Dalam menegur ada adatnya, dalam mengusik ada kiasnya.
Mungkin itulah perumpamaan yang tepat buat seorang pemuda yang dikenali sebagai Carl Samsudin dalam satu video tular semalam akibat tindakannya yang bercakap kasar terhadap seorang lelaki warga emas.
Dalam video berdurasi 50 saat itu, Carl (yang pantas bertindak menukar mod akaun media sosialnya kepada ‘private’ setelah mula menerima kecaman warganet) dilihat cuba untuk memalukan seorang warga emas dalam lingkungan usia 64 tahun dengan cara serta intonasi suara riak dan sedikit berlagak.
Berdasarkan gegantung di belakang Carl dalam video tersebut, kejadiaan ini berlaku semasa dia berada di Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur. Mungkin tujuannya berada di situ adalah untuk pemberian bantuan.
Lalu, dia mengambil kesempatan ketika di sana untuk menyampaikan mesej berbentuk contoh dan pengajaran yang boleh diambil daripada masa silam kita.
Namun, cara, bahasa dan gerak geri tubuhnya amat bertentangan dengan niat tersebut. Pekiknya kepada pakcik tersebut:
“Umur berapa, 64.. saya tanya betul-betul.
Masa muda dulu menyesal tak, tak buat betul-betul? Masa muda menyesal tak, banyak main; banyak tak buat betul-betul; malas. Menyesal tak?
Dia cakap menyesal..
Saya tanya korang, korang nak nanti masa tua baru nak menyesal ke? Hari ini, Tuhan hantar saya untuk tolong kamu semua”
-Carl Samsudin-
Bukan saja pakcik berkenaan tergamam dengan kata-kata biadap itu. Malah, warganet termasuklah golongan selebriti yang menontonnya juga seakan tidak percaya apa yang baru saja mereka dengari keluar daripada mulut pemuda ini.
Bagi seseorang yang boleh tahan popular juga di kalangan selebriti dan penggemar fesyen tempatan, Carl tidak sepatutnya bersifat tidak sensitif. (Untuk pengetahuan, Carl merupakan suami dan pengasas butik Bella Ammara). Adakah ini satu bentuk gimik daripada pihakknya bagi meraih publisiti?
Apa yang pasti, tindakan Carl telah meraih kecaman hinggakan namanya kekal sebagai carian paling kerap di media sosial dalam masa semalaman. Antara yang membidas semula tindakan Carl ini ialah rapper dan pelakon remaja, Bungaisme.
Remaja dapat mengesan rasa marah dan kecewa Bunga apabila melihat seorang pakcik tua diperlakukan sebegitu rupa. Sudah ibarat kambing hitam yang dijadikan mangsa tujuan viraliti. Namun Bunga tetap menyusun ayatnya secara teratur dan memberikan pandangan menerusi hantaran di Instagram semalam.
“Pertama sekali, saya nak minta maaf kalau saya terkurang ajar dalam video ini.
Saya nak minta abang tunjukkan balik video ini kepada bapa abang sendiri. Lihat mereka marah tak bila menontonnya.”
“Walaupun pakcik tua itu bukan bapa abang, tapi dia bapa orang lain. Walaupun dia dah tua, dia ada perasaan. Dia manusia. Pakcik itu dah tua, dia iyakan saja apa kau cakap sebab dia dah tua. Kalau aku ada dekat situ, kau jangan harap kau boleh bercakap esok,” kata Bunga dalam nada sebak.
Menerusi kapsyen, Bunga menyambung penjelasannya dengan berkata, “Saya faham abang ingin membantu orang ramai termasuklah pakcik itu. Tapi dalam membantu, janganlah kita malukan individu tersebut. Dalam memberi motivasi, janganlah kita menjatuhkan individu tersebut.
“Pasti semua orang pernah merasa menyesal tapi itu tidak bermakna kita harus mempersoalkannya di khalayak orang ramai.
“Sebagai orang yang lebih muda dan berpelajaran, sepatutnya abang lebih tahu soal hati perasaan dan hormat. Saya berharap agar abang dapat memohon maaf kepada pakcik itu dan saya juga turut memohon maaf kepada abang kerana saya beremosi.
“Jika abang rasa video ini memalukan atau merosakkan reputasi abang, begitu juga perasaan keluarga pakcik tersebut,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, pagi ini Carl Samsudin telah tampil dengan permohonan maaf berserta kapsyen, “I’m sorry Malaysia,” di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN : “I’m Sorry Malaysia” : Carl Samsudin – REMAJA
Tiada manusia yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun yang lebih penting adalah untuk kita mengambil pengajaran daripada kesilapan sendiri untuk memperbaiki diri sendiri pada masa-masa yang akan datang.
Apapun, syabas kepada Bunga yang matang dalam menegur seseorang yang lebih senior daripadanya berkenaan isu ini. Bak kata Bunga, kita semua mempunyai ibu, ayah atau ahli keluarga yang lebih dewasa dari kita. Cuba bayangkan perkara sama diperlukan kepada ahli keluarga kita, tentunya kita sendiri sedih, marah dan kecewa bukan?
Selain Bunga, beberapa lagi selebriti lain tampil ke hadapan dengan perasaan kesal tentang kejadian yang tidak seharusnya berlaku ini. Antaranya termasuklah Anzalna Nasir dan Bella Astillah. Anzalna dalam pada itu meminta agar pengikutnya sama-sama tampil membantu pakcik tersebut.