Pelakon berbakat besar, Raysha Rizrose tampil melayangkan dedikasi teristimewa buat adik lelaki tersayangnya, Farza Dida Qirana.
Berkata kepada Remaja, dia percaya adik lelakinya itu yang lebih disapa Dida mempunyai potensi yang tinggi untuk mencipta nama dalam industri seni tanah air, suatu hari nanti.
ARTIKEL BERKAITAN : Cantik Bagaikan Bidadari, Rupanya Hanya Sebulan Siapkan Baju Nikah Raysha Rizrose…
Justeru itu, juara Dewi Remaja 2014/2015 itu menitipkan doa yang baik-baik buat Dida agar tidak pernah berputus asa untuk mencapai apa yang diimpikan dalam hidupnya.
“Untuk adik saya, cuba lagi kerana saya tahu dia mempunyai potensi yang besar cuma mungkin belum lagi rezekinya sebab dia sangat gementar dan naif orangnya.
“Selain itu, banyak juga yang dia perlu belajar dan saya sentiasa doakan agar dia tidak berputus asa serta dapat apa yang dia impikan,” tuturnya.
Dalam pada itu, pelakon drama hit Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin itu turut mendedahkan bahawa adiknya itu mempunyai perasaan yang gementar, sebelum menghadiri sesi uji bakat Hero Dewi Remaja 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelasnya, ia adalah kali pertama adiknya itu menyertai sesi uji bakat sepanjang hidupnya.
“Ya, sudah pastinya. Lebih-lebih lagi dia adik saya. Memang saya beri kata-kata semangat buat dia. ‘Jangan risau, jangan gementar, jadi diri anda’.
“Tetapi sebelum hadir ke uji bakat itu, dia tidak boleh tidur kerana sangat gementar sebab dia memang tidak biasa berinteraksi dengan orang ramai.
“Terutama ini adalah kali pertama dia menghadiri sesi uji bakat sepanjang hidupnya,” katanya lagi.
Sekadar informasi, Farza Dida yang juga adik kepada pelakon popular, Nelydia Senrose itu juga turut sama menyertai sesi uji bakat pencarian Hero Dewi Remaja yang berlangsung di Concorde Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Raysha Rizrose