Tanpa yang lama tiadalah yang baru.
Disebabkan itulah, ramai alumni finalis Hero Remaja datang menyokong penganjuran pencarian Hero Remaja 2020 sejak sesi ujibakat, Disember lalu.
Antaranya ialah pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017, Harris Annuar.
Menariknya, semasa pengumuman dilangsungkan semalam, Harris turut excited untuk melihat kehadiran muka-muka baharu tapi pada masa yang sama, sedikit ‘gementar’.
Kenapa Harris?
“Tipulah kalau kata saya tak tercabar bila melihat pakej yang mereka sampaikan dalam musim Hero Remaja 2020.
”Tambahan pula, saya dikira masih baru juga dalam industri seni. Tapi, saya percaya pada rezeki dan saya sebagai ‘abang’ berharap mereka lakukan yang terbaik,” katanya yang baru muncul dengan megadrama ‘TQ Captain‘ di samping Hisham Hamid dan Mawar Rashid.
Strategi Semasa Bertanding
Bagi alumni yang pernah menduduki kedudukan Top 3, tentunya Harris ada rahsia bagaimana untuk mendapat pencapaian tersebut.
“Dahulu semasa dalam Hero Remaja 2017, saya suka berkawan dengan semua orang. Dengan peserta, kru di set penggambaran, semualah! Ini kerana lambat laun, bila kita susah insyaAllah mereka akan bantu.
“Cuma satu saja, reserve some space to yourself. Setiap peserta ada kelebihan, hanya diri sendiri saja yang tahu ‘diamond’ yang ada dalam diri mereka.
”Jadikan itu sebagai aset korang untuk pergi jauh dalam pertandingan ini.”
Thank you Harris!
Beri ‘Kejutan’ Di Pentas Finale, Aqil Taqee Terima Gelaran Hero Inspirasi
Rezeki nampaknya menyebelahi Aqil Taqee kerana bukan sahaja dinobat sebagai Naib Juara Hero Remaja 2021, malah anak muda berusia 22 tahun ini juga turut dipilih menjadi Hero Inspirasi bagi edisi pencarian tahun ini.
Aqil turut berkongsi perasaannya bahawa dia benar-benar terkejut sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai Hero Inspirasi oleh pihak penganjur.
“Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka dinobatkan sebagai Hero Inspirasi kerana sepanjang saya menjalani penggambaran saya hanya jadi diri sendiri. Apa yang saya terapkan adalah menghormati orang lain dan Alhamdulillah agaknya sudah tertulis rezeki saya untuk menyangdang gelaran Hero Inspirasi ini,”
“Bagi saya Hero Inspirasi ini adalah seperti satu anugerah yang diterima dan InsyaAllah saya akan terus belajar untuk menjadi individu yang lebih baik jelas Aqil.
Finalis kacukan berdarah Cina ini dipilih menjadi Hero Inspirasi kerana nilai positiviti, usaha dan dedikasi yang diberikan sepanjang pencarian Hero Remaja 2021. Aqil yang sebelum ini seorang remaja pemalu akhirnya berjaya keluar daripada ‘kepompong’ dan membuktikan bahawa pemilihannya sebagai finalis Hero Remaja 2021 tidak sia-sia.
“Sepanjang program ini saya berusaha keras untuk memperbaiki diri dan menimba ilmu serta pengalaman yang diberikan oleh insan-insan hebat dalam industri hiburan tanah air. Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan, tambahan pula saya pernah gagal dalam sesi uji bakat Hero Remaja 2020. Jadi, peluang yang diberikan ini saya ambil untuk buktikan bahawa saya benar-benar bersungguh ingin menggembangkan bakat dan minat yang ada dalam industri seni,”
Tidak pernah berputus asa
“Ketika sesi uji bakat Hero Remaja 2021 juga, saya hadir selama dua hari untuk mencuba kerana pada hari pertama saya disuruh pulang dan datang semula keesokkan harinya dengan semangat baru. Juri menjelaskan bahawa saya seperti kurang yakin dan kelemahan pada suara saya yang agak perlahan,”
“Hari seterusnya, saya hadir bersemangat dan menjalani uji bakat dengan lebih yakin. Memang ramai yang tegur cara saya bercakap agak perlahan. Saya tidak suka meninggi suara kerana bagi saya ia seperti kurang ajar. Namun, kini saya faham ada kalanya kita perlu lebih lantang bersuara mengikut situasi lebih-lebih lagi jika saya ingin masuk ke dalam industri ini. Saya akan cuba memperbaiki diri dan segala teguran yang diterima sepanjang program Hero Remaja ini akan saya sematkan di dalam hati,” jelas Aqil.
Di pentas akhir lalu, finalis ini turut menunjukkan peningkatan yang drastik apabila dia berjaya memukau penonton dan para juri, terutamanya sewaktu melakukan cabaran lakonan bersama pelakon Johan Asa’ri.
“Saya pun terkejut dengan diri saya sebenarnya. Cuma saya fikir bila sudah berada di peringkat sejauh ini, saya tidak akan mensia-siakannya, tambahan pula sewaktu di pentas finale tempoh hari, mama dan abah turut berada bersama kami. Secara tidak langsung, merekalah sebab utama saya menjadi lebih bersemangat dan berusaha melakukan yang terbaik pada malam itu,” tambah Aqil lagi.
Single Pertama Meerqeen ‘Menunggu’ Tentang Kisah Putus Cinta Sendiri?
Tidak cukup mendaki carta populariti menerusi lakonan drama dan filem sepanjang tempoh setahun selepas menamatkan saingan pencarian Hero Remaja 2020, pelakon Shameer Shauqeen atau lebih dikenali sebagai Meerqeen tidak ingin berada pada zon selesa dan cuba mencari cabang seni baharu untuk diterokai.
Hasilnya pada hari ini, Meerqeen tampil dengan single nyanyian pertamanya berjudul Menunggu sebagai hadiah istimewa buat para peminat.
Akui Meerqeen, dia berdebar menantikan respon orang ramai terhadap Menunggu yang telahpun menemui platform penstriman pada hari ini. Pun begitu, segala respon tersebut akan diterimanya dengan hati yang terbuka tidak kiralah sama ada ia berbentuk positif ataupun sebaliknya.
Dengan keberanian Meerqeen untuk menyeimbangi antara bidang lakonan dan nyanyian pada usia 20 tahun, adakah dia sudah bersedia untuk benar-benar serius dalam dua bidang mencabar ini ataupun hanya sekadar ingin mencuba saja? Senang cerita, ‘test water’.
“Saya mulakan kerjaya saya dengan menyertai Hero Remaja; dengan impian untuk menjadi seorang penyanyi. Tapi rezeki tidak pernah salah alamat dan rezeki dunia lakonan yang datang dahulu. Hati saya pun cepat ‘masuk’ ke dalam bidang lakonan dan semakin lama, minat itu dipupuk sampai sekarang.
“Tidak sangka pula semasa saya baru ingin menapak sebagai seorang pelakon, peluang merakamkan Menunggu ini hadir tanpa dirancang. Saya dan pasukan berborak santai untuk membincangkan apakah perancangan seterusnya bagi karier saya dan peluang untuk menjadi penyanyi ini hadir pada waktu yang tepat. Inilah rezeki namanya.
“Satu saja saya harapkan, agar semua dapat menerima lagu Menunggu dan akan memberikan semangat kepada saya,”pintanya.
Hati Lelaki Yang Kecewa?
Melihatkan kepada lirik lagu Menunggu, ia jelas menceritakan cebisan hati seorang lelaki yang kecewa dalam perhubungan cinta. Sudah tentu kami tertanya-tanya jika hati yang dimaksudkan dalam lagu ini adalah hati empunya badan sendiri iaitu Meerqeen?
“Saya bercinta hanya apabila serius dengan seseorang kerana saya sendiri tidak suka apabila seseorang itu melukakan hati saya dan permainkan saya. Kita semua tahu sakitnya perasaan bila ditikam belakang oleh pasangan sendiri.
“Lelaki ini, bila dia disakiti untuk bulan pertama itu, mungkin dia tidak rasa sangat (rasa sakit). Tapi bila sudah dua tiga bulan barulah dia mula merasa perit hati. Jadi, itulah yang saya cuba sampaikan menerusi Menunggu.
“Namun, Menunggu bukanlah daripada pengalaman diri saya sendiri. Ia hanya gambaran am mengenai perasaan seorang lelaki. Saya pasti kebanyakan lelaki pernah merasakan peritnya putus cinta itu,” ulasnya.
Tidak Sedia Nyanyi Live
Untuk pengetahuan, Menunggu ialah hasil ciptaan komposer muda, Aliff Iskandar dengan bantuan khidmat Rudy Nastia sebagai penerbit dan Bob Yusof sebagai pengarah vokal.
Dan rupa-rupanya, lagu ini telah dirakamkan sejak bulan Mei lalu lagi. Ia baru dilancarkan pada bulan Oktober ini. Biarpun sudah lama merakamkannya, Meerqeen masih merasa gugup apabila diminta untuk menyanyikannya secara live.
“Ya, saya masih belum bersedia lagi untuk menyanyi secara live di atas pentas.
“Saya sebenarnya lebih mudah menghayati lagu-lagu bergenre RnB dan ini adalah percubaan pertama saya menyanyikan lagu Balada. Untuk menyempurnakan tona suara saya dan menyanyi secara live itu masih memerlukan masa dan praktis,” kata pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2020 ini.
Menyedari kelemahan diri dari sudut menyerlahkan kekuatan vokal, Meerqeen berkongsi dirinya ada menyertai kelas lontaran vokal bersama Bob Yusuf di Studio MixBro milik Rudy demi mencapai kepuasan dan kesempurnaan bagi single sulung ini.
*
Jangan lupa menonton video lirik di YouTube Indigital Music tepat jam 9 malam ini (1 Oktober 2021).
“Atas Usaha & Bakat, Allah Zahirkan Kemenangannya..” Ibu Bapa Terus Sokong Mierul Aiman Dari Belakang
Kemenangan Hero Remaja 2021, Muhammad Amirul Aiman Bin Norazman atau lebih dikenali sebagai Mierul Aiman semalam masih menjadi perbualan penonton dan peminat yang mengikuti rapat program pencarian Hero Remaja yang baru saja melabuhkan tirainya semalam.
Remaja yang berasal dari Putrajaya itu telahpun berjaya mengenepikan saingan sengit daripada tiga lagi finalis akhir yang bertanding semalam iaitu Naib Juara, Aqil Taqee, Fazziq Muqris yang memperolehi Tempat Ketiga dan Afiq Hamidon di Tempat Keempat.
Bercakap selepas program tersebut berakhir, Mierul menyifatkan kemenangannya semalam adalah hadiah istimewa buat dirinya yang sudah lama mengimpikan momen ini. ‘Hadiah’ gelaran juara itu juga didedikasikan kepada ahli keluarganya terutama ibu bapa yang tidak pernah putus asa memberikan dorongan secukupnya untuk anak mereka itu fokus mengejar cita-cita.
“Apa yang abah & mama sempat cakap kepada saya sebaik saja finale tamat adalah jangan sesekali lupakan daratan kita. Ingat selalu di mana kita berdiri. Dan sekarang ini, persaingan sebenar baru saja bermula di mana Mierul perlu mencari peluang untuk membawa diri selepas ini.
“Buat masa ini, Mierul belum fikir banyak lagi dan masih menikmati momen kemenangan ini,” katanya yang juga bergelar seorang model komersil sebelum menyertai pencarian Hero Remaja. Setelah sekian lama mencedok pengalaman berada di hadapan kamera dan juga di pentas teater, semua persiapan Mierul terbukti berhasil dalam segmen pengacaraan solo, lakonan sketsa bersama pelakon tersohor Wan Maimunah dan juga di segmen terakhir, soal jawab ataupun Q&A.
“Jujurnya, Mierul terkejutlah kerana (memenangi pencarian Hero Remaja) adalah salah satu impian Mierul. Impian Mierul juga adalah untuk menjadi seorang pengkarya dan penghibur.
“Tuhan itu Maha Adil, Dia percaya kepada bakat-bakat Mierul untuk membuka jalan ini. Dari episod satu hingga lapan, hanya Mierul yang mengerti pengorbanan sendiri dan Alhamdulillah, pengorbanan tersebut berhasil,” luahnya lagi.
Kehadiran kedua-dua orang ibu bapa Mierul ke set finale Hero Remaja semalam sedikit sebanyak membakar semangat anak mereka itu untuk melakukan sebaik habis di hadapan rakyat Malaysia yang menonton secara langsung dari kaca televisyen mereka.
Kongsi ayah Mierul, beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas kurniaan (kemenangan) semalam.
“Atas bakat yang dikurniakan ke atas anak kami Mierul, kami sebagai ibu dan bapanya terus menyokong dari belakang. Segala-galanya adalah atas bakat dan usaha. Dan hari ini, Allah zahirkan menerusi kemenangannya (malam tadi),” katanya.
Bagi ibu Mierul pula, anak keduanya itu sudah tentu telah membanggakannya, , abah, adik-adik dan along yang menonton dari rumah.
“Saya pun tidak banyak sangat boleh cakap lagi melainkan Alhamdulillah syukur. Ini adalah usaha gigih Mierul Aiman sendiri. Dia memang bertungkus-lumus untuk mendapatkan apa yang dia hendak. Dengan izin Allah, semuanya tercapai,” katanya.
Sekali lagi kami ucapkan tahniah kepada Mierul Aiman, Hero Remaja 2021. Moga-moga, nama dan bakatnya akan terus menyinar di industri seni hiburan sebagai ‘triple threat’ dalam kalangan pendatang baharu yakni sebagai seorang pelakon, pengacara dan model.