Kira-kira sebulan selepas pengumuman 12 lagu finalis yang bolos ke Anugerah Juara Lagu ke-35, Disember lalu, rupa-rupanya masih ramai yang menghantar mesej menerusi DM kepada Yonnyboii di Instagram.
Begitulah jawapan yang diberikan oleh komposer dan rapper berusia 22 tahun itu ketika ditemuramah menerusi sesi Instagram Live pada sebelah petang tadi oleh portal tempatan; MStar.
Kata Yonny, peminat yang menghantarkan pesanana dan mesej menitipkan harapan mereka agar salah satu lagu ciptaannya terutamanya Sakit berjaya ke AJL35. Bagaimanapun impian Yonny dan peminat itu tidak kesampaian dan rezeki tidak berpihak kepadanya untuk edisi kali ini.
“Saya bukan saja nak berdiam diri apabila tidak berjaya masuk. Sedih itu tentulah sedih, tapi saya tidak merasakan tindakan untuk memarahi atau memaki adalah tindakan yang betul.
“Saya ingin menyertai AJL bukannya untuk bertanding dengan sesiapa tetapi saya nak masuk untuk memberi keyakinan kepada diri sendiri sebagai seorang pencipta. Jika berjaya, ia akan memberikan boost kepada saya.
“Apapun, there will always be another chance. Jika ada pihak yang merasakan persembahan saya secara live ada kekurangan, saya ambil itu sebagai semangat bagi memperbaiki diri.”
Apabila ditanya berkenaan azam tahun 2021-nya, Yonny berkata azamnya masih sama seperti tahun 2020. “Selagi cita-cita saya tidak tercapai, saya akan terus mengejarnya pada tahun ini. Pada tahun lalu, saya impikan peluang untuk ke AJL.
“Bila tak dapat, saya tahu saya akan mencubanya sekali lagi bagi edisi tahun ini pula,” katanya penuh positif.
Untuk pengetahuan, Yonnyboii baru saja melancarkan album EP berjudul Yonny yang dilancarkan pada Disember lalu. Apa yang penulis dapat simpulkan daripada pengalaman mendengarkan 9 buah lagu dalam album tersebut, sememangnya dia merupakan pelapis seni muzik tempatan dengan masa hadapan yang cerah.
Lapan tahun usia karier Yonny dalam dunia seni, baharu sekarang karyanya semakin dikenali. Bagaimana Yonny mampu bertahan dan memperbaiki mutu ciptaan serta penyampaian dari semasa ke semasa?
“Apabila lebih ramai yang memberikan saya kata-kata semangat, saya menjadi lebih bertenaga untuk meneruskan karier ini. Why stop when you are already halfway in? Ini yang saya selalu ingatkan kepada diri sendiri apabila merasa penat.
“Saya mula belajar tentang beat muzik daripada YouTube saja. Sekarang, saya baru berpeluang untuk menyertai kelas muzik dan ia telah membuka minda saya terhadap banyak perkara yang dahulunya saya tidak tahu.
“Bila menyanyi pula, saya jadikan ia luahan perasaan. Setiap lirik itu ada makna, setiap sebutan itu ada feeling-nya. Itu cara saya sampaikan emosi,” jelasnya.
Berkenaan karya terbaru daripada Yonnyboii, katanya ia mungkin akan dilancarkan kira-kira pada bulan Februari atau Mac ini.
Nantikan okay!