Nama Meerqeen sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat seni tanah air. Walaupun masih baharu dalam industri, ramai yang memuji bakat lakonan pelakon muda ini dalam drama hit, Melur Untuk Firdaus.
Drama dengan plot cerita yang menarik ini juga menjadi fenomena dan tular sehingga berjaya menambat hati penonton daripada Indonesia.
ARTIKEL BERKAITAN: “Patutlah Aku Kena ‘Try’ Hero Remaja 4 Kali….” – Amir Ahnaf Kongsi Perasaan Bergelar Juri Uji Bakat Hero Dewi Remaja 2023
“Berbagai ragam dan karakter perserta yang saya jumpa selaku seorang juri hari ini. Ada yang sudah ada pengalaman, ada yang masih mencari rentak dalam industri dan ada juga yang seperti saya dahulu di mana hadir tanpa sebarang pengalaman,
“Sebab dahulu ketika Meerqeen hadir ke uji bakat Hero Remaja 2020 pun masih ‘kosong’, which is good sebab kita nak cari kanvas kosong yang dapat dicorakkan dengan bakat mereka sendiri melalui Hero Dewi Remaja 2023 ini,” komennya.
Meerqeen, atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen bin Shaiful Izam turut mengakui bahawa dirinya dahulu ingin menyertai platform Hero Remaja untuk menyerlahkan potensi diri sendiri.
“Meerqeen dulu tiada kawan langsung dalam industri ketika hadir ke uji bakat Hero Remaja 2020. Tiada kawan model atau kawan pelakon. Semua kawan saya biasa-biasa sahaja,
“Masa Merqeen masuk Hero Remaja yang lepas memang saya tiada sebarang pengalaman dalam industri seni berbanding dengan peserta lain ketika itu. Sangat ‘kosong’,
“Tapi saya selalu tanam azam dalam diri saya untuk menjadi yang terbaik. Maka melalui Hero Remaja lah saya mula mencorakkan kanvas kosong dalam diri saya untuk lebih bersinar,” komennya.
Mengimbas kembali pengalamannya menghadiri uji bakat tersebut, empunya badan akui bahawa dirinya terlalu gementar sehingga tertinggal perkara penting ini.
“Sedikit momen kelakar yang mungkin saya boleh imbas kembali ketika menghadiri uji bakat Hero Remaja 2020 adalah tertinggal kad pengenalan ketika mahu mendaftar,
“Saya dah sampai awal pagi ketika itu tapi dek kerana kesilapan penting itu, kawan ibu saya terpaksa patah balik ke rumah untuk ambil dan berikan kepada saya. Macam-macam ragam,
“Disebabkan khilaf itu, uji bakat saya berakhir agak lambat pada pukul 12 tengah malam, meskipun saya hadir awal pagi. Namun, saya tidak berputus asa sebab saya betul-betul mahukan peluang tersebut,” jelasnya lagi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO: Instagram Merqeen, REMAJA