Selama ini, ramai mengenali Dewi Remaja 2014/2015, Raysha Rizrose menerusi lakonannya dalam drama-drama tempatan. Namun, tidak ramai menyedari bakat nyanyian yang ada pada pelakon jelita ini.
Video persembahan cover 12 buah lagu yang bakal bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-35 baru-baru ini telah menarik perhatian ramai warganet dek kerana kemunculan Raysha sebagai salah seorang daripada ahli kuartet tersebut.
Berdampingan dengan penyanyi yang lebih berpengalaman seperti Hannah Delisha, Azmi Saat (Caliph Buskers) dan Dean Eiman, ramai yang terkejut apabila mendengar nyanyiannya.
Raysha yang dihubungi oleh REMAJA berkongsi bahawa idea asal Hannah Delisha itu adalah untuk mengetengahkan beberapa orang bakat yang tidak bergelar penyanyi.
Lantas, Raysha bersetuju untuk terlibat sama memandangkan ia adalah sesuatu yang baharu untuknya dan kedengaran menyeronokkan.
“Ia adalah peluang yang jarang-jarang saya perolehi. Untuk menyanyi di samping abang Azmi yang terkenal dengan kekuatan vokalnya, dan bersama Hannah serta Dean pula – semua orang saling membantu sepanjang proses persediaan di studio selama kira-kira dua minggu.
“Mereka membuatkan saya tidak merasa tertekan langsung biarpun saya masih ‘hijau’ berbanding mereka.”
“Sebagai persediaan ekstra, saya juga sertai beberapa sesi kelas vokal,” katanya yang menyampaikan tiga buah lagu finalis iaitu Semalam (nyanyian Aina Abdul), Gundah (nyanyian Ernie Zakri) dan Belenggu Rindu (nyanyian Wany Hasrita & Dato’ Jamal Abdillah).
Bukan calang-calang ya lagu yang diperolehi Raysha, semuanya nyanyian vokalis mantap! Tidakkah dirinya merasa cemas untuk membawakan lagu-lagu tersebut?
Sumber Foto: Facebook Raysha Rizrose.
“Niat penglibatan saya ini adalah untuk memberi sokongan kepada finalis AJL ke-35.
“Saya cuba jadikan lagu-lagu tersebut sebagai lagu versi saya. Caranya, saya akan mendengar versi minus one
dan saya aturkan key lagu mengikut vokal saya. Kalau nak ikut key penyanyi asal, saya masih belum sampai lagi ke tahap itu. (tergelak)“Selepas video itu dimuat naik, kak Aina Abdul ada menghantarkan mesej dengan berkata ‘good job’,” tambahnya yang pernah menghasilkan beberapa klip video cover untuk lagu Cinta Sejati dan Cinta Luar Biasa.
Raysha tampak natural saja dalam video medley tersebut disebabkan pengalamannya merakamkan klip video sendiri sebelum ini. Rata-rata penonton memberikan galakan dan pujian di atas usaha dan bakat nyanyian yang dia miliki.
Melihat kepada respon tersebut, mungkinkah Raysha merancang untuk satu hari nanti merekodkan lagu nyanyian sendiri?
“Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi, it has been a passion of mine.
“Tentulah jika berpeluang saya ingin menyanyikan lagu sendiri. Cuma, bukan mudah untuk mendapat lagu yang ‘kena’ dengan diri kita. Saya pun enggan tergesa-gesa. Mana tahu satu hari nanti, ia akan menjadi kenyataan.”
“Buat masa ini, saya akan fokus pada dunia lakonan dahulu. Tambahan pula, saya sedang menantikan tarikh tayangan untuk tiga buah filem yang melibatkan saya pada tahun ini.
“Ia termasuklah filem Seandainya Kau Ada (Astro First), Roxana (Netflix) dan sebuah lagi filem terbitan Astro Shaw yang masih belum diberikan judul. Ketiga-tiganya merupakan projek istimewa bagi saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi dengan semua penonton,” tambahnya lagi.
Raysha di belakang tabir pembikinan filem Roxana. Sumber Foto: Facebook Raysha Rizrose.
Wow, dengar saja sudah rasa tidak sabar!
All the best kepada Raysha dalam kedua-dua bidang seni yang diceburinya ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Bila Puteri Aishah & Rakan Dewi Remaja Upload Foto Throwback, Sweet Sangat! – REMAJA