Saya #RemajaMalaysia : Titian 6 Tahun KHAI BAHAR Penuh Makna – Isu Digital Ogos 2022

Share

 

Hari-harinya kian sibuk dengan jadual masa yang bersilih ganti agendanya. Menginjak ke usia enam tahun pembabitan dalam landasan seni, sosok bernama Muhammad Khairul bin Baharuddin ini menuruti resmi padi; semakin tunduk semakin berisi. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Khai Bahar

arahan seni FZ AIMMAN teks NOOR AIN NORMAN penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN susunan grafik AZNIZA AZIZ persalinan NEW BALANCE

Sedar tidak sedar, Khai Bahar telah meniti dunia seni hiburan Malaysia sepanjang enam tahun yang lalu. Mula mendaki carta populariti menerusi kelibatnya dengan aplikasi Smule sehinggakan satu ketika dahulu pernah menerima jolokan ‘King of Smule’ oleh para peminatnya, kematangan jejaka ini semakin menebal dengan repertoire yang lebih mampat.

Kejayaan demi kejayaan menerpa pintu kerjaya Khai sepanjang bergelar anak seni lebih-lebih lagi di pentas acara anugerah yang mendambakan undian peminat.

Jelas, Khai tiada tolok tandingan apabila berbicara mengenai sokongan yang diterima. Letaklah saja mana-mana selebriti lelaki di sebelah namanya, tuah pasti menyebelahi Khai dek sokongan kelab peminat yang tidak kenal lelah menjadi tunjang kekuatannya. Dia turut berbangga kerana dikurniakan peminat dari pelbagai bangsa.

“Saya bersyukur laluan kerjaya saya diterima sebegitu rupa. Setiap tahun, ada sahaja event yang dianjurkan oleh kelab peminat Khai Bahar Empire dan bagi saya, mereka adalah antara salah satu sebab kejayaan jenama Khai Bahar ini.

“Sudah tentu harapan saya agar sokongan mereka tidak terhenti di sini sahaja kerana saya percaya lebih banyak yang mampu saya offer kepada semua.

“Apa yang lebih membanggakan adalah apabila peminat saya bukan sahaja terdiri dari kalangan individu berbangsa Melayu. Malah tidak kurang juga yang berbangsa Cina dan India.

“Ketika saya busking dahulu, peminat Sarawakian berbangsa Cina saya akan datang pada setiap malam. Sewaktu sambutan birthday saya pula, mereka menjadi antara yang terawal memberi ucapan dan membawa kek. Kadangkala saya pun lupa esoknya hari jadi saya. Mereka terpaksa wish awal kerana perlu segera pulang ke Kuala Lumpur. Itulah yang membuatkan saya tambah berbangga kerana hasil kerja selama ini juga dihargai oleh masyarakat majmuk,” luah Khai.

Perjalanan Masih Panjang

Berbaris kejayaan yang pernah diraih untuk disebut satu-persatu.

Antara yang pling berbekas di minda tentunya trofi Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintan Popular Berita Harian (ABPBH), Penyanyi Lelaki Popular ABPBH, Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik (APM), Penyanyi MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era (AME), Anugerah Top Top MeleTOP Lelaki (AME), Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popukar ABP-BH dan banyak lagi.

Namun di sebalik kejayaan tersebut, anak jati Kampung Padang Katong, Perlis ini tidak mudah puas hati dan masih menanam impian agar kerjayanya dapat diperluaskan hingga ke peringkat antarabangsa demi membawa nama negara tercinta.

Tiga lagi penghias hadapan Remaja Ogos 2022 Edisi Digital terdiri daripada (dari kiri) Grace Wong Xiu Mei, Dr. Lavanya Sivaji dan Hawa Rizwana.

Solo Ke Duet

Terbaru, Khai kini masih dalam fasa promosi single duet berjudul Kaulah Syurga bersama Lia Aziz di samping beberapa projek lakonan yang hanya di persimpangan jadual.

Tidak dinafikan Khai dilihat sering berkolaborasi bersama penyanyi wanita dan setiap lagu duet yang didendangkan olehnya pasti mendapat sambutan ramai. Ditanya sama ada dia lebih selesa untuk mempunyai rakan duet ketika bernyanyi, ini jawapan yang diberi.

Persalinan baju T, seluar & kasut. NEW BALANCE

“Secara peribadi, saya semakin gemar menyanyi bersama rakan duet kerana ia mencipta satu pengalaman berharga. Setiap kali menjalin kolaborasi, ia akan memberi satu kelainan. Pada mulanya memang timbul rasa kekok apabila mencari titik keserasian. Namun lama-kelamaan, tidak keterlaluan jika saya rasakan kini lebih selesa berduet berbanding menyanyi secara solo. Lagipun, saya dapat belajar perkara baharu daripada pasangan duet saya,” kongsinya.

Khai turut mendedahkan perancangannya selepas ini untuk berduet bersama pelantun bersuara lunak, Adira Suhaimi.

“Setiap kali muncul dengan projek berduet, ia bukan keputusan saya sendirian tetapi memerlukan kata sepakat berpasukan terutama ketika pemilihan rakan duet itu sendiri. InsyaAllah selepas ini, duet bersama penyanyi yang saya kagumi Adira Suhaimi akan menyusul. Lagu sudahpun ada, saya pinta doa kalian agar segalanya berjalan lancar,” katanya.

Ikuti makna menjadi seorang #RemajaMalaysia bersama Khai Bahar dalam pautan video temubual REMAJA bersamanya. 

Sertai pertandingan Penulisan Esei & pertandingan Pengucapan Awam yang dianjurkan oleh REMAJA dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka bermula 8 Ogos 2022 hingga 18 September 2022. Klik pada pautan Peraduan untuk maklumat lanjut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ