“Saya Dipukul Bertalu-Talu Dari Atas Bas Lagi,” Pemandu Bas Kongsi Detik Sebenar Kejadian

Share

Nampaknya kes pemandu Rapid KL yang melanggar tujuh buah kereta yang tular semalam mempunyai banyak episod. Ada yang benar dan ramai berprasangka. Tentu ramai tertanya-tanya apa cerita sebenar kejadian kerana keadaannya nampak agak parah ketika menerima rawatan selepas dipukul oleh orang ramai. Dalam satu rakaman suara yang tular di media sosial, pemandu bas ini berkongsi cerita bagaimana kisah ini bermula.

Katanya ketika itu dia dalam trip akhir sebelum habis kerja kira-kira jam 7.30 malam. Sebelum itu, di persimpangan jalan, sebuah kereta berhenti terlalu lama di hadapannya seolah-olah sedang bermain telefon bimbit.

Pemandu bas Rapid Kl ini pantas membunyikan hon. Mungkin marah dengan tindakan tersebut, pemandu kereta itu mengeluarkan tangan dari dalam kenderaan dan membuat tanda isyarat lucah. Masa yang sama dia cuba menggerakkan basnya, terdapat episod “acah mengacah” dengan pemandu di hadapannya.

Kesan dari itu, berlaku perlanggaran kecil dengan kereta berkenaan sebelum kereta itu terbabas melanggar sebuah gerai burger berdekatan yang mana ketika itu seorang ibu sedang mendukung bayi berusia 2 bulan yang dilihat agak terperanjat ekoran hampir dilanggar bas. Ada menyatakan keduanya tidak cedera dan cuma dalam keadaan terperanjat sahaja. Dan kemudian tular video bagaimana bas ini dikejar oleh dua buah motosikal menjadi viral sehingga pemandu ini cedera dibelasah orang ramai tanpa usul periksa sedangkan bayi dan ibu berkenaan langsung tidak tercedera.

Bermula episod terlanggar stall burger, berlaku episod kejar mengejar hingga berita ini menjadi viral

 

Beginilah keadaan pemandu bas ini selepas dipukul orang ramai. Kepalanya terpaksa dilindungi sebegitu kerana ramai bertindak memukulnya

 

Salah seorang penumpang yang bercerita kisah ini di media sosial dan menjadi viral

Ekoran kejadian itu, pemandu bas berkenaan menyuruh lebih kurang 4-5 orang penumpang turun sebelum sampai di LRT Station sebelum pemandu kereta berkenaan melompat masuk melalui pintu belakang.

“Saya ditumbuk bertalu-talu dan sangat sakit. Tapi saya tak hentikan bas dan terus membawanya dalam keadaan sakit sehingga terlanggar beberapa buah kereta kerana memandu dalam keadaan takut dan sakit,”katanya yang mengaku tidak membuat sebarang panggilan telefon kepada rakan atau majikan kerana bimbang telefon bimbitnya dirampas.

Sewaktu kenderaan berhenti di Ampang Point akibat kesesakan jalan raya, ketika itulah dia bertindak turun dari bas sebelum dibelasah beramai-ramai oleh orang ramai,’katanya dalam rakaman suara yang tular dan mengakui tidak kenal atau tahu siapa yang membelasahnya.

Pemandu bas ini dikatakan separa kritikal selepas dipukul orang ramai

 

Azri akui di antara yang mengejar pemandu bas itu tapi tanpa senjata seperti samurai atau kayu dakwanya. Beginilah keadaan gerai burger miliknya selepas kejadian

 

Orang ramai turut mempersoalkan kenapa gerai burger ini diletakkan di atas jalan, bukan di bahu jalan dan kawasan yang selamat. Dalam bulatan adalah lokasi seperti didakwa

 

Masa yang sama, akhbar Harian Metro membuat temuramah dengan pemuda yang mengejar pemandu bas berkenaan. Anak muda itu menafikan dia menggunakan senjata seperti kayu atau pedang samurai seperti yang tular di media sosial.

“Memang kami berempat kejar, tapi kami tak pukul dia. Malah kami tidak bawa apa-apa senjata tajam atau kayu,” kata Muhammad Azri Mohd Arip, 22, pemilik gerai burger yang dirempuh sebuah bas Rapid KL di Jalan Enggang, berhampiran Flat PKNS, AU2, Taman Keramat, di Ampang, malam semalam.

Dia berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap selepas pulang dari tempat kerja sebelum mendengar dentuman kuat yang boleh didengari hampir semua penghuni flet berkenaan.

“Saya bergegas keluar dan mendapati sebuah kereta Proton Iswara tersadai di tepi gerai burger akibat dirempuh sebuah bas. Keadaan meja bertaburan, manakala ibu saya yang sedang memegang anak saudara berusia dua bulan tersepit di antara gerai dan pembahagi jalan.

“Proton Iswara berkenaan dilanggar ketika membelok masuk flet ini. Pemandu kereta itu yang juga penduduk flet berlari mengejar bas berkenaan sebelum sempat masuk ke dalam bas ketika kenderaan itu berhenti kerana pemandunya menghalau empat penumpang supaya turun,” katanya ketika ditemui di kediamannya yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari gerai burgernya. BACA SINI

Lebih memburukkan keadaan, seorang individu atas nama Mario Marcello telah menularkan berita bahawa pemandu bas ini sudah meninggal dunia akibat dipukul.

Nampaknya netizen menjadi juara dalam cubaan menyebarkan fitnah tanpa pergi menemuramah keluarga mangsa yang mungkin masih trauma dengan kejadian yang menimpa.

Bagi memastikan berita disebarkannya itu tidak benar sama sekali, seorang pengguna fb atas nama Adinda Qilla memetik berita tular itu adalah palsu kerana pemandu bas berkenaan kelihatan sihat dan sudah mampu duduk di atas kerusi roda.

Beginilah keadaan pemandu bas ini dan tidak meninggal seperti tular di media sosial

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, mengesahkan perkara itu sekali gus menafikan mesej yang viral di media sosial mendakwa pemandu bas berusia 32 tahun itu sudah meninggal dunia.

“Pemandu itu tidak meninggal dunia dan akan keluar hospital jam 3 petang ini. Dia mengalami kecederaan di kepala dipercayai dipukul ketika ditangkap oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan lain sekiranya pemandu bas terbabit membuat laporan polis bahawa dia dipukul.

Selain itu, beliau turut memaklumkan tiada penumpang berada dalam bas Rapid KL berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu.

Jika semalam ramai yang beranggapan pemandu bas ini memandu dalam keadana mencurigakan, kerana melanggar sebuah kereta Toyota Vios menyebabkan kenderaan itu melambung masuk ke dalam parit di kiri jalan.

“Dalam cubaan melarikan diri itu, bas berkenaan turut melanggar beberapa kenderaan lain iaitu Toyota Innova, Perodua Alza, Perodua Myvi dan Proton Saga sebelum berhenti.

“Selepas memberhentikan bas dipandu, lelaki itu cuba melarikan diri ke seberang jalan, namun orang ramai yang melihat kejadian berkenaan bertindak mengejar dan menangkapnya sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan kira-kira empat individu cedera selepas kenderaan dinaiki dilanggar sebuah bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Kampung Keramat menghala ke Jalan Ampang, malam tadi.

Ternyata media sosial menjadi medan bagi netizen membuat ulasan tanpa menyedari ada fakta tidak tidak. Biarlah polis yang menjalankan siasatan sama ada siapa benar, siapa yang salah.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros