Saya Selalu Mimpi Kaki Dikisar! Sakitnya Masih Terasa, Ada Ketika Sampai Demam

Share

Ingat lagi tak kejadian penghujung tahun lalu yang menimpa seorang rakyat Malaysia, Danial Arief Ahmad Fuat, 22 tahun yang separuh dari kakinya hancur ketika mencari bekerja di sebuah kilang pengitar sampah di Samseong, Seoul Korea Selatan.

Ketika kejadian, Danial dikatakan sedang bekerja sebelum  mesin pengisar sampah tersebut tersangkut menyebabkan dirinya perlu masuk dan mengorek sampah yang melekat di mesin bagi membolehkan ia beroperasi semula.

Namun tiada siapa menduga, mesin tersebut bergerak semula sekaligus mengakibatkan separuh dari tubuhnya dikisar dalam kejadian yang dikatakan amat menggerikan.

Beginilah keadana Danial ketika kejadian empat bulan lalu sekaligus mengakibatkan kakinya perlu dipotong segera demi menyelamatkan nyawanya

Selepas empat bulan kejadian dan untuk mengikuti perkembangan terkininya, REMAJA menghubungi Danial Arief yang kini sedang menjalani rawatan di Ajou University Hospital, Korea Selatan.

Saat dihubungi, Danial menjelaskan dirinya dalam keadaan sihat. Dirinya baru saja selamat menjalani pembedahan kali ke lima iaitu mengambil kulit di bahagian perutnya untuk ditampal di peha yang tinggal sebelah.

Danial yang kini menenerima rawatan di Ajou University Hospital, Korea Selatan mengakui semakin sembuh dan meminta agar rakyat Malaysia mendoakan agar dia dapat segera balik ke Malaysia

“Pembedahan dilakukan 19 hb lalu jam 6 petang. Alhamdulillah, dua jam kemudian, saya sudah selesai. Buat masa ini dalam proses pemulihan dan perlu di dressing setiap hari,”katanya lagi.

Berat tinggal 65kg

Mengakui dahulu beratnya 120kg ketika mula bekerja, namun hari ini tubuhnya hanya tinggal 65 kg sahaja. Terbaring di katil hospital menunggu proses pemulihan selain pembedahan demi pembedahan membuatkan berat dirinya berkurangan dengan banyak.

“Jujurnya saya rindu dengan masakan Malaysia tambah pula saya orang Penang. Tahu sajalah tempat itu syurga makanan. Tapi sekarang di sini, hanya nasi dan ikan rebus seperti salmon,”katanya yang tidak sabar kembali semula ke tanah air.

Namun keadaan dirinya yang belum sembuh sepenuhnya membuatkan anak muda ini tidak pasti bila boleh pulang ke tanahair.

Danial akui rindu masakan Malaysia tambahan pula dia berasal dari Pulau Pinang yang merupakan syurga makanan
Dirinya dikunjungi rakan taulan yang memberikan semangat untuk cepat sembuh

Tidur masih lagi mimpi kaki dikisar

Tentu ramai ingin tahukan, bagaimana keadaan Danial selepas empat bulan berlalu.

“Jujurnya, boleh dikatakan saya agak kerap termimpi kaki dikisar mesin. Ada ketika sakitnya masih terasa. Ada ketika sampai demam-demam. Ikutkan emosi tidak berapa stabil tapi saya cuba untuk positifkan diri dan menghadapi ujian ini dengan baik,”katanya memaklumkan dirinya sesekali ditemani ayahnya yang datang melawatnya di Korea.

“Ayah yang jaga saya.Bila dia balik ke Malaysia, selang nanti ayah akan datang semula sebab risau. Mak pula di Pulau Pinang menantikan kepulangan saya,”katanya yang pernah menjalani pembedahan membuang pangkal pehanya kerana dijangkiti kuman.

Saat ditanya bolehkan diberi gambar terkini keadaan kakinya, kata Danial buat masa ini kaki itu belum sembuh dan dia meminta maaf kerana tidak dapat berkongsi gambar berkenaan.

Dalam masa yang sama, saat ditanya bagaimana kos biaya rawatannya, kata Danial, dia tidak tahu berapa jumlah terkini dan bapanya yang uruskan segalanya.

Tambahnya lagi, agen dari Korea yang mengambilnya bekerja sering mengambil berat akan keadaannya malah jika bapanya datang menziarahi ke Korea, bapanya akan duduk di rumah sewaan disediakan untuk pekerja.

“Saya sangat bersyukur kerana agen ini masih ambil berat keadaan diri saya selepas kejadian ini.Pihak kilang memang sudah lepas tangan akan kes ini dan Cuma agen ini saja yang banyak membantu. Masa yang sama, saya memang tidak tahu berapa banyak kos pembedahan dan selama saya tinggal di hospital.

“Saya cuma mahu kembali sihat dan segera balik ke tanahair,”katanya lagi.

Bagi korang yang mahu membantu Danial untuk membayar bil perubatannya boleh salurkan ke akaun Bank Islam milik bapanya, Ahmad Fuat Yun di akaun 07052020304338. Hari ini kita bantu orang, mana tahu esok lusa orang bantu kita pula kan.

Jom doakan kesembuhan segera buat Danial Arief. Mohon dirinya diberi kekuatan dan semangat yang kuat.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros