“Saya Rapat Dengan Adam, Terkejut Sangat Dengar Berita Kematian Ini”-Wan Shahlim

Share

Berita pemergian aktor berbakat Asyraf Sinclair akibat serangan jantung pada usia 40 tahun hari ini cukup mengejutkan. Diberitakan arwah meninggal pada jam 4.51 pagi di Rumah Sakit MMC Kuningan, Jakarta.

Dalam pada itu, ramai rakan artis turut terkejut dan mengucapkan salam takziah di atas pemergian Ashraf yang agak mengejutkan. Mula mencipta nama dalam industri selepas menyertai pertandingan Hero Remaja pada tahun 1997, Ashraf yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut terus mencipta nama sementelah jodohnya bersama Bunga Cinta Lestari yang juga penyanyi popular Indonesia.
Remaja sempat menemuramah Wan Shahlim Wan Abdul Wahab, 43 yang juga rakan seperjuangan Ashraf kerana mereka bersama-sama menyertai Pertandingan Hero Remaja tahun yang sama.



Namun rezeki menyebelahi Wan Shahlim apabila terpilih sebagai juara pertandingan dan terkini beliau meneruskan bakat dalam bidang pengiklanan tv komersial selain berada di belakang tabir untuk production.

Menurut Shahlim, berita pemergian arwah Ashraf sangat mengejutkan. Malah dia mendapat berita tersebut selepas dimaklumkan oleh isterinya.



“Memang tak sangka dan ia berita yang sangat menyedihkan. Ikutkan selepas pertandingan berakhir, beberapa kali juga kami bertemu ketika kerja-kerja modeling dan selepas itu banyak bawa haluan masing-masing. Ketika itu arwah belajar di UiTM Perlis sementara saya pula di UiTM Melaka dan tukar ke Shah Alam. Kalau jumpa pun masa tengah shoting. Mungkin masa tu nama masing-masing baru nak dikenali. Tapi arwah memang baik orangnya dan suka tersenyum.

“Tapi saya agak rapat dengan adiknya, Adam kerana kami bekerja di production yang sama. Ada beberapa job dibuat dan saya mengucapkan salam takziah buat seluruh ahli keluarganya di atas pemergian tidak terjangka ini,”kata Shahlim yang banyak terlibat dalam iklan tv komersial dan production.

Al-Fatihah (dengan bacaan untuk arwah Ashraf). Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Published by
Almaswa Haji Che Ros