Tugas sebagai seorang penyampai berita dan pengacara lebih daripada sekadar penghias layar kaca. Roda kehidupan mungkin sudah berganjak ke dunia digital namun beban kredibiliti dan integriti yang digenggam oleh wajah-wajah penyampai generasi baharu masih teguh dipertahankan sehingga kini. Itulah sebab si cantik manis dan bijak ini mampu tersenyum lebar apabila rezeki bergelar seorang penyampai berita jatuh juga di tangannya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Hawa Rizwana

arahan seni FZ AIMMAN teks RUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN penyunting video AMIRUL FITRI susunan grafik AZNIZA AZIZ solekan AYANG KAMELL persalinan NEW BALANCE

 

Saya #RemajaMalaysia : Peluang Sampaikan Berita Kepada Seluruh Malaysia Satu Penghargaan Buat Hawa Rizwana – Isu Digital Ogos 2022

Semakin hari semakin laris. Begitulah tanggapan pertama apabila bersua muka dengan pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan di set penggambaran kami

Gaya pertuturan, penyampaian dan lentur suaranya ketika bersiaran mengendalikan segmen Buletin Utama, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor menerusi saluran TV3 mudah untuk dikenalpasti sebaik telinga menangkap suaranya.

Penegasan dalam setiap butiran informasi melakarkan sebuah pesona buat personaliti televisyen muda ini. Sesibuk mana pun, Hawa Rizwana yang kami kenali masih sama seperti dahulu. Seboleh mungkin, dia ingin menyelitkan ke dalam jadualnya aktiviti-aktiviti yang mampu memberi titik tambah kepada dirinya. Ini termasuklah untuk menerima pelawaan REMAJA dengan hati terbuka sebagai wajah kempen Saya #RemajaMalaysia buat tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Titian 6 Tahun KHAI BAHAR Penuh Makna – REMAJA

 

Cabaran Menjadi Penyampai Berita

Bercerita mengenai tugas hakikinya dalam dunia penyiaran tempatan, satu perkara yang dititik beratkan oleh Hawa adalah misi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.

“Nawaitu tu sangat penting. Saya tidak menafikan wujudnya cabaran tersendiri apabila menjadi wajah tontonan jutaan rakyat Malaysia. Bukan sahaja berita yang kita sampaikan itu dihadam oleh mereka, malah cara membawa diri, pertuturan sampailah ke lirik mata pun satu-persatu dianalisa.

Ads

“Saya rasakan mereka sedar sahaja personaliti mana-mana penyampai berita di hadapan kamera dan di luar set itu ada lainnya. Namun sebagai penyampai berita, saya juga sedar saya membawa jenama slot berita atau program yang saya wakili dan kredibiliti program-program kendalian saya itu harus dijaga.

“Jika kita tidak menjaga keperibadian, bagaimana kita mampu membuatkan orang percaya dengan berita yang disampaikan.

“Seperkara lagi, saya juga sentiasa perlu memastikan penyampaian berita dilakukan secara matang dan memenuhi jangkaan penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik daripada usia remaja hinggalah ke peringkat dewasa.

“Untuk mendapatkan kepercayaan mereka adalah satu bentuk cabaran bagi saya,” ujarnya Hawa sewaktu mendapat sentuhan riasan Ayang Kamell pada hari tersebut.

Saya #RemajaMalaysia : Peluang Sampaikan Berita Kepada Seluruh Malaysia Satu Penghargaan Buat Hawa Rizwana – Isu Digital Ogos 2022

ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Kedudukan 40 Terbaik Miss World 2021 Dikenang Dr. Lavanya Sivaji – REMAJA

 

Minda Terbuka Luas

Setelah terlibat dalam beratus-ratus episod di slot berita dan program temubual, tentunya ada di antara kandungan yang berbekas di minda dan jiwa Hawa. Kongsinya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu perlu membuat liputan mengenai sebuah persatuan down sindrom tempatan. Peluang mengenali para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini membuka luas minda Hawa mengenai sentimen perpaduan di Malaysia.

Ads

“Walaupun berlainan agama dan bangsa, mereka kenal antara satu sama lain, saling membantu kerana dan tidak kekok berinteraksi. Siapa sangka, kekurangan yang ada pada anak masing-masing menjadi kelebihan dalam pergaulan sesama kita. Tugasan tersebut membolehkan saya jelas melihat wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia merupakan salah satu pengalaman paling berharga.”

Seronoknya apabila berkhidmat di sebuah stesen televisyen tempatan buat Hawa melebihi nilai glamor yang datang dengannya. Ya, tidak dinafikan wajah Hawa menjadi tatapan jutaan mata dan kehidupan pantas berubah apabila perlahan-lahan mendaki puncak populariti. Begitupun, sekali lagi Hawa berpaling kepada intipati kandungan program yang dikendalikannya apabila kami bertanyakan tentang kelebihan menjadi seorang figura awam.

“Banyak perkara yang boleh saya pelajari setiap hari. Pengikut saya pasti tahu mengenai penglibatan saya dalam landasan pendidikan di mana saya meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Namun apabila difikirkan semula, selama ini; saya bukan saja belajar dalam kepompong kelas semata tetapi saya turut belajar sewaktu bertugas serta membuat liputan.

“Contoh paling mudah, kita ambil lagu raya lah. Sewaktu menyambut Aidilfitri dan Tahun Baru Cina; mudah untuk kita mengenal pasti lagu perayaan masing-masing. Tetapi bila tiba perayaan Deepavali, majoriti tidak begitu familiar dengan lagu perayaannya. Menerusi tugasan saya di tempat kerjalah, saya mengutip ilmu baru seperti ini. Saya berpeluang mendalami perkara yang tidak selalu diperkatakan dan kongsikan semula ilmu itu dengan pengikut saya menerusi media sosial,” katanya.

Misi Hawa hanya satu, untuk menyampaikan perkara bermanfaat buat tontonan rakyat Malaysia.

“Hawa sangat berharap agar pemain dunia media dan penyiaran di Malaysia sentiasa berkongsi sesuatu yang memberi inspirasi dan bermanfaat kepada semua. Kedengaran agak klise, tetapi saya masih mempercayai hikmah sekiranya kita ada niat untuk sebarkan kebaikan kepada orang lain walau sekecil manapun,” tambah si cantik berbintang Virgo ini.

Saya #RemajaMalaysia : Peluang Sampaikan Berita Kepada Seluruh Malaysia Satu Penghargaan Buat Hawa Rizwana – Isu Digital Ogos 2022

Ads

 

Cinta Tersemi Dalam Seni Tarian

Siapa sangka, minat Hawa Rizwana bukan sekadar terletak pada penyampaian berita sahaja tetapi juga dalam dunia seni tari terutamanya tarian tradisional Malaysia.

“Sewaktu di UiTM, saya pernah mewakili universiti untuk pertandingan kesenian peringkat Selangor dan kami berpeluang ke Hungary. Minat inilah yang membuatkan Hawa mengenali kepelbagaian tarian yang kita ada dan gembira membawa nama Malaysia ke luar negara.

“Hawa memang suka mempelajari seni tarian. Sempatlah juga belajar tarian Kabaddi, tarian Kipas Cina dan macam-macam lagi. Itulah yang membuatkan Malaysia unik dan menyeronokkan.

“Bagi Hawa, sebagai generasi baharu; seharusnya kita berfikiran terbuka untuk mempelajari budaya berlainan. Barulah mudah timbul rasa hormat apabila kita faham mengapa ia penting bagi mereka. Secara tidak langsung, dari situlah kita memupuk keharmonian.

“Tidak dinafikan bila hidup dalam era digital, segalanya ingin diperlekehkan atau dipersoalkan. Paling mudah adalah apabila kita memberi ucapan perayaan sehinggakan ada pihak yang beranggapan kita menyokong dan menyambut perayaan agama berbeza. Hakikatnya, kita hanya ingin menghormati budaya sahabat kita yang berlainan kaum dan agama.

“Kadangkala bila dimomokkan berita-berita negatif seperti ini terutamanya di media sosial; pemikiran kita terus berubah negatif juga. Oleh itu, dalamilah dahulu keunikan budaya rakan-rakan kita sebelum terus menjatuhkan persepsi pra-matang,” simpulnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI