Merentas pergunungan salji di bawah paras 30 darjah Celsius menggunakan bantuan peluncur sled anjing enam hari berturut bukan perkara mudah. Ditambah Malaysia mengalami iklim khatulistiwa iaitu hujan dan panas sepanjang tahun.
Namun ia bukan halangan bagi seorang anak muda, Muhammad Syazwan bin Mohd Khazir, 26 tahun yang juga seorang jurutera awam untuk menyertai ekspedisi Fjallraven Polar, yang bakal diadakan 9-14 April 2018 akan datang.
Penggembaraan sejauh 300km itu akan bermula dari Signaldalen, Norway. Perjalanan bakal diteruskan ke Paltsa, Rastojaure, Kattyvuoma, Sejujarvi dan berakhir di Vakkarajarvi, Sweden yang mana sepanjang enam hari itu, peserta akan bermalam di tanah sentiasa bersalji serta melalui laluan mencabar.
Namun sebelum impiannya itu bakal terlaksana dan membawa nama Malaysia ke peta dunia, Muhammad Syazwan memerlukan undian dari rakyat negara ini. Ayuh, undian rakyat Malaysia sangat diperlukan!
“Saya lakukan untuk Malaysia. Demi negara yang saya sayangi selain menguji ketahanan mental dan fizikal kerana saya sukakan aktiviti lasak,” katanya yang telah melakukan pendakian ke lebih 20 buah gunung. Ini termasuklah Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani, Gunung Yong Belar, Gunung Datok, Gunung Stong, Gunung Nuang serta banyak lagi serta pernah menyertai ekspedisi berbasikal UiTM Malaysia – Thailand Internasional Cycling Tour mengayuh sejauh 413 km pada tahun 2015 yang lalu.
Menurut Syazwan yang berasal dari Klang, dia memerlukan sekurang-kurangnya 5000 undian bagi mewakili Asia/ Ocenia dan setakat ini dia baru memperoleh 1900 undian setakat petang ini. Dia memerlukan sekurangnya 3100 lagi undi untuk terpilih sebagai wakil negara Asia/ Ocenia (Malaysia/ Singapura/ Australia/ China) juga turut disenaraikan dalam kategori ini.
“Undian ini akan ditutup pada 14 Disember ini. Saya kini berada dalam kedudukan ke empat dari 93 peserta dengan undian sebanyak 1900. Memandangkan penyertaan ekspedisi ini berdasarkan kedudukan, saya sangat berharap terpiliih,” katanya memaklumkan setakat hari ini peserta berada pada kedudukan pertama sudah mendapat 3000 undian dan beliau mengharapkan jumlah undiannya melebihi peserta pertama.
Dalam pada itu, anak muda ini memaklumkan, hanya peserta dari Filipina pernah terpilih mewakili Asia/ Ocenia tahun lalu dan penyertaan ini terbuka kepada seluruh dunia.
Demi Malaysia, apa kata kita bersatu hati melakukan vote untuk pemuda ini. Semangat anda sebagai warga negara amat diperlukan. Layari pautan inidemi negara yang sangat kita kasihi.
Difahamkan, pemilihan calon adalah berdasarkan jumlah undian dan kriteria setiap peserta. Jika terpilih, mereka secara automatik akan ditaja oleh Fjallraven dalam ekspedisi tersebut.
Untuk makluman, sukan lasak tajaan Fjallraven ini mula diperkenalkan pada tahun 1997. Fjallraven Kanken adalah syarikat pengeluar barangan outdoor yang begitu terkenal buat pencinta aktiviti lasak di seluruh dunia. Biar sudah lebih 20 tahun sukan ini diperkenalkan iaitu bermula pada 1997, belum ada lagi rakyat Malaysia dipilih menyertai pengembaraan lasak dan mencabar fizikal ini.
Ayuh, rakyat Malaysia, semoga nama negara ini terpahat di mata dunia di mana kita boleh melakukan apa sahaja. Malaysia Boleh.