya, Natasha Edreyana, 13 tahun yang tinggal di Presint 9 Putrajaya. Dalam perkongsian yang mendapat lebih 5.6 K itu memaparkan kepayahan dua beradik ini mengharungi kehidupan bila ayah mereka diuji dengan masalah buah pinggang yang mengakibatkan kesihatannya merosot.

Masa yang sama, arwah ibu mereka sudah lama meninggal dunia akibat kanser usus (ketika anak-anak ini berusia 4 dan 3 tahun). Keadaan memerlukan Azrizal memasak untuk ahli keluarganya dan masa yang sama perlu ke sekolah termasuk menjaga ayahnya yang perlu didialisis 3 kali seminggu akibat kerosakan buah pinggang.

Masa yang sama, di rumah pula, keduanya hidup serba kekurangan termasuk tiada peti ais, memasak menggunakan dapur camping dan lain-lain hingga orang ramai membantu kedua beradik ini membeli barangan keperluan rumah terbabit.

Terkini, 5 hari lalu, tanggal 22 Oktober kedua beradik ini diuji dengan kesedihan lagi apabila ayah yang mereka sayangi pergi buat selama-lamanya. Tinggallah mereka bergelar yatim piatu dan mengharapkan kasih sayang bapa saudara untuk menjaga mereka.

REMAJA menghubungi Azrizal untuk berkongsi kisah terkininya. Jelas Azrizal dia kini tinggal bersama bapa saudaranya, Nor Azman di Subang Jaya selepas bapanya meninggal.
Mengakui masih bersedih dengan kehilangan, namun kata Azrizal dia perlu kuat mengharunginya apatah tahun depan dia akan menduduki PT3.

“Saya akan bersekolah di Subang Jaya tahun depan. Buat masa ini, saya dan adik rasa selesa di sini,” katanya ketika dihubungi.

Mengakui masih tidak dapat melupakan detik akhir mengadap ayahnya, jelas Azrizal ketika itu arwah bapanya terbaring di katil.

“Tiba-tiba saya nampak air keluar dari hidung dan mulutnya tanpa henti. Ayah nampak seperti susah bernafas. Saya call ambulan dan mereka mengajar saya lakukan CPR melalui telefon. Inilah kali pertama saya lakukan hal ini. Saya tekan dada ayah macam dia orang ajar tapi tengok ayah diam kaku.

“Masa paramedic sampai dalam setengah jam kemudian, mereka sahkan ayah sudah meninggal dunia,” katanya memaklumkan waktu kejadian sekitar 12.30 tengahmalam dan dia serta adiknya menyaksikan detik menyedihkan ini. Ditanya bagaimana dia tahu memasak seperti hal yang tular, kata Azrizal, ayahnya yang mengajar antara masak kari, masak nasi goreng dan sebagainya.

Saya jaga amanah arwah adik

Baru lima hari arwah meninggal, abang kepada Nor Azri iaitu Nor Azman mengakui sudah ada individu yang menelefonnya bertanya, adakah benar dia mahu melepaskan hak penjagaan anak-anak ini.
“Istigfar saya. Saya pegang amanah arwah yang mahu saya jaga anak-anaknya kalau apa-apa berlaku pada dirinya. Kami memang rapat sebelum ini di mana arwah adik bongsu sementara saya nombor 6. Anak-anak ini kini bersama saya,” katanya mengakui biar apa pun berlaku, dia akan menjaga dua beradik ini seperti diamanahkan.

Bagi mengelak salah fahaman masyarakat tentang bantuan-bantuan diterima kedua beradik yatim piatu ini, Nor Azman berkata, semua urusan pencen ayah mereka yang bekerja di Jabatan Pendidikan diletakkan di bawah nama Azrizal.

“Begitu juga urusan Baitulmal dan JKM anak-anak ini.Bantuan orang ramai juga begitu kerana lebih baik begitu. Saya akan bukakan kedua beradik ini SSPNi untuk kegunaan masa depan mereka,” katanya memaklumkan arwah adiknya mengidap pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, gout, masalah jantung dan lain lagi semasa hayatnya. Dalam masa yang sama Nor Azman yang mempunyai dua anak berusia 10 dan 8 tahun memaklumkan, arwah ibu anak-anak saudaranya ini, Asiana Akmat meninggal akibat kanser usus pada usia 27 tahun sejak 10 tahun lalu.

“Sejak itu mereka dijaga oleh arwah adik. Saya abang paling rapat dengannya dan dia ada amanahkan saya untuk menjaga anak-anaknya kalau ada-apa berlaku padanya,” katanya ketika dihubungi.

Bagi orang ramai yang mahu menghulurkan sebarang sumbangan buat dua beradik yatim piatu ini boleh salurkan sumbangan ke BANK ISLAM MALAYSIA atas nama Azrizal Nor Azri di akaun 16-027-02-0011415

Published by
Almaswa Haji Che Ros