Perasaan ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat anak perempuannya membawa nama keluarga dan harapan peminat tempatan serta antarabangsa di pentas pertandingan.
Buat Veena Kaur yang merupakan ibu kepada Ajunee Kaur, peserta pertandingan ratu cantik Miss Universe 2022 yang baru sahaja melabuhkan tirainya 7 Oktober lalu; perasaan kagum berbekas dalam hatinya setelah melihat gadis berusia 20 tahun itu melakukan sehabis baik pada malam gala tersebut.
Ajunee yang merupakan peserta harapan peminat dunia ratu cantik untuk membawa pulang gelaran tersebut terpaksa akur dengan kedudukan naib juara daripada 13 finalis yang bertanding sekaligus memadamkan impian khalayak untuk menyaksikannya mewakili Malaysia di New Orleans, Amerika Syarikat untuk pertandingan Miss Universe.
ARTIKEL BERKAITAN : Graduan Farmaseutikal & Sains Kesihatan, Lesley Cheam Dinobat Miss Universe Malaysia 2022 – REMAJA
Bercakap kepada Veena selepas sidang media pada malam tersebut, beliau meluahkan rasa bangganya terhadap kerja keras serta persembahan keseluruhan Ajunee sejak hari pertama dia melangkah kaki di sesi uji bakat Miss Universe Malaysia 2022.
Menariknya, Veena pada peringkat tidak begitu ‘berkenan’ dengan keinginan anak gadisnya itu untuk menyertai sebuah pertandingan ratu cantik tatkala sibuk bergelar siswazah tathun kedua dalam jurusan perundangan di United Kingdom.
“Dia seorang ‘individual’. Keputusan menyertai pertandingan ini adalah di atas keinginannya sendiri. Pada awalnya, saya juga khuatir sekiranya dia akan melupakan pengajian selepas sibuk bertanding. Namun kakaknya memberitahu saya untuk meletakkan kepercayaan kepada Ajunee dalam menyeimbangi pelajaran dengan dunia ratu cantik.
“Ajunee telahpun berehat daripada pengajiannya selama setahun. Dia sepatutnya pulang ke United Kingdom pada bulan lalu namun perlu mengenepikannya dahulu demi fokus sepenuhnya pada pertandingan.
“Saya rasakan Ajunee telah memberi bermacam-macam usaha demi pertandingan ini dan tentunya, kami sekeluarga amat bangga dengannya,” kata yang juga bertugas sebagai seorang anak kapal di sebuah syarikat penerbangan terkenal di Hong Kong.
Berdasarkan kata-kata semangat yang membanjiri ruang komen akaun media sosial Ajunee Kaur, ramai jelas ingin menyaksikan Ajunee kembali bersaing dalam dunia ratu cantik memandangkan kaliber yang dimiliki serta usia muda yang melayakkannya.
Begitupun, Veena merasakan anaknya kini mempunyai matlamat berbeza selepas ini dalam kehidupannya.
“Saya benar-benar bangga dengannya, mungkin takdir sedang merancang sesuatu yang lain buatnya. Namun saya difahamkan ini (Miss Universe Malaysia) merupakan satu-satunya pertandingan ratu cantik yang ingin disertainya. Selepas ini, saya percaya dia hanya ingin fokus pada pelajarannya,” dedahnya.
Penulis kemudian bertanyakan sekiranya Ajunee mempunyai perancangan untuk merebut semula peluang bergelar wakil Malaysia. Begitupun, ini adalah jawapan Veena.
“Saya rasakan tidak. Saya agak pasti yang dia tidak akan (menyertai dunia ratu cantik lagi). Saya kenal anak perempuan saya, ini mungkin yang pertama dan yang terakhir,” sebelum menyambung dalam nada sedikit sebak :
“Agak sukar untuk saya gambarkan. Benar, dia telah menjadi ‘mega favourite’ dalam kalangan peminat tempatan dan antarabangsa. Saya lihat ada dari Indonesia, Filipina.. dan saya rasakan ramai yang turut kecewa (setelah keputusan diumumkan).”
“Saya nampak banyak yang telah Ajunee pelajari dan pada masa yang sama, telah berkorban masa rehat dan bersama rakan-rakannya. Kami amat berbangga dengannya,” tinta Veena.
Dalam pada itu, Ajunee sewaktu sidang media Miss Universe Malaysia 2022 tidak melepaskan peluang mengucapkan penghargaannya di atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan peminatnya sepanjang perjalanan ini.
“Semasa saya berada di atas pentas, teriakan anda.. saya rasakan seperti seorang ratu sebenar. Selagi saya telah membanggakan anda semua di Miss Universe Malaysia, itu saja yang penting untuk saya.
“Saya sentiasa mempercayai budaya positif, saya percaya ‘universe’ mempunyai perancangan yang lebih baik untuk saya. Kita lihat ke mana takdir akan membawa saya selepas ini,” komennya secara ringkas.
BACA LAGI : “Bukan Saya Yang Pilih, Saya Hanyalah National Director Miss Universe Malaysia” – Elaine Daly – REMAJA
Adakah korang rasakan Ajunee Kaur wajar kembali menyertai pertandingan ratu cantik yang dianjurkan di Malaysia selepas ini?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.