“Saya Sempat Sambut Kanak-Kanak Sebelum Nampak Tangan Tenggelam”, Saksi Kongsi Malam Tragedi

Share

Ramai yang cukup terharu dengan pengorbanan arwah Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 yang terkorban ketika menyelamatkan lima sekeluarga yang hampir mati lemas dalam kejadian pacuan empat roda terjatuh ke dalam Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan dua hari lalu.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli menyifatkan tindakan arwah amat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam. Jenazah pemuda mulia ini telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini semalam selepas ditemukan pada jam 7.24 pagi dalam keadaan terapung kira-kira 2.5 kilometer daripada tempat dia dilaporkan lemas.

Arwah Bari sudah selamat dikebumikan semalam selepas mati syahid menolong lima sekeluarga mati lemas

Di sebalik kisah meruntun hati rakyat Malaysia ini, tentu ramai yang tertanya-tanya apa di sebalik kisah yang berlaku pada malam kejadian.

Seorang saksi yang turut terjun ke dalam sungai, Saiful Anuar bin Mohd, 36 tahun berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk berniaga.

Saiful Anuar berkata dia sempat memaut tangan kanak-kanak kecil sebelum lihat satu tangan tenggelam. Namun ketika itu dia tidak tahu tangan itu milik siapa kerana kegelapan malam

“Ketika itu ada orang menjerit meminta tolong sesiapa yang pandai berenang untuk terjun selamatkan mangsa hampir lemas.

“Saya pergi ke tebing dan berenang sebelum sempat mencapai seorang kanak-kanak, Iman Nur Hana Luthia Mohd Amiruddin, 3 tahun. Kemudian saya nampak tangan itu mulai tenggelam.

“Siapa yang beri ketika itu tidak pasti kerana cuaca gelap cuma saya nampak tangannya terus tenggelam selepas serahkan kanak-kanak itu,” kata Saiful ketika dihubungi REMAJA.

Mengakui kakinya sendiri hampir kejang ketika membantu itu, jelas Saiful, suasana agak cemas kerana kebanyakan mangsa sudah mulai tertelan air sungai malah arusnya juga sudah membawa mangsa ke tengah yang mana kedalaman sungai itu dianggarkan sedalam 7 meter.

Menyifatkan tindakan spontannya itu kerana Lillahitaala, Saiful berkata, ia satu pengalaman sukar dilupakan.

Nurdiana sempat meminta maaf dan memeluk ibu arwah Bari selepas pemuda itu lemas dalam tragedi menyelamatkan dirinya sekeluarga. Gambar Utusan

Dalam satu laporan sebelum ini, wanita yang keretanya mengundur selepas tersalah menekan gear undur itu, Nordiana Alwani, allahyarham Abdul Bari Asyraf merupakan orang pertama terjun untuk menyelamatkan mereka berlima yang terperangkap dalam kenderaan akibat terjunam.

Katanya, Abdul Bari Asyraf membawanya dan anak Iman Nur Hana Luthfia Mohd. Amiruddin, 3, ke tebing selepas mereka berjaya keluar dari kereta sebelum terjun semula bagi menyelamatkan yang lain.

Asadullah berkata, arus sungai yang kuat membuatkan mangsa tertolak ke tengah sungai. Malah ketika dia menyelamatkan dua darinya pun mangsa sudah banyak tertelan air sungai

Bagi Asadullah yang juga turut sama terjun ke dalam Sungai Terengganu  menjelaskan selain arwah Bari, dirinya antara orang ramai yang berada awal di lokasi kejadian.

Menurut Asadullah, ketika kejadian dia sedang membawa anak kecilnya meronda di sekitar kawasan tersebut. Ketika itu suasana di situ agak kecoh dan semasa saya terjun ke dalam sungai, kereta sudah dibawa arus dan mulai tenggelam.

“Ketika saya ke tebing, saya nampak keseluruhan bumbung kereta sudah tenggelam. Saya dapat nampak dua dari mangsa terkapai-kapai di tengah sungai. Mereka sudah banyak terminum air sungai dan pernafasan juga mulai cungap-cungap. Dalam pekat malam, ada orang campakkan tong air. Saya berenang sebelum beri kepada mereka untuk berpaut. Masa yang sama katanya, mangsa sudah mulai muntah-muntah air.

Kereta pacuan empat roda ini terjatuh ke dalam sungai selepas pemiliknya tertekan gear mengundur

Selamatkan anak sendiri minggu sebelumnya

Jelas Asadullah lagi, seminggu sebelum tragedi, dia sendiri sempat menyelamatkan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dari mati lemas.

“Ketika itu saya menyelam di air terjun Lata Payung dan tidak sedar anak masuk ke dalam air. Sedar-sedar semasa naik ke udara, anak sudah tenggelam timbul dan saya pantas menariknya,” katanya yang membantu keluarga mengusahakan Laksa Muslim di Kuala Terengganu.

Bagi Asadullah, bukan saja anaknya dan lima sekeluarga itu tetapi kejadian menyelamatkan mangsa hampir lemas ini sudah beberapa kali dilakukannya dan kebanyakannya melibatkan ahli keluarganya sendiri.

Menyifatkan ia satu pengalaman sukar dilupakan, bagi Asadullah, pengalaman ini sukar dilupakan seumur hidupnya.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros