Remaja yang dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’, Muhammad Syukur Khamis kini membuka bengkel motosikal di rumahnya di Kampung Banggol Katong, Serada, Terengganu.
Syukur yang kini sudah berusia 19 tahun, sangat meminati bidang automotif dan memilih untuk mengusahakan perniagaan berkenaan sejurus menamatkan Kursus Teknologi Motosikal di Pusat GiatMARA Kuala Telemong pada Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya #RemajaMalaysia : Dari Kelindan Lori Ke Dunia Penerbangan
“Setakat ini, ramai yang hantar motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi dan saya memang meminati bidang automotif. Buat masa sekarang, saya nak baiki motosikal dulu dan cari pengalaman sebelum menyambung kursus baiki kereta pula.
“Walaupun sibuk menjalankan kerja mekanik di bengkel, saya masih lagi membantu bapa, Khamis Jusoh menguruskan ternakan seperti kerbau, lembu dan kambing,” katanya.
Tambah pelakon filem Budak Kuba itu, bengkel motosikal itu milik abangnya, Mohd Alias, namun dia mengambil alih menguruskan bengkel itu kerana kekangan masa abangnya yang bekerja sebagai tenaga pengajar di GiatMARA.
“Melalui ilmu dan kemahiran yang diperoleh ketika belajar selama enam bulan di GiatMARA, saya mampu membaiki motosikal dengan baik. Bagi kerosakan membabitkan bahagian enjin yang serius biasanya saya mendapatkan bantuan daripada abang untuk membaikinya.
“Caj yang dikenakan mengikut keadaan dan jenis kerosakan namun saya sentiasa ingin memberi harga yang lebih murah dan berpatutan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Syukur pernah tular apabila gambar ikoniknya bersama kerbau ternakannya berjaya mencipta fenomena di media sosial. Gambar yang dipotretkan oleh jurugambar Malaysia, Dallah Dean, menampilkan sosok yang kemudian dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’.
Gambar tersebut bukan sahaja mengundang perhatian di dalam negara, tetapi turut diiktiraf di pentas antarabangsa. Ia menjadi terkenal selepas terpilih untuk dipamerkan di Austrian Cultural Forum di Itali, dalam himpunan gambar terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.
Selain itu, ia memenangi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards bagi kategori Wajah dan Karektor Menarik. Tidak berhenti di situ, gambar tersebut turut dinobatkan sebagai pemenang Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia atau Jalanan (Street or People).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama, FB GiatMARA Malaysia